Pak Awang dan Mak Dayang hidup miskin. Pak Awang seorang penangkap ikan sedangkan Mak Dayang menjadi seorang pembantu rumah. Mereka tidak ada anak.
Pada suatu hari, Pak Awang pergi mengangkat bubunya yang dia tahan di sebatang anak sungai. Ketiga-tiga bubunya dia pasang di tiga buah tempat yang berasingan. Oleh kerana dia kurang sihat, dia keluar rumah lewat pagi itu. Sampai di tempat bubunya yang pertama, dia mengangkt bubunya itu. Dia berasa gembira kerana bubunya itu terdapat banyak ikan. Dia cepat-cepat memindahkan ikan-ikan itu ke dalam sebuah raga. Sesudah itu, dia menahan bubunya di tempat yang sama. Pak Awang lalu berjalan lagi ke tempat bubu keduanya dia tahan. Dia juga berasa gembira kerana terdapat banyak ikan di dalam bubunya yang kedua. Setelah dia pindahkan ikan-ikannya, dia memasang bubunya semula. Oleh kerana ikan-ikan yang dia dapat ada hari itu agak banyak, Pak Awang berjalan terus ke pasar dengan segera. Pasar itu masih ramai pengunjungnya walaupun hari sudah hampir tengah hari. Ikan-ikan yang Pak Awang jual laku pada hari itu.
Setelah semuanya jualannya habis, Pak Awang lalu pergi membeli sedikit keperluan dapur rumahnya sebelum dia berjalan pulang. Di pertengahan jalan, Pak Awang teringat bahawa ada sebuah bubunya lagi yang belum dia angkat. Dia lalu menuju ke sungai sekali lagi sebelum berjalan pulang ke rumahnya.
Pak Awang tersentak apabila mendapati dalam bubu ketiganya itu ada seekor kucing berwarna hitam dan bukan ikan-ikan sungai. Pak Awang berasa belas melihat kucing yang menggigil kesejukan itu. Dia lalu membalut kucing itu dengan ikat kepalanya yang lusuh. Tanpa berlengah-lengah lagi, Pak Awang membawa kucing itu pulang. Mak Dayang juga terkejut apabila diberitahu Pak Awang kucing yang dijumpainya dlam bubu di sungai. Mak Dayang menamakan kucing itu Hitam.
Sewaktu Pak Awang lena tidur pada malam itu, dia bermimpi didatangi seekor kucing putih yang besar. Kucing itu meminta Pak Awang membela Hitam yang dia dapat di dalam bubunya itu baik-baik. Menurut kucing putih dan besar itu, Hitam akan membawa tuah kepada keluarga Pak Awang. Pak Awang terjaga daripada tidurnya. Di telinganya masih terngiang-ngiang kata-kata kucing besar dalam mimpinya. Pak Awang lalu menunaikan salat subuh kerana fajar sudah menyinsing.
Pak Awang mendapati Hitam itu selalu mengikutinya pergi ke sungai. Pagi itu, dia mendapati banyak ikan di dalam ketiga-tiga bubunya itu. Dia menyisihkan sedikit ikan untuk dimakan Hitam. Dia membawa ketiga-tiga bubunya pulang untuk dia bersihkan sebelum dia gunakan pada hari itu setelah dia pulang dari pasar petang nanti.
Pada keesokan hari, Pak Awang bersiap-siap hendak membawa bubunya ke seungai. Dia tersentak mendapati semua bubunya tidak ada di bawah rumahnya seperti biasa. Dia mencari-cari bubunya itu di setiap sudut rumahnya tetapi tidak dia temui. Pak Awang lalu bertanya Mak Dayang yang henak meninggalkan rumah untuk pergi ke rumah tempat dia bekerja. Sewaktu mereka berbincang-bincang itu, Pak Awang tergerak hendak pergi ke sungai. Dia mengajak Mak Dayang mengikutnya bersama-sama.
Sewaktu tiba di sungai, Pak Awang mendapati bubunya sudah di dalam air di tempat biasa. Pak Awang dan mak dayang tertanya-tanya siapakah orang yang menahan bubunya itu.
“Cuba abang angkat bubu itu?” pinta Mak Dayang.
Pak Awang lalu mengangkat bubu itu dan dia membelek-beleknya. Dia pasti itu bubu kepunyaannya.
“Awak tengok ‘ni! Banyak ikannya!” jerit Pak Awang kepada Mak Dayang.
Pak Awang dan Mak Dayang gembira pada hari itu, ketiga-tiga bubu mereka itu penuh berisi ikan. Hari itu, Pak Awang mendapat banyak duit hasil jualan ikannya. Mak Dayang pula tidak pergi bekerja. Dia membawa pulang bubu-bubunya itu untuk dia bersihkan. Sesudah bubu-bubu itu dia bersihkan, mak Dayang meletakkannya di bawah rumah.
Mak Dayang memasak dan berkemas rumahnya sambil ditemani Hitam, kucingnya. Apabila pak Awang pulang, mereka duduk makan bersama-sama. Setelah itu, Pak Awang keluar lagi kerana hendak memasang bubunya. Dia dan Mak Dayang berasa hairan sekali lagi apabila mendapati bubu-bubunya tiada. Apabila mereka pergi ke sungai, Pak Awang dan mak Dayang mendapati bubu-bubunya sudah ditahan di dalam air sungai.
Perkara itu berlaku setiap hari dan ikan yang mereka dapati dari bubu itu begitu banyak. Pada malam itu, Mak Dyaang pula yang bermimpi. Kali ini, dia melihat Hitam telah bnertukar menjadi seorang anak muda yang tampan. Mak dayang terjaga. Kemudian, dia teringat akan cerita Pak Awang akan memipinya didatangi kucing putih yang besar.
Esok paginya, mak Dayang menceritakan tentang mimpinya. Dia dan Pak Awang bercadang hendak mengintai gerak-geri Hitam pada hari itu. Hari itu pak Awang dan Mak Dayang berpura-pura keluar pergi bekerja. Mereka berpatah balik lalu bersembunyi di belakang pintu rumah mereka. Mereka mendapati Hitam berjalan mundar-mandir untuk beberapa ketika. Mereka terpegun apabila mendapat di suatu sudut rumah mereka, Hitam keluar dari sarungnya dan menjelma menjadi seorang pemuda yang tampan. Pemuda itu lalu keluar rumah dan membawa bubu-bubu mereka pergi. Pak Awang dan Mak Dayang mengekori pemuda itu pergi ke sungai lalu memasang bubu-bubu itu di tempat-tempat yang biasa.
Pak Awang dan Mak Dayang sedar bahawa selam ini Hitam yang membawa bubu-bubu mereka ke sungai. Sewaktu berjalan pulang, mereka berdua berbincang-bincang tentang pemuda itu.
“Baik kita sembunyikan sarung yang dtinggalkan Hitam itu, bang!” bisik Mak Dayang.
“Molek juga cakap awak ‘tu,” jawab Pak Awang.
Pak Awang dan Mak dayang bergegas oulang ke rumah sebelum Hitam muncul. Mereka mengambil sarung kucing hitam itu lalu berpatah balik ke sungai. Setibanya di sana, mereka melihat Hitam sedang memasang bubu di air sungai. Hitam tidak sedar akan kedatangan Mak Dayang dan Pak Hitam itu.
Demi terpandang wajah Mak Dayang dan Pak Awang itu, pemuda itu tersentak dan serba salah.
“Jangan nak sembunyikan apa-apa lagi, Hitam. Kami dah saksikan semuanya,” kata Pak Awang.
“Mulai hari ini, janganlah jadi kucing lagi. Kamu mahu engkau hidup sebagai anak kami,” ujar Mak Dayang.
Hitam lalu menerpa tangan Pak Awang dan Mak Dayang. “Mak, ayah,” kata Hitam sambil mendakap kedua-dua suami isteri itu. Mak dayang dan Pak awang berasa gembira mendengarkan Hitam memanggil mereka emak dan ayah. Mereka tidak menyangka akan mendapat seorang anak dengan sekelip mata.
Apabila di rumah, Hitam menerangkan siapakah dia sebenarnya. “Saya seekor ikan yang disumpah raja ikan yang zalim menjadi seekor kucing kalau saya teramsuk ke dalam bubu. Mujur ayah datang dan menyelamatkan saya. Jika tidak, saya sudah pasti mati lemas!”
Hitam berasa terharu. Mak Dayang dan Pak Awang hanya berdiam sahaja mendengarkan kata-kata Hitam itu.
“Jika ada manusia yang baik membela saya, saya akan berubah menjadi manusia,” sambung Hitam lagi.
Pak Awang dan Mak Dayang menasihati Hitam melupakan peristiwa yang lama.
Esoknya, Hitam dan Pak Awang pergi mengangkat bubu-bubu mereka. Pak Awang hairan mendapati ikan-ikan yang mereka dapati semuanya berwarna putih macam kapas. Dalam perut ikan-ikan itu bersinar-sinar dengan warna kekuning-kuningan.
“Eh, ikan-ikan apakah ini?” tanya Pak Awang.
“Ayah, jangan dijual ikan-ikan yang kita dapat hari ini,” ujar Hitam sambil tersenyum.”Mari kita bawa pulang dan belah perutnya.”
Pak Awang menurut sahaja kata-kata anaknya itu.
Mak Dayang Pak Awang suruh membelah ikan-ikan itu. Mak dayang tidak membantah dan mula membuat kerjanya.
“Abang, Hitam! Mari ke mari!” jerkah Mak Dayang. Pak Awang dan Hitam bergegas ke dapur dan mendapatkan Mak Dayang. Mak Dayang menunjukkan ketulan-ketulan emas.
Pak Awang dan keluarganya itu bersyukur atas penemuan ketulan-ketulan emas itu. Mereka menjualnya di pekan dan mendapat wang yang banyak. Walaupun ditanya dari manakah mereka mendapatkan emas-emas itu, Pak Awang dan Hitam tidak mengatakan apa-apa. kehidupan Pak Awang, Mak Dayang dan Hitam bertambah mewah sejak hari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan