Jumaat, November 16, 2007

Syatar Ilmu 1: Majalah Dewan Siswa 2007

Dewan Siswa, sebuah majalah yang menyuguhkan bahan-bahan santapan minda dapat membantu anda dalam meningkatkan keterampilan berbahasa anda. Berikut merupakan sebahagian siaran ringkas makalah-makalah yang menarik perhatian saya. Semoga usaha saya ini dapat membantu anda mengisi masa-masa terluang dengan membacanya. Majalah-majalah ini terdapat di Perpustakaan Negara dan cawangan-cawangannya. Saya sendiri memiliki salinannya juga.

Berusahalah sedikit untuk mendapatkan salinannya.

Edisi Januari 2007
Ada terdapat petua berharga mengenai kemahiran penulisan karangan. Makalah mengenai kerjaya seorang juruterbang juga disorotkan dalam edisi ini. Bahagian ensiklopedianya memuatkan mengenai bunga rampai, beras kunyit, bunga telur dan pakaian perkahwinan Melayu. Ada makalah bahasa Inggeris yang membincangkan ruang lingkup fungsi sesebuah buku teks serta buku kerja, kamus dan tesaurus. Ulasan buku Remaja Unggul disajikan untuk memberikan penerangan secara komprehensif akan cabaran membina jati diri dan kehebatan seseorang remaja.

Edisi Februari 2007
Profil Mawi, Raja SMS Malaysia disoroti dan daripada pemahaman saya, ikon remaja ini mempunyai jati diri yang cukup istimewa. Begitu juga ikon hiburan Malaysia yang dikenali sebagai Aznil. Makalah Bencana Alam memberikan penerangan akan perubahan cuaca dan angkara manusia yang mengakibatkan berlakunya fenomena pada bumi kita ini. Bahan rujukan diberikan tumpuan dalam penyediaan sesebuah karangan agar hasil penulisan anda bermutu, dengan usaha yang bertahap-tahap dan terperinci. Sebuah makalah mengenai menyemai minat membaca disediakan dalam bahasa Inggeris.

Edisi Mac 2007
Kerjaya ahli bioteknologi dipaparkan dalam keluaran ini. Makalah mengenai kebijaksanaan robot ciptaan membantu manusia melakukan tugas-tugas yang berbahaya bagi manusia. Ensiklopedia memerikan baku dan tembikar dalam masyarakat Melayu. Petua mengarang memberikan penekanan dalam menuliskan bahagian pendahuluan berserta contoh-contoh yang menarik.

Edisi April 2007
Ulasan puisi memerihalkan peranan nada yang akrab dengan penyair. Nada dalam puisi berperanan meningkatkan mutu sesebuah puisi yang tercipta. Kerjaya dalam bidang pelancongan disoroti dalam edisi ini. Pakaian tradisional Melayu dipaparkan dalam bahagian ensiklopedia. Obsesi para remaja dengan idola mereka disoroti juga.

Edisi Mei 2007
Sepak raga, gasing, wau dan congkak diperikan dalam ensiklopedia edisi ini. Kerjaya guru dipaparkan juga. Terdapat catatan mengenai etimologi banyak perkataan harian bahasa Melayu kita. Jururunding Pemakanan atau anda kenali sebagai ‘dietician’ juga disoroti. Perlunya merangka sesebuah karangan amat perlu. Ada beberapa cadangan diusulkan.

Edisi Jun 2007
Banyak bahan mengenai kejayaan dalam bidang teknologi maklumat dipaparkan dalam edisi ini. Seperti biasa, ruang puisi membicarakan tentang peranan pengulangan kata dalam sesebuah puisi.

Edisi Julai 2007
Kerjaya sebagai seorang jururawat hanya untuk bagi orang perempuan? Saya mendapati paparan mengenai seorang jururawat lelaki sungguh mencabar juga. Ada makalah yang membincangkan tentang apa-apa yang dimaksudkan dengan Ragam Bahasa Melayu Pasar. Kita menjelajah piramid Khufu dan mengetahui serba sedikit akan teknologi seni bina purba yang sungguh mengagumkan.

Edisi Ogos 2007
Kapsul yang mengandungi penawar bagi penyakit ada juga kesan-kesan sampingannya. Hal ini dibincangkan dalam sebuah makalah. Puisi juga ditulis oleh seseorang penyair dengan menggunakan kemahiran manipulasi bahasanya. Para pelajar dibimbing menangani kelemahan isi karangan yang ditulis dengan beberapa petua yang mudah. Kelebihan buah nanas dibentangkan dalam sebuah makalah mengenai industri pertanian. Pengalaman seorang mekanik muda juga ditinjau dalam sebuah profil dalam edisi ini.

Edisi September 2007
Dalam bidang Pengurusan Makanan dan Minuman (Food and Beverage Management), bukan hanya sekadar mengurus makanan dan minuman sahaja. Makalah ini sarat dengan maklumat yang menarik hati. Beberapa tarian suku kaum Melayu di Malaysia diperihalkan dalam ensiklopedia. Ada paparan mengenai ikon hiburan, Datuk Siti Nurhaliza

Edisi Oktober 2007
Beberapa makalah mengenai makanan, sama ada bahan jenis-jenis makanan yang menyihatkan atau memudaratkan disoroti dalam edisi ini. Badik, lading dan beladau merupakan tiga senjata tradisional orang Melayu yang diperihalkan dalam ensiklopedia. Cerita mengenai coklat dan koko juga saya dapati amat menarik hati.

Edisi November 2007
Emping, ulam dan nira dalam budaya makanan Melayu dipaparkan dalam ruang ensiklopedia.. Beberapa panduan mengenai aktiviti yang dicadangkan selepas peperiksaan berlalu. Kerja sambilan merupakan fokus utama dalam keluaran ini. Penerokaan planet Marikh yang dilakukan oleh kapal angkasa Mariner mengalami gangguan teknikal yang tak diduga. Dalam bahagian Bonus Dewan Siswa keluaran ini ada meneyntuh tentang persediaan karangan.

Tiada ulasan: