Isnin, November 12, 2007

Kit Bahasa Melayu Saya, 1


*** Kamus Dewan Edisi Keempat ***



*** Kamus Dewan Edisi Ketiga ***



*** Kamus Istimewa Peribahasa Melayu***



*** Kamus Simpulan Bahasa ***


Sebagai seorang pengguna bahasa Melayu, saya amat peka dengan keterampilan saya. Walaupun dibesarkan dan diberikan didikan dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, selama lebih empat puluh tahun ini, saya membesar dengan bahasa ibunda saya yang amat saya kasihi. Segala aspek kehidupan, daripada sikap, nilai hidup, harkat diri, keagamaan dan kesantunan berperibadi, teras berbahasa Melayu yang saya kenali dan mengental memberikan saya kebanggaan dan kesejahteraan. Hal itu yang membentuk saya pada masa ini.

Sebagai seorang anak, sebagai seorang adik, abang, ayah, anak menantu dan juga anak saudara, betapa nilai berbahasa Melayu juga telah memberikan saya kelebihan dalam menjalin hubungan kekeluargaan yang mesra lagi selesa.

Dalam kalangan sahabat, saya selalu berasa diterima dan selalu difahami dengan keterampilan berbahasa Melayu. Ramai kenalan yang bukan orang Melayu dan juga orang-orang Melayu sendiri selalu menanyakan cara-cara dan gaya yang sesuai lagi serasi untuk mereka gunakan dalam berhubung dengan rakan-rakan mereka yang fasih berbahasa Melayu.

Bagi saya, berbahasa bukan sekadar dapat memahami alur komunikasi secara ujaran; namun, gerak badan, laku, gaya dan senjuh dalam pengucapan dan pembicaraan mesti dikenal pasti dan diberikan pertimbangan. Salah satu strategi saya gunakan dalam memahami keadaan atau suasana adalah dengan mengajukan pertanyaan, dengan kesantunan bahasa yang sesuai menurut keadaan. Ada kalanya, kesantunan berbahasa menurut hemat saya juga boleh menimbulkan masalah. Jalan keluarnya adalah dengan mengatakan sejujurnya bahawa saya tidak memahaminya dengan mengatur permohonan maaf. Begitulah juga yang saya harapkan daripada sesiapa yang berbicara atau berurusan dengan saya, sama ada dalam hal-hal biasa atau hal-hal rasmi.

Bahasa yang kita miliki adalah bahasa yang hidup, berkembang dan berjiwa kepada sesiapa yang mahu memilikinya. Bahasa berkembang dengan cergas dan boleh menjadi sesuatu yang memberikan identiti pada pemiliknya. Umpamanya, saya tidak berharapkan pelajar-pelajar di peringkat rendah berupaya menjadi orang dewasa dengan susuk bahasa yang matang dengan sekelip mata. Begitu juga, saya tidak akan berasa pelik jika tahap penguasaan bahasa pelajar-pelajar peringkat atas masih keliru dalam penggunaan bahasa di sekolah dan bahasa pengucapan di rumah. Namun, yang jelas, saya perlu menyedarkan mereka bahawa bahasa yang diterima di sekolah adalah bahasa yang baku dan harus dikuasai untuk tujuan-tujuan pelajaran dan pengajaran sementara bahasa santai atau bahasa di rumah atau dalam pergaulan ada masa-masanya tidak mendapat tempat di sekolah, terutama sekali dalam bilik darjah atau majlis-majlis rasmi di mana-mana pun.

Saya pernah melalui saat remaja dan mendewasa. Pelbagai perkara timbul dalam saya bergaul kerana saya menolak penggunaan bahasa yang bagi saya agak kurang elok. Kata-kata kesat dan frasa-frasa kurang elok saya maklumi namun saya hindarkan dalam pengucapan sedapat mungkin.

Dalam menangani hal mengasuh anak-anak sendiri juga, saya selalu memastikan anak-anak saya tidak menggunakan kekata yang kurang sopan. Saya menegaskan bahawa komunikasi yang sihat adalah dengan penggunaan kekata yang elok dan sesuai menurut keadaan dan suasana. Begitu juga dalam saya menegur apa-apa yang pelajar-pelajar saya lakukan. Saya juga menegaskan bahasa yang kita gunakan merupakan cerminan keperibadian.

Sepanjang masa kita belajar, begitu juga dengan penguasaan bahasa. Penguasaan bahasa harus dimulai dengan memiliki contoh atau model pengguna bahasa yang baik. Bagi saya, para pelajar mempunyai banyak model pengguna bahasa yang baik, selain daripada guru-guru anda sendiri. Bahan yang menuruti selepas model pengguna yang baik adalah senarai bahan rujukan yang akan saya kongsi bersama anda.


Kamus

Kamus ialah “… buku yg mengandungi kata-kata dan lain-lain (yang disusun menurut abjad) dgn keterangan mengenai makna perkataan dan lain-lain…” menurut Kamus Dewan, edisi keempat cetakan tahun 2006.

Namun begitu, kamus juga memberikan kita maklumat yang penting, seperti ejaan, bentukan kata yang berimbuhan, peribahasa dan sebagainya. Oleh itu, sayang sekali jika dokumen bangsa yang penting ini tidak dimiliki oleh orang-orang yang mendakwa dirinya menggunakan bahasa yang betul.

Memiliki kamus tidak memadai. Kamus anda perlu gunakan dengan beberapa kemahiran yang khusus. Selain mengenalinya sebagai buku yang menyenaraikan daftar perkataan yang hendak kita cari maknanya, penerangannya dibuat seringkas-ringkasnya. Makna yang terdapat di dalam kamus juga ada kalanya perlu dirujuk penggunaannya. Makna sesepatah perkataan itu tidak boleh bergantung dengan sendirinya tapi perlu sesuai dengan penggunaannya dalam teks atau bahan atau suasana. Makna sesepatah perkataan boleh terdiri daripada lebih satu. Oleh itu, entri perkataan itu perlu diteliti dalam kamu tersebut. Ayat-ayat yang digunakan sebagai contoh dalam kamus juga ada kalanya agak kabur. Namun, anda perlu merujuk daftar entri yang seerti dengan makna perkataan dan disilang dengan entri-entri lainnya. Kemahiran ini menuntut anda melazimkan diri dengan merujuk kamus.

Ada banyak kamus yang terdapat di pasaran. Kamus berbahasa Melayu juga tidak terkecuali. Namun, saya sebagai pengguna bahasa memiliki sejumlah besar kamus untuk rujukan saya pada bila-bila masa sahaja yang saya perlukan. Sama ada kamus ekabahasa, kamus dwibahasa atau buku istilah dan daftar glosari menurut bidangnya, bahan-bahan ini patut anda miliki secara bertahap-tahap. Memang, yang mahal ada kelebihannya. Ibarat kata pepatah, alah membeli, menang memakai. Carilah yang muktabar lagi tuntas. Gunakan kamus yang terkini. Gunakan edisi baru kerana banyak perombakan dan pengemaskinian berlaku pada sesebuah judul kamus yang berwibawa. Hal ini berlaku kerana banyak perubahan dan perkembangan yang berlaku dan maklumat terkini adalah perlu.

Kamus dwibahasa juga amat berguna juga. Setiap masa, kita dihujani dengan pelbagai kosa kata baru. Sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Dan ada kalanya, kita terpaksa menggunakan istilah ilmu bahasa asing dalam bahasa kita. Memiliki kamus dwibahasa membuat tugasan kita mudah dilaksanakan.

Katakanlah juga anda senang dengan buku-buku ‘game book’, pasti ada buku panduan – seperti koleksi ‘Dungeons and Dragons Chronicles’ saya, terdapat lima buah buku panduan dan glosari yang diterbitkan bagi membekali penerangan lanjut akan siri fantasi yang saya minati itu. Begitu juga dengan beberapa buah kamus dan glosari sastera Melayu lama yang saya miliki, dapat memberikan saya petunjuk akan sejumlah istilah atau kata-kata arkaik yang terdapat dalam koleksi kitab sastera Melayu lama saya.

Bagi saya, yang penting selain ada orang-orang di sisi kita untuk merujuk sebarang masalah atau kemusykilan yang kita ada, kamus amat berguna. Setuju?

Senarai kamus bahasa Melayu dalam koleksi saya:
1. 5 buah Kamus Dewan, dari edisi pertama (tahun 1970) hingga edisi keempat.
2. Kamus Umum Bahasa Indonesia, edisi tahun 1970.
3. Kamus Nusantara
4. Kamus Peribahasa, disusun oleh Abdullah Hussain
5. Kamus Simpulan Bahasa, disusun oleh Abdullah Hussain
6. Kamus Imbuhan Bahasa Melayu, Fajar Bakti

..... dan senarainya akan berterusan.



Dalam siaran yang akan datang, saya akan membincangkan sebab musabab buku di bawah ini menjadi salah satu bahan dalam kit bahasa Melayu saya.



*** Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu ***

Tiada ulasan: