Isnin, November 12, 2007

Cerita Rakyat atau Dongeng? Saya menyenanginya. Anda pula?



** Gambar menunjukkan salah satu bahan pameran di salah sebuah tempat yang terdapat di China Town, Singapura **

Lumrahnya, kita senang mendengar cerita-cerita yang dituturkan oleh orang-orang tua kita. Saya sendiri menyaksikan masa-masa ibu mentua saya, Puan Misamah Binte Nipis sering bercerita tentang kejadian-kejadian sehari-hari kepada anak-anak saya, Nurul Rasyidah dan Muhamad Faiz Danisy. Mata-mata mereka akan membesar apabila diceritakan kisah-kisah yang menarik hati atau mereka akan berdekah-dekah tertawa mendengarkan cerita-cerita lucu daripada nenek kesayangan mereka itu.

Saya sendiri senang dengan cerita-cerita sedemikian hingga saya sudah menjadi seorang datuk kini. (Ramai anak-anak saudara saya sudah melahirkan anak-anak yang comel).

Yang paling menarik tentang cerita-cerita sedemikian adalah mesej tentang kejahatan akan tunduk dan dikalahkan dengan kebaikan. Watak-watak baiknya menjadi terkenal dan akan diingati sampai bila-bila… selagi ada yang mengingatinya.




Saya memiliki banyak koleksi buku cerita dongeng atau cerita rakyat, sama ada judul tersendiri atau kompilasi. Ada yang murah, harga sepuluh sen (mata wang Singapura pada waktu saya membelinya) dan ada yang semahal $500 sebuah, dalam edisi mewah. Koleksi itu saya mula dapatkan sejak di bangku sekolah. Namun, ada banyak yang hilang kerana dipinjam oleh orang-orang yang saya pun dah lupa. Yang teringat hendak memulangkannya, bolehlah berhubung dengan saya.


Banyak bahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (dan bahasa Indonesia). Ada yang terpaksa saya jilid kerana tidak mahu kehilangan lagi. Sewaktu di Universiti Malaya, saya sempat membuat salinan fotokopi. Cerita-cerita Makyung yang disusun semula oleh Mubin Sheppard merupakan sebahagian daripadanya.

Cerita Seribu Satu Malam, koleksi Routhledge dalam empat buah jilid merupakan salah satu bahan yang sangat-sangat saya senangi. Cerita mengenai alam manusia dan keajaiban, yang berlaku di tempat-tempat yang mengagumkan menarik perhatian saya. Saya pernah berkongsi dengan Nurul lanjutan cerita Aladin, cabaran-cabaran Aladin hadapi setelah tukang sihir yang dikalahkannya itu dilanjutkan dengan kakak tukang sihir yang lebih hebat tipu muslihatnya.

Cerita Cinderella ternyata terdapat dalam pelbagai budaya di dunia ini. Tentulah, masalah yang diterima gadis malang ini berbeza-beza tetapi pengakhirannya serupa. Sang gadis akhirnya hidup bahagia kerana tetap bersikap tegas dan tabah menghadapi dugaan.




Selain itu, terdapat juga koleksi cerita-cerita seram atau cerita hantu dalam koleksi saya. Berdasarkan Katalog Hantu yang saya dapatkan daripada KEKKWA, Malaysia, memberikan saya gambaran betapa alam mistik dengan penuh kegerunannya memang mendarah daging dalam masyarakat sejak zaman purba kala.

Namun, saya senang menatap cerita-cerita itu semula, seperti kecerdasan Panji Kelaras atau kehebatan Badang, kesabaran Bunga Melur dan Bawang Merah, kebijaksanaan Abu Nawas dan Pak Pandir (… pandaikah dia? Baca dulu ceritanya, kemudian buat telahan sendiri anda sendiri). Sama ada dari benua Asia atau dunia di luarnya, cerita rakyat atau dongeng menceritakan cara-cara manusia hidup dan menyelesaikan masalahnya. Keupayaan sedemikian perlu anda fikirkan sebab bagi saya, dalam hidup bermasyarakat, kita bukan lagi dibatasi lingkungan kejiranan kita saja. Dunia kita sudah melebar dan meluas, batasan hanya ada jika kita yang menentukannya.

Semoga anda senang dan memperoleh sesuatu, seperti saya dapatkan, sewaktu anda kembali membaca sebahagian besar cerita rakyat dan dongeng itu. Memang saya bercadang untuk menambahkan koleksi saya. Tapi, hendak dimuatkan di mana, ya? (Pasti isteri saya akan memberikan senyuman yang .....)

Tiada ulasan: