Analisis Puisi
‘Guru O Guru’
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta).
Kita mengingati jasa para guru setiap tahun pada 1 September. Guru yang kita kenali merupakan pendidik yang bertungkus lumus mendidik anak-anak bangsa. Bagi penyair Usman Awang, beliau ada senarai guru yang dikasihinya dan puisi yang dibincangkan ini merakam penghargaan beliau kepada mereka.
Secara umum, seluruh puisi ini mengungkapkan jasa-jasa golongan pendidik kepada seluruh umat manusia dengan tidak mengenal keturunan dan darah, tidak mengira kedudukan dan pangkat, tanpa mengira sama ada anak-anak didik mereka berjaya atau tidak. Namun begitu, ‘Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat, menjadi kenangan ke akhir hayat’ memberikan pengiktirafan yang amat tinggi kepada golongan pendidik itu.
Dalam rangkap pertama, penyair menyatakan bahawa ‘guru’ memeliki segala ilmu, setidak-tidaknya pada peringkat asas dan dasar. Mereka tetap teguh dan setia menyalurkan kemahiran dan pengetahuan kepada anak-anak didik atau para pelajar yang masih kecil lagi muda. Menurut penyair, ilmu yang guru sampaikan akan dapat menderangi kegelapan dalam kehidupan setiap insan sebelum mereka meningkat dewasa.
Dalam rangkap kedua pula, penyair mengumpamakan guru sebagai ibu, bapa dan malahan sahabat. Usaha para guru dalam memberikan nasihat, tunjuk ajar, bimbingan dapat menjadi bekalan hidup anak-anak didiknya. Dengan itu, penyair menganggap para guru sebagai ‘pemimpin yang ditauliahkan segala umat’. Ertinya, pendidik atau guru dipertanggungjawabkan mendidik siapa-siapa sahaja.
Bahkan, dengan berkat asuhan dan didikan tekun seseorang guru itu, maka akan lahirlah orang-orang yang dikenali sebagai raja, perdana menteri, presiden, ulama, peguam dan penulis. Mereka semua menerima pengasuhan guru dahulu sebelum mereka beroleh kejayaan dalam kerjaya masing-masing, seperti yang terungkap dalam baris ‘dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca’. Demikianlah yang terakam dalam rangkap ketiga.
Dalam rangkap keempat, penyair menegaskan bahawa kerjaya seorang guru tidak mengenal ruang dan tempat. Sama ada bertugas di sebuah sekolah mewah di ibu kota, mahupun sekolah usang yang terletak di daerah pedalaman seperti di Hulu Trengganu, seseorang guru itu tetap mendidik dan ‘mewakili seribu buku’, iaitu banyak ilmu pengetahuannya.
Akan tetapi, tugas pendidik yang paling bererti bagi penyair adalah tugas yang diberikan kepada golongan ini yang bertugas di kawasan-kawasan terpencil. Setinggi mana pun pencapaian seseorang itu dalam hidupnya, dia tidak akan melupakan jasa-jasa gurunya. Bagi penyair, sekali bergelar guru, sampai bila-bila, anak-anak didiknya akan menyapanya ‘guru’.
Kesan keindahan puisi ini terletak pada pola irama akhirnya yang sama. Kesan keindahannya juga dapat dikesani pada pertentangan dan pertuturan bunyi seperti contoh ini.
Tiap-tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Ada pertentangan bunyi antara ‘ilmu’ dengan ‘lampu’.
Begitu juga dengan baris-baris lain seperti antara ‘untuk manusia/ sebelum menjadi dewasa’ (rangkap pertama, baris empat), ‘dia adalah guru mewakili seribu buku (rangkap empat baris empat), dan ‘panggilan keramat/ “cikgu’ kekal terpahat (rangkap akhir baris tiga).
Penyair Usman Awang menyodorkan dedikasinya dalam bentuk pantun tradisional sebagai mukadimah sajaknya ini. Puisi tradisional yang dipilih penyair itu berkaitan dengan kerja keguruan itu tersendiri.
Berburu ke padang datar
Mendapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan