Sewaktu remaja, Tok Lasam telah dibawa keluar dari Gowa, Sulawesi bersama segala kelengkapan dan para pengikutnya. Pemergiannya dirahsiakan kerana takut diancam puak-puak yang berperang di Gowa akibat hasutan penjajah Belanda.
Mereka telah berjaya mendapatkan janur kelapa di pantai sebelum keberangkatan pergi mereka itu untuk dianyam menjadi ketupat sewaktu dalam pelayaran. Setelah dianyamnya janur-janur itu menjadi kelongsong ketupat, Tok Lasam telah meminta agar kelongsong-kelongsong ketupat itu dicincang-cincang sambil menyarankankepada para pengikutnya agar mengingati semula serta memahirkan diri mereka dalam menganyam kelongsong-kelongsong ketupat itu sekali lagi pada masa hadapan.
Sewaktu dalam perjalanan ke Singapura itu mereka dihambat bajak atau lanun di laut. Namun akibat termakan ketupat yang mereka buat itu, lanun-lanun itu mengalami kesakitan dalam perut dan Tok Lasam dan para pengikutnya telah berjaya membebaskan diri.
Tok Lasam minta agar mereka menuju ke Pulau Singapura kerana terdapat saudara-maranya yang sudah pun menetap di sana, iaitu di Kampung Kallang. Dengan menyamar diri, mereka hidup sebagai rakyat biasa demi menjaga keselamatan dan identiti mereka. Ketibaan Tok Lasam di Kampung Kallang atau Tanjung Rhu disambut baik oleh para penduduknya yang sebahagian besarnya adalah kenalan dan sanak-saudaranya sendiri. Tok Lasam dapat duduk berehat di sana buat beberapa ketika sebelum beliau meneruskan penjelajahannya ke bahagian-bahagian lain pulau untuk membuka penempatan baru bagi dirinya serta para pengikutnya untuk membuka lembaran baru dalam sejarah kehidupan mereka.
Para pengikut Tuk Lasam ramai yang berkemahiran membina rumah, kapal, kelong dan alat penangkapan hasil laut. Tok Lasam sendiri meneruskan perjalanan ke bahagian timur Singapura dengan menaiki sebuah perahu.
Tidak lama sesudah itu, mereka tiba di sebuah kawasan yang dikenali sebagai ‘Si Gelap’, kini dikenali sebagai Siglap, menggantikan nama kawasan bersemak samun setelah sebuah peristiwa gerhana matahari berlaku sewaktu mereka memugar kawasan itu untuk dijadikan sebuah kampung.
Dalam salah sebuah upacara istiadat pembukaan kawasan itu, Tok Lasam telah mencacakkan sebilah keris pusakanya ke tanah di kampung itu. Kampung nelayan yang dibukanya itu menjadi masyhur tidak lama kemudiannya. Bilangan penduduknya bertambah dari semasa ke semasa. Perairan di sekitar kampung Siglap banyak didirikan kelong yang besar dan kegiatan penangkapan ikan semakin rancak.
Tidak lama sesudah itu, sebuah rombongan dari Gowa, Sulawesi tiba di Siglap untuk menjemput Tok Lasam pulang semula ke Sulawesi bagi menggantikan ayahandanya yang telah mangkat. Utusan itu menceritakan keadaan politik di Gowa yang diancam peperangan saudara kerana suku Bone dengan pimppinan Arung Palaka hendak menyerang mereka.
Tok Lasam keberatan untuk pulang ke tanah Sulawesi kerana dia sudah biasa dengan keadaan di Kampung Si Gelap, Singapura itu. Baginda meminta agar takhta ayahandanya diserahkan kepada adik kembarnya. Secara rahsia, dia minta utusan dari Sulawesi itu supaya kehadirannya di Singapura itu dirahsiakan agar beliau tidak akan dikesan lagi pada masa hadapan. Sebelum berangkat pulang, utusan Bugis itu telah menyerahkan sebilah tombak pusaka kepada Tok Lasam sebagai tanda bukti bahawa utusan itu pernah menghadap Tok Lasam di Singapura.
Tok Lasam memimpin kampung Si Gelap itu dan juga bertindak sebagai imam di sebuah masjid yang tidak jauh dari rumahnya. Beliaulah yang merintis pembinaan masjid di kampung itu tidak lama kemudiannya.
Antara panglima-panglimanya yang berperngaruh ialah Panglima Harimau Hitam atau Daeng Abu Bakar. Panglima Putih (Syed Abdul Rahman) dan Panglima Hitam (Syed Abdullah).
Tok Lasam dikenal sebagai seorang pemimpin yang bijak dan dapat mengawal kegiatan-kegiatan lanun di perairan Kampung Siglap. Nakhoda sebuah kapal dari China yang sarat muatan berisi candu dan berlabuh di pantai Siglap berjaya ditangkapnya untuk diserahkan kepada British. Tok Lasam yang berpakaian seperti seorang nelayan menaiki sampan dan mendekati jong itu untuk menjual hasil tangkapannya. Nakhoda itu membenarkan Tok Lasam menaiki jongnya. Tok Lasam dapat memujuk nakhoda itu turun ke pantai dan langsung dibawa ke rumah pasung.
Pada suatu waktu, seorang saudagar Bugis yang bernama Wak Biak, telah gelap mata lalu mengamuk di perairan Kampung Siglap. Dia mengamuk kerana berasa telah ditipu oleh saudagar-saudagar lain.
Sewaktu Tok Lasam dalam perjalanan ke masjid, dia dihalang oleh Wak Biak. Tok Lasam berjaya memujuk Wak Biak lalu mengajaknya pergi menunaikan salat asar di masjid bersama-samanya. Setelah sudah menyelesaikan salat, Wak Biak memohon maaf kepada Tok Lasam kerana terlalu menurut hatinya yang marah itu. Dia meminta agar Tok Lasam menyerahkannya kepada pihak British kerana dia mahu bertanggung jawab atas semua kerosakan dan pembunuhan yang telah dia lakukan.
Kerjasama Tok Lasam dalam kedua-dua kejadian itu telah membuat pihak British mahu mengiktiraf Tok Lasam sebagai penghulu di Kampung Siglap.
Sewaktu Tok Lasam menghembuskan nafasnya yang terakhir, sebuah kejadian yang menakjubkan telah berlaku. Dikatakan bahawa jenazahnya yang sudah dikafankan bertukar berwarna kuning. Orang-orang kampung Siglap percaya bahawa almarhum penghulu mereka, Allahyarham Tok Lasam ialah seorang tokoh pemimpin yang keramat.
Tok Lasam pulang ke rahmatullah pada hujung abad ke-18 dan jasadnya disemadikan di sebatang pohon, Jalan Sempadan, Kampung Siglap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan