Sabtu, Disember 03, 2011

Cerita Yang Tidak Berkesudahan

Pada zaman dahulu, tersebutlah kisah seorang raja yang suka mendengar cerita-cerita. Baginda seorang raja yang budiman. Oleh itu baginda selalu memerintah para penglipur lara dan tukang cerita menceritakan kisah-kisah kepada baginda setiap hari. Sering kali setiap kali kisah yang mereka ceritakan itu hampir tamat, para pencerita itu akan menyembah, “Itulah pengakhiran ceritanya.” Baginda sering kali berasa kurang senang. Baginda mahukan cerita-cerita yang akan berlanjutan untuk selama-lamanya. Baginda tidak mahu akan kisah-kisah yang akhirnya ditamatkan.
Oleh kerana baginda seorang yang keras hati dan setiap kemahuannya dia titahkan, maka dia menerintahkan semua hambanya seraya berkata, “Carikan beta seorang tukang cerita yang dapat berkisah dengan panjang lebar dengan tida ada kesudahannya. Beta mahu mendengar cerita yang tiada kesudahannya.”
Maka dicarilah sekalian rakyat akan tukang cerita seperti yang baginda maksudkan. Ada pula seorang pemuda datang menghadap baginda lalu menyembahkan, “Patik mendapat tahu bahawa tuanku mahukan sebuah cerita yang berlanjutan tanpa berksesudahan. Patik tahu akan sebuah cerita seperti itu.’
Maka baginda bertitah, “Jika benar demikian, kisah yang akan kamu sampaikan tidak ada kesudahannya, beta akan menikahkan kamu dengan puteri beta. Sekarang, mulakan cerita kamu itu.”
Maka pemuda itu pun memulakan ceritanya.
“Ada sebatang pokok yang tinggi dan besar tumbuh di kebun kepunyaan patik. Sebegini besarnya, tuanku,” pemuda itu berkisah sambil mendepangkan tangannya. “Burung-burung hinggap di dahan-dahannya setiap hari dan patik mahu sekali memikat burung-burung itu.”
“Patik mahu menangkap burung-burung itu untuk patik jual kelak. Oleh itu, patik pun menyapu kapur di dahan-dahan pokok itu. Sangka patik dengan berbuat demikian, apabila kaki-kaki burung-burung itu terkena kapur tersebut, kaki mereka pasti akan melekat di dahan itu. Burung-burung yang terjerat itu pasti tidak dapat melepaskan diri kerana kaki-kakinya sudah terlekat di dahan-dahan tersebut. Oleh kerana tidak dapat melepaskan diri, mudahlah bagi patik menangkap burung-burung yang terjerat itu.”
Pemuda itu mendapati terlalu banyak sekali burung yang terperangkap dengan jebak kapurnya itu. Dia mengambil sebuah jaring besar ke pokok besar itu.
Sambung pemuda itu, "Patik lalu membuat sebuah lubang di jaring itu dan memasukkan tangan patik ke dalamnya. Sesudah itu, patik menangkap seekor burung lalu memasukkannya ke dalam jaring tersebut. Dia menggayakan kata-katanya itu. Setiap kali dia menangkap burung-burung itu lalu dimasukkan ke dalam jaring besarnya. Dia melakukan hal yang sama hingga raja itu bertitah, “Sudah, hentikan! Beta tidak mahu mendengarnya lagi.”
“Tetapi, tuanku, cerita patik belum selesai lagi. Itulah, ceritanya masih panjang lagi,” sembah pemuda itu kehairanan.
“Memang betul, beta menitahkan kamu berkisah sebuah cerita yang tidak ada kesudahannya. Beta berasa letih mendengarnya,” titdah baginda raja.
Oleh sebab pemuda itu berjaya bercerita dengan sebuah kisah yang tidak ada kesudahannya, raja itu pun menunaikan janjinya. Pemuda itu telah dinikahkan dengan puteri baginda. Pemuda itu hidup senang-lenang di dalam istana raja.

Tiada ulasan: