Jumaat, Disember 02, 2011

Cerita Hantu Penanggal

Seorang wanita terlalu sedih akibat sering dihina kerana hodoh rupanya.
Pada suatu hari, dia terdengar suara ghaib yang mahu membantunya mengatasi masalahnya itu. Dia akan dapat membalas perbuatan jahat orang-orang yang menyakiti hatinya setelah dia beroleh ilmu yang boleh membuatnya dapat terbang angkasa.
Suara ghaib itu lalu mengarahkannya membuat pelbagai persediaan yang pelik-pelik setelah dia berjanji akan memenuhi semua syarat-syarat untuk menjadikannya wanita cantik.
Pada suatu malam, setelah menjalankan semua arahan suara ghaib itu, wanita itu mendapati dirinya telah berubah rupa. Kepalanya tertanggal daripada tubuhnya. Kepala itu dapat terbang dengan bahagian rongga serta bahagian dalam badannya masih utuh. Tubuh badannya yang kosong ditinggalkan di balik pintu rumahnya sementara dia menerawang dan terbang di udara.
Dengan itu, dapatlah dia membalas dendam dan rasa sakit hatinya ke atas semua musuhnya.
Namun begitu, pada suatu masa, dia tidak dapat masuk ke dalam rumah salah seorang musuhnya yang baru sahaja bersalin anak sulung. Dia juga mendapati rumah itu ditumbuhi dengan banyak pokok lidah jin yang tajam-tajam. Didapati juga bahawa dia tidak dapat mendekati apa lagi memasuki ke dalam rumah-rumah yang para penghuninya selalu membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan suara yang kuat. Gangguan yang pada mulanya begitu hebat dan bertalu-talu menjadi berkurangan apabila masyarakat mengetahui kelemahan makhluk itu.
Hingga akhirnya, ramai orang memelihara pokok-pokok lidah jin di sekeliling rumah mereka mendapati dapat menghindari gangguan makhluk yang bergerak dan menyerang orang pada waktu malam itu. Orang-orang yang taat beragama yang selalu mengamalkan ajaran agama dan membaca kitab suci al-Quran juga tidak dapat dia ganggu.

Tiada ulasan: