Tersebutlah kisah di Sayung yang terkenal itu dengan nama seorang tokoh terbilang yang bernama Badang.
Badang seorang hamba yang bekerja dengan seorang tuan tanah yang kaya raya. Badang seorang pekerja yang rajin. Sejak matahari terbit hingga matahari terbenam, Badang menjalankan tugasnya dengan rajin. Badang melakukan berbagai-bagai tugas yang disuruh oleh tuannya.
Pada suatu hari, Badang telah diperintahkan oleh tuannya menerangkan sebuah kawasan hutan yang agak luas. Hutan itu hendak diterokanya untuk dijadikan huma. Oleh itu, setiap hari, Badang sudah bertolak dan melakukan tugasnya dengan segera. Dia sehari suntuk menebang, membelah dan menebas pokok-pokok atau semak samun. Petang hari, dia akan pulang ke rumah tuannya untuk berehat.
Pada suatu petang, Badang pulang ke rumah lebih awal daripada biasa sebab kerja-kerjanya untuk hari itu sudah dia selesaikan. Dia berhasrat memasang lukahnya di sebatang anak sungai yang berdekatan dengan tempat tinggalnya. Dia berharap dapat menangkap seekor dua ikan untuk dia buat lauk pada hari esoknya.
Keesokan harinya, Badang singgah di sungai untuk melihat hasil tangkapannya. Alangkah kecewa hatinya apabila diangkat lukahnya dari dalam air sungai itu. Dia mendapati lukanya itu kosong. Tidak ada seekor ikan pun yang dapat ditangkap. Namun demikian, Badang mendapati ada tulang-tulang dan sisik ikan bertumpukan di tebing sungai dekat tempat dia menahan lukanya itu.
“Aku percaya, tentu ini semua tulang dan sisik ikan yang terkena dalam lukah aku ini!” bisik Badang sendirian. “Tapi, siapakah yang memakannya pula?” tanya Badang penuh kehairanan sambil matanya meliar memandang ke sekeliling kawasan tempat dia berdiri itu.
Sesudah memeriksa lukahnya itu, Badang memasang lukahnya semula. Dia mengangkat kakinya menuju ke tempat kerjanya di hutan itu.
Pada hari esoknya, Badang singgah sekali lagi di sungai itu. Tetapi, sekali lagi, dia mendapati hal yang sama berlaku. Lukahnya kosong tetapi tulang-tulang dan sisik ikan berselerakan di tebing sungai tempat dia menahan luhahnya.
“Ada binatang yang mencuri lalu memakan ikan-ikan di dalam lukah aku ini! Akan aku intip gerak-gerinya. Aku akan ajar dia cukup-cukup!” tukasnya dalam hati.
Keesokan harinya ketika langit mulai terang, Badang telah sampai ke kawasan sungai itu sekali lagi. Dia menyusup masuk ke dalam semak dan bergerak dengan berhati-hati. Setibanya di sebalik sebatang pokok yang tidak jauh dari lukanya, Badang berhenti. Di balik pokok sebatang itulah badang akan mengintai untuk melihat siapakah yang memakan ikan-ikan yang masuk ke dalam lukahnya.
Sekian lama dia menunggu, namun tidak ada apa-apa yang berlaku. Badang terus menanti dengan penuh kesabaran. Nyamuk dan agas yang menghurungi telinga dan kepalanya tidak dia hiraukan. Di tangannya, dia mengenggam hulu parang yang dia akan gunakan untuk menyerang pencuri ikan-ikan lukahnya itu.
Tidak lama kemudian itu, Badang menyedari sosok suatu lembaga aneh bergerak-gerak dan timbul dari balik semak samun di sebarang sungai itu. Lembaga itu menuju ke arah tempat Badang memasang lukahnya.
Pergerakan lembaga itu Badang perhatikan dari balik pokok tempat dia bersembunyi. Badang yakin lembaga itu seekor hantu air. Rupanya memang menggerunkan mata sesiapa yang memandangnya. Lembaga itu berwajah hodoh, berambut dan berjanggut panjang. Lembaga itu bermata merah yang menyala-nyala seperti bola-bola api.
Hantu air itu mengangkat lukah yang Badang pasang. Setelah menggongancang-gancang lukah itu, hantu itu mengambil seekor ikan yang ada di dalam lukah itu lalu memasukkan ke dalam mulutnya. Setelah berkunyah-kunyah beberapa ketika, tulang-tulang ikan yang dimakannya dibuang ke atas tanah tebing sungai.
Kelakuan hantu air itu membuat Badang naik radang. Dia mengumpul segala kekuatannya lalu meluru keluar dari tempat persembunyiannnya itu. Dengan parang terhunus di tangannya dia melompat ke hadapan hantu air yang sedang sibuk makan itu.
Sepantas kilat Badang mencapai janggut hantu air itu. Direntap-rentapnya janggut hantu air itu sekuat-kuatnya. Parang yang ditangan kanannya di acung-cungkan ke arah hantu air itu.
“Aku bunuh engkau! Aku bunuh engkau!” tempik Badang dengan marahnya.
Melihatkan Badang yang bersungguh-sungguh hendak membunuhnya, hantu air itu menggeletar ketakutan.
“Tolonglah, jangan hamba dibunuh! Jangan hamba dibunuh!” rayu hantu air itu.
“Engkau mesti aku bunuh! Engkau curi ikan-ikan dalam lukah aku, memang patut engkau aku bunuh!” bentak Badang.
“Tolonglah, kasihanilah hamba! Jangan hamba dibunuh!”
Badang menyentak-nyentak janggut hantu air itu sekali lagi.
“Kalau engkau tidak bunuh aku, aku akan memberikan apa-apa yang engkau minta.”
“Jangan cuba hendak menipu aku,” balas Badang. “Apakah yang boleh aku harapkan daripada pencuri macam engaku?”
“Hamba dapat menolong tuan hamba, percayalah! Hamba boleh memberikan apa-apa sahaja yang tuan hamba minta. Tapi, tolonglah jangan bunuh hamba!”
Badang berfikir sejenak. Namun begitu, tangan kirinya masih tetap memegang erat janggut hantu air itu.
“Betulkah engkau boleh memenuhi apa-apa kemahuan ak?”
“Betul, beritahulah apakah yang tuan hamba mahu dan akan hamba tunaikan.”
Badang diam seketika.
“Bolehkah engkau jadikan aku gagah lagi perkasa?”
“Sudah tentu boleh!” jawab hantu itu. “Tapi, lepaskanlah janggut hamba dahulu.”
“Tidak! Aku tidak akan melepaskannya selagi engkau belum penuhi permintaan aku!” tukas Badang.
Hantu itu terdiam.
“Akan hamba penuhi permintaan tuan hamba itu. Tapi, ada syaratnya.”
“Apakah syarat itu?”
“Tuan hamba mestilah memakan muntah hamba. Selepas memakan muntah hamba itu kelas, tuan hamba akan menjadi gagah lagi perkasa seperi permintaan tuan hamba itu.”
Kata-kata ucapan itu membuat Badang terpinga-pinga. Dia tidak tergambarkan dirinya memakan muntah hatu air itu. Akan begitu, kemahuannya untuk mejadi kuat membuat dia menetapkan fikirannya dengan segera.
Setelah bulat fikirannya, Badang pun berkata, “ Baiklah, kalau begitu engkau muntah sekarang. Biar aku makan muntah engkau itu!”
Dia merenung hantu itu yang mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Tapi awas, jangan sekali-kali engkau menipu aku!”
Amaran Badang itu didengar oleh hantu air itu sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
Dengan secepat kilat, hantu itu pun mematahkan pelepas daun pidang dan meletakannya di atas tanah. Sesudah itu, hantu tersebut pun mula muntah. Badang masih tidak melepasakn janggut hantu tersebut. Dia terus juga mengacu-acukan parangnya ke kepala hantu itu.
Hantu itu terus muntah tanpa henti-hentinya. Muntahnya semakin banyak jatuh di atas lapik pelepah daun pisang itu. Badang memerhatikan hantu itu tanpa mengerdip-ngerdipkan matanya.
Sebaik-baik sahaja hantu air itu berhenti muntah, Badang mulalah mekannya. Pada ketika itu, tangannya semakin erat memegang janggut hantu itu.
Setelah melihat Badang selesai memakan muntahnya, hantu itu pun berkata, “Harap lepaskanlah hamba! Hamba telah memenuhi permintaan tuan hamba itu!”
“Tidak!” jawab Badang.
“Walaupun aku sudah habis memakan muntah engkau, itu belum lagi bereti aku sudah menjadi kuat dan gagah!”
“Kalau tuan hamba tidak percaya, tuan hamba boleh menguji kekuatan baru tuan hamba itu sekarang juga,” jawab hantu air itu.
Mendengarkan kata-kata itu, Badang lalu menancapkan parangnya di tanah di sisinya lalu dengan tangan kirinya, dia memegang sebatang pkok sebesar berdekatan di tebing sungai itu. Dengan mudahnya pokok itu tercabut dari tanah. Apa yang menghairankan, pokok itu terbungkas berserta dengan akar-akarnya sekali.
Badang kagum dengan kekuatan yang baru dia peroleh itu. Kemudian, dia mencabut beberapa batang pokok yang lainnya pula. Ternyata semua pokok itu dapat dia cabut dengan mudah.
“Lepaskanlah hamba!”
Badang lalu memandang hantu air itu lalu melepaskan pegangannya pada janggut hantu itu.
“Engkau boleh pergi sekarang! Tapi lain kali, engkau jangan mengganggu lukahku lagi!”
Hantu itu mengundur lalu berlalu dari situ dengan segera. Dengan sekelip mata, kelibat hantu itu sudah lesap.
Badang memasang semula lukahnya di sungai itu. Dia lalu naik ke tebing dan bergerak ke arah beberapa batang pokok besar yang berdekatan. Badang cuba menumbangkan pokok-pokok itu. Sekali dia berjaya dan pokok-pokok besar itu tumbang dengan sekali tolak. Pokok-pokok itu tumbang dengan akarnya terbungkas.
Badang berasa gembira dengan keupayaannya itu. Dirempuhnya hutan belantara di sekita sungai. Ada kalanya dia menunjal pokok-poko besar. Ada kalanya, dia menendang pokok-pokok besar. Dicabutnya pokok-pokok kecil dengan mudah. Mana-mana pokok yang dia capai akan habis terpelanting atau terbungkas.
“Aku sudah gagah! Aku sudah menjadi lebih kuat!”
Suara Badang bergema memecah keheningan kawasan hutan belantara itu. Dia terus menguji kekuatannya sambil menerangkan kawasan hutan yang akan dijadikan huma atau ladang oleh tuannya itu. Badang pulang segera ke kawasan hutan yang hendak dibersihkan. Dia langsung memulakan kerja-kerjanya menerangkan kawasan hutan itu. Dia mencabut semua pokok yang ada, yang besar atau kecil. Dalam masa yang singkat, kawasan hutan yang gelap itu menjadi terang-benderang dikerjakan Badang. Rumput-rumpai dan pokok-pokok renek sahaja yang perlu dia cabut. Dia dapat melakukan kerjanya dengan mudah dengan tenaga yang baru dia peroleh itu. Kerjanya semakin pantas dan dalam masa yang singkat, tanah yang ditumbuhi rumput itu mula bersih daripada sebarang tumbuhan. Setelah selesai menerangkan kawasan hutan itu. Badang berhenti sejenak lalu menghela nafas lega kerana tugasnya yang sepatutnya selesai dalam berminggu-minggu itu dapat dia lakukan dalam masa sehari. Penatnya berjaga menangkap pencuri ikan-ikan dari dalam lukahnya tidak dia rasa. Badang berasa puas hati melihat kawasan tanah yang sudah terang dan siap untuk dimulakan tanaman baru. Dengan langkah tangkas, dia pulang ke rumahnya. Di sepanjang jalan, badang tak henti-henti mengenangkan peristiwa yang berlaku siang tadi.
Sebaik-baik sampai di rumah, dai dipanggil tuannya. Tuannya berasa hairan melihatkan badang pulang awal daripada biasa dan kelihatan gembira sekali.
“Awal benar pulangmu, Badang? Bagaimana kerja-kerja menerangkan kawasan hutan yang aku suruh kaubuat itu?” tanya orang kaya itu.
“Orang kaya, sudah hamba selesaikan. Dan lagi, sekarang ini semuanya sudah siap untuk dimulakan penanaman baru.”
“Benarkah kata-katamu itu, Badang?
“Betul, Orang Kaya! Marilah ikut hamba ke sana. Orang Kaya boleh lihat sendiri keadaan kawasan tanah yang sudah saya terangkan.”
Badang membawa Orang Kaya itu pergi ke kawasan hutan yang telah dibersihkannya. Setibanya di sana, tuannya terpinga-pinga melihat keadaan sekeliling. Dia bagaikan tidak mempercayai apa-apa yang di lihat di situ. Hutan tebal yang besar itu sudah menjadi sebuah kawasan tanah lapang.
“Bagaimana hutan yang begini luas boleh kamu terangkan dengan cepat, Badang?” tanya Orang Kaya kehairanan.
“Hamba hanya mencabutnya, Orang Kaya,” jelas Badang.
“Engkau yang mencabut semua pokok ini? Aku macam tidak percaya,” kata Orang Kaya kepada Badang yang amat dia sayangi itu.
“Betul, Orang kaya. Dengan kedua-dua belah tangan saya ini, saya membersihkan kawasan hutan yang luas ini menjadi terang.”
Memandangkan Orang Kaya tercengang-cengang melihat keadaan sekeliling, Badang lalu menceritakan semula semua peristiwa yang telah berlaku. Badang menerangkan kisah dia menangkap hantu air yang memakan ikan-ikan dalam lukahnya dan dia memakan muntah hantu air itu untuk menjadi kuat dan gagah.
Badang lalu pergi ke sebatang pokok yang besar. Badang hanya menunjal pokok itu dengan jari telunjuk tangan kanannya. Dengan sedikit tolakan, pokok yang besar itu tumbang dan akarnya terbungkas.
Orang Kaya tercengang-cengang melihatkan keletah Badang itu. Dia malah bertambah kagum apabila melihat Badang dapat mengangkat pokok yang baru tumbang itu dengan kedua-dua belah tangannya. Dengan mudah, Badang menghumbangkan pokok di tangannya itu ke arah longgokan pokok yang tumbang.
Orang Kaya dengan segera mendapatkan Badang lalu memuji-mujinya. Orang Kaya tidak meragui akan kebolehkan Badang itu dan terus memuji-mujinya. Sayangnya akan Badang semakin bertambah.
Sebelum mereka berjalan pulang, Orang kaya telah berkata, “Sebagai balasan kerana engkau berjaya menerangkan kawasan hutan ini dengan masa yang singkat, aku merdekakan engkau mulai saat ini. Dengan itu, engkau bukan lagi hambaku.”
Badang terharu mendengar ucapan Orang Kaya. Dia segera mengucapkan terima kasih dan melahirkan perasaan hatinya yang gembira itu dengan keputusan Orang Kaya itu.
Dia melutut di hadapan Orang Kaya sambil berkata berkali-kali, “Terima kasih, Orang Kaya!”
Mulai saat itu, Badang dibenarkan hidup sebagai seorang yang merdeka. Kisah kegagahannya menjadi buah mulut para penduduk di situ. Badang yang mula masyhur namanya itu tidak pula berubah sikap. Sikapnya yang merendah diri itu telah menambat hati ramai orang. Mentelah lagi, dia suka menghulurkan bantuan dengan melakukan kerja-kerja yang berat untuk orang-orang yang datang berjumpa meminta pertolongannya. Kegagahannya itu memudahkan dia melakukan sebarang kerja dengan pantas lagi sempurna.
Kerajinan Badang itu mendapat ganjaran yang setimpal. Rezekinya bertambah hasil daripada pertolongan yang dia hulurkan kepada orang ramai. Badang dapat menampung keperluan hidupnya dengan upah pemberian orang setelah dia melakukan kerja-kerja yang berat untuk mereka.
Nama Badang menjadi terbilang dan berita kegagahannya itu sampai pada pengetahuan Raja Temasik, Seri Rana Wira Kerma. Baginda amat tertarik hati mendengar akan khabara mengenai kegagahan Badang. Baginda lalu menitahkan supaya Badang datang ke istana menghadap baginda. Baginda amat tertarik dengan perilaku dan kegagahan badang. Baginda lalu menalntik Badang menjadi salah seorang hulubalang di istana baginda.
Tersebutlah kisah, raja bertitah kepada bendahara pada suatu hari.
“Beta amat teringin makan ulam pucuk kuras. Tahukan datuk di mana ada pokok itu supaya dapat kita ambil pucuknya?”
“Ampun, tuanku beribu-ribu ampun,” sembah bendahara. “Setahu patik, di Kuala Sayung ada sebatang pokok kuras. Akan tetapi, pokok itu amatlah tinggi dan tidaka ada sesiapa yang berani memanjatnya.”
Sembah bendahara membuat raja diam buat beberapa ketika. Setelah itu, baginda pun bertitah,
“Apa pendapat datuk kalau kita titahkan Badang pergi mengambil pucuk kuras itu? Beta percaya Badang yang gagah perkasa itu berani memanjat pokok kuras yang tinggi itu!”
“Harap diampun, tuanku. Patik berstuju dengan titah tuanku itu. Kalau begitu, izinkanlah patik menyampaikan titah tuanku kepada pacal Badang itu supaya segera dia melaksanakannya. Moga-moga, dia akan dapat bertolak esok hari juga untuk mengambil pucuk pokok kuras yang Tuanku hajatkan itu,” bendahara mengangkat sembah lalu bermohon diri.
Badang pun diperintahkan menjalankan titah raja. Keesokan harinya, Badang sudah berangkat menuju ke Kuala Sayung. Badang mendayung perahu sepanjang kira-kira lapan depa itu menuju ke sana. Sebaik-baik dia tiba di Kuala Sayung itu, Badang memandang di kawasan sekelilingnya. Tidak lama kemudian, dia ternampak sebatang pokok kuras. Pokok itu amat tinggi dan puncaknya menyapu awan.
Dengan segera, Badang lalu memanjat pokok kuras itu. Sewaktu dia sampai di sebatang dahan yang agak tinggi, dahan itu patah apabila kakinya memijaknya. Dengan tidak dia sangka-sangka, tubuh Badang jatuh ke bawah. Sesampai di bumi, kepalanya terhempas di atas bongkah batu yang besar di bawah pokok tersebut. Anehnya, kepala Badang tidak cedera tetapi bongkah batu besar itu terbelah dua. Badang bingkas sambil meraba-raba kepalanya. Menyedari kepalanya tidak cedera, Badang segera memandang ke arah batu besar itu. Dia tersenyum kehairanan apabila mendapati batu itu terbelah dua namun kepalanya yang terhentak di atas batu itu tidak cedera sedikit pun.
Badang segera memanjat pokok itu sekali lagi dan kali ini dia berjaya mengambil pucuk beserta buahnya sekali.
Setelah mengambil buah dan pucuk pokok kuras itu, Badang segera bergerak pulang. Raja sangat gembira apabila Badang mempersembahkan pucuk kuras itu. Baginda memuji-muji Badang dan mengurniakan sepasang persalinan kepadanya.
Pada suatu waktu, Seri Rana Wira Kerma menitahkan para tukang membina sebuah perahu besar dan setelah siap pembinaanya, baginda memitahkan agar perahu itu dilancarkan ke laut. Pada mulanya, seramai empat puluh empat orang cuba melancarkan perahu itu ke laut. Usaha mereka tidak berjaya. Ramai orang dikerahkan untuk menolong. Namun begitu, perahu itu masih tidak berganjak daripada kedudukannya.
Raja yang memperhatikan peristiwa itu hanya menggeleng-gelengkan kepala baginda. Apabila baginda melihat orang-orangnya gagal melancarkan perahu itu ke air, baginda menitahkan Badang datang menghadap. Perintah raja itu segera dilaksanakan. Tidak lama kemudian, Badang pun tiba. Sesudah mengatur sembah, Badang pun berjalan mendapatkan perahu itu.
Sebaik-baik sahaja dia rapat dengan perahu itu, Badang segera mengangkat perahu itu. Orang ramai yang melihat kelakuan Badang itu bersorak-sorai memberi semangat kepada Badang. Raja, pembesar memuji-muji kegagahan badang itu.
Sebagai menghargai kegagahan Badang itu, raja melantiknya menjadi hulubalang diraja. Semenjak hari itu, bertambah-tambahlagi kasih baginda akan Badang yang gagah perkasa itu.
Kisah mengenai kegagahan Badang tersebar dari mulut ke mulut. Akhirnya, berita itu sampai ke pengetahuan Raja Benua Keling. Kebetulan Raja Benua Keling mempunyai seorang pahlawan yang gagah lagi perkasa. Nadi Bijaya Pikrama nama pahlawan gagah Benua Keling itu. Kehandalan Nadi Bijaya Pikrama itu termasyhur di negerinya dan tidak dapat oleh sesiapa pun di seluruh Benua Keling.
Mendengar akan perkhabaran tentang kegagahan Badang membuat Raja Benua Keling hendak menghantar Nadi Bijaya Pikrama ke Singapura. Baginda hendak nadi Bijaya Pikrama beradu kekuatan dengan Badang. Oleh yang demikian, baginda menitahkan Nadi Bijaya Pikrama menghadap baginda.
“Pergilah ke Singapura dan di sana nanti, kamu hendaklah beradu kekuatan menentang seorang hulubalang yang gagah di negeri itu. Bawa bersama-samamu tujuh buah kapal. Jika kamu menang, mintalah daripada Raja Singapura tujuh buah kapal,” titah raja itu.
“Menjunjung titah, tuanku,” sembah Nadi Bijaya Pikrama.
Setelah semua persiapan dibuat, Nadi Bijaya Pikrama pun belayar dengan diiringi oleh tujuh buah kapal. Rombongan itu disertai beberapa orang pembesar diraja dan beratus-ratus orang anak kapal.
Setibanya di Singapura, Nadi Bijaya Pikrama pun menghadap Raja Seri Rana Wira Kerma lalu menyatakan hajat dan tujuan kedatangannya ke Singapura. Setelah mendengar penjelasan Nadi Bijaya Pikrama itu, Raja Seri Rana Wira Kerma segera menitahkan Badang suoaya masuk menghadap baginda. Badang segera masuk menghadap baginda. Baginda menitahkan perlawanan gusti antara Badang dan Nadi Bijaya Pikrama segera diadakan. Perlawanan beradu kekuatan itu diadakan di balairung seri di hadapan raja, para pembesar dan juga rombongan yang mengiringi Nadi Bijaya Pikrama.
Sewaktu perlawanan itu berlangsung, suasana di balairung seri menjadi hingar-biingar dengan sorak-sorai orang-orang yang menyaksikannya. Baginda Raja Seri Rana Wira Kerma turut teruja untuk memberikan semangat kepada Badang. Pertandingan beradu kekuatan itu tidak berjalan dengan sekejap masa sahaja. Badang berjaya mengalahkan Nadi Bijaya Pikrama. Kejayaan Badang itu disambut dengan gembira oleh orang-orang Singapura. Baginda RajaSeri Rana Wira Kerma dan pembesar-pembesarnya turut berasa gembira dengan kejayaan Badang itu. Akan tetapi, Nadi Bijaya Pikrama pula berasa tidak puas hati dengan kekalahannya itu. Dia langsung mengangkat sembah dan memohon agar diadakan sebuah lagi pertandingan lain bagi menentukan jaguh yang lebih gagah antara dia dan Badang.
Raja Seri Rana Wira Kerma mempekenankan permintaan pahlawan dari Benua Keling itu. Nadi Bijaya Pikrama lalu berkata kepada Badang, “Di hadapan istana ini kita lihat ada sebongkah batu yang sangat besar. Marilah kita beradu kekuatan dengan mengangkat batu itu. Sesiapa yang tidak berjaya mengangkatnya dianggap kalah.”
“Hamba bersetuju,” balas Badang.
Kedua-dua orang pehlawan itu lalu keluar ke halaman istana dengan disertai raja dan semua yang ada di balairung seri itu. Badang meminta Nadi Bijaya Pikrama mengangkat bongkah batu itu telebih dahulu sebaik-baik mereka tiba di luar istana.
Nadi Bijaya Pikrama lalu melangkah ke arah bongkah batu besar itu. Dengan penuh kesungguhannya, Nadi Bijaya Pikrama cuba mengangkat batu tersebut.
Selepas dicubanya beberapa kali, akhirnya dia berjaya mengangkat batu itu . batu itu hanya dapat dia angkat ke paras lututnya sahaja. Dia lalu menurunkan batu itu setelah dia mendapati dia tidak dapat mengangkat batu itu lebih lama lagi.
“Saya sudah berjaya mengangkat batu ini. Sekarang, giliran kamu pula mengangkatnya.”
Badang hanya tersenyum lalu menghampiri batu itu. Badang dapat mengangkat batu itu dengan kedua-dua belah tangannya tanpa mengalami sebarang masalah. Nadi Bijaya Pikrama tidak mempercayai apa-apa yang dia lihat. Pada sangkaannya, Badang tidak akan terdaya mengangkat batu itu dengan mudah seperti dirinya.
Setelah itu, Nadi Bijaya Pikrama terpegun apabila melihat Badang melontarkan batu itu ke arah kuala Sungai Singapura. Batu itu jatuh di kuala suungai itu lalu membentuk sebuah tanjung. Tempat itu kini dikenali sebagai Tanjung Singapura.
Nadi Bijaya Pikrama yang terpegun itu melopong melihat semua yang sedang berlaku. Pembesar-pembesar negerinya juga tepegun meyaksikan kejadian itu. Raja dan orang-orang Singapura bersorak-sorai tanda kegembiraan atas kejayaan Badang yang menakjubkan itu.
Menyedari betapa gagahnya Badang daripadanya, Nadi Bijaya Pikrama berasa amat malu. Dia mengakui kekalahannya. Dia lalu menyerahkan ketujuh-tujuh buah kapal yang dibawanya kepada Raja Singapura. Setelah itu, dia dan rombongan dari negeri di benua Keling berangkat pulang dengan kecewa.
Berita kejayaan Badang menewaskan Nadi Bijaya Pikrama tersebar luas ke negeri-negeri yang berdekatan. Tidak lama selepas itu, berita tentang kegagahan Badang masyhur sampai kepada pengetahuan Raja Perlak. Pada masa itu, di Perlak ada seoarng pahlawan bernama Benderang. Benderang ialah pahlawan diraja yang amat dikasihi oleh Raja Perlak.
Sewaktu berita tentang kejayaan Badang mengalahkan Nadi Bijaya Pikrama disampaikan kepada Raja Perlak, Benderang turut berada di istana dan sedang menghadap rajanya. Sebaik-baik sahaja mendapat khabar itu, Benderang berasa cemburu keranan orang yang menyampaikan berita itu asyik sekali meuji-muji tentang kehebatan Badang mengalahkan Nadi Bijaya Pikrama. Benderang lalu mengatur sembah seraya berkata, “Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Pada fikiran patik, hulubalang Raja Singapura itu tidaklah sehebat mana pun dan patik percaya dia tidak akan dapat menandingi kekuatan patik sendiri. Oleh itu, jika ada izin tuanku, patik mohon izin pergi ke Singapura. Biar patik buktikan kepada tuanku yang patik jauh lebih gagah daripada hamba Raja Singapura itu.”
Mendengarkan sembah Benderang itu, Raja Perlak terdiam buat seketika. Baginda lalu bertitah, “Baiklah, Benderang. Beta perkenankan permintaan kamu itu. Beta akan titahkan Datuk Mangkubumi Tun Perpatih Pandak untuk membuat kelengkapan bagi tujuan pemergian kamu ke Singapura itu kelak.”
“Menjunjung kasih, Tuanku,” sembah Benderang.
Tun Perpatih Pandak masuk menghadap lalu berdatang sembah.
“Beta mahu Datuk mengiringi Benderang ke Singapura untuk beradu kekuatan dengan Badang, hulubalang Singapura yang masyhur beritanya itu. Buatlah segala kelengkapan bagi rombongan datu dan Benderang untuk berangkat ke sana,” titah Raja Perlak.
“Menjunjung titah, Tuanku!” sembah Tun Perpatih Pandak.
Setelah segala kelengkapan siap, maka bertolaklah rombongan Perlak itu ke Singapura. Berita mengenai kedatangan rombongan kerajaan Perlak itu sampai kepada pengetahuan Raja Seri Rana Wira Kerma. Baginda menitahkan para pembesarnya menyambut rombongan kerajaan Perlak itu. Maha Indera Bupala telah ditugaskan untuk mengetuai upacara sambutan tetamu diraja dari seberang itu.
Sebaik-baik sahaja rombongan dari kerajaan Perlak itu tiba di pelabuhan Singapura, Maha Indera Bupala membawa gajah diraja untuk menjemput Tun Perpatih Pandak beserta rombongannya. Dia diiringi oleh berpuluh-puluh orang pembesar dan pengawal.
Sebaik-baik sahaja tiba di pelabuhan Singapura, Tun Perpatih Pandak lalu menyerahkan warkah daripada baginda Raja Perlak kepada Maha Indera Bupala. Warkah itu kemudiannya diarak ke istana untuk dipersembahkan kepada Raja Seri Rana Wira Kerma.
Rombongan dari Perlak itu diberi layanan yang sebaik-baiknya sewaktu tiba di istana. Warkah Raja Perlak itu dibacakan kepada Raja Seri Rana Wira Kerma. Menerusi warkah itu, Raja Perlak menyatakan hajatnya menghantar Benderang ke Singapura.
“Adalah maksud adinda mengutus Benderang itu ke Singapura kerana adinda mendengar kakanda ada seorang hulubalang yang gagah perkasa. Bolehlah kita beradu hulubalang adinda, Benderang dengan hulubalang kakanda itu.” Bunyi kandungan warkah tersebut.
“Jikalah ditakdirkan Benderang kalah dalam beradu kuat dengan hulubalang kakanda, adinda akan menghadiahkan sebuah gedung harta kepada kakanda. Sebaliknya, kalau hulubalang kakanda itu kalah pula, kakanda hendaklah memberikan ganjaran yang serupa kepada adinda.”
Raja Seri Rana Wira Kerma hanya tersenyum mendengar pembacaan kandungan warkah itu. Baginda lalu bertitah kepada tun Perpatih Pandak, “Beta amat bersetuju dengan hajat adinda beta, Raja Perlak itu. Eloklah kita adakan pertandingan itu pada esok hari sebab beta percaya datuk dan datuk-datuk sekalian pasti letih dan beta usulkan agar datuk-datuk semua beristirehatlah dahulu.”
“Patik sekaliannya bermohon diri dahulu,” kata Tun Perpatih Pandak lalu mengangkat sembah sebelum beredar.
Setelah itu, raja Seri Rana Wira Kerma menitahkan Badang datang menghadap baginda.
“Besok, kamu beta titahkan beradu kekuatan dengan hulubalang Raja Perlak. Elok sangatlah engaku bersiap-siap.”
Mendengarkan akan perintah baginda itu, Badang lalu mengangkat sembah seraya berkata, “Ampun tuanku beribu-ribu ampun. Bukanlah maskud patik mengingkari titah tuanku itu. Pada fikiran patik, hal ini eloklah difikirkan semasak-masaknya.”
“Apakah sebab kamu berkata demikian, wahai Badang?”
“Menurut hemat patik, Benderang itu bukanlah calang-calang pahlawan. Namanya terkenal di segenap pelosok kepulauan Melayu Kalau patik kalah beradu kekuatan dengan Benderang sudah tentu Tuanku akan menanggung malu. Oleh itu, sebelum tuanku mengisytiharkan pertandingan itu, patik mohon agar tuanku membenarkan patik menguji kekuatannya terlebih dahulu. Kalau patik fikir dapat mengalahkannya, patik akan menyembahkannya kepada Tuanku. Tuanku bolehlah mengisytiharkan pertandingan itu. Begitulah juga jika sebaliknya yang berlaku,” sembah Badang.
“Usul kamu itu memang molek, tapi dengan cara apakah yang kamu hendak menguji kekuatan Benderang itu?”
“Malam nanti, Tuanku undanglah orang-orang Perlak itu ke sebuah majlis. Dalam majlis itu nanti, patik akan duduk di sebelah Benderang. Pada masa itulah nanti, patik akan menguji kekuatannya,” ujar Badang seraya mengangkat sembah.
Usul Badang itu Seri Rana Wira Kerma persetujui. Baginda mengadakan sebuah jamuan untuk meraikan rombongan dari Perlak itu pada malam itu. Semasa jamuan sedang berlangsung, badang duduk di sebelah Benderang.
Sewaktu para tetamu sedang menimati juadah dan menyaksikan hiburan yang disediakan, Benderang cuba menindih pada Badang dengan lututnya. Walaupun sekuat mana Benderang itu, dia tidak dapat menindih paha Badang dengan lama. Badang dapat mengangkat lutut Benderang dengan mudah sekali. Sesudah itu, badang pula menindih pada Benderang dengan lututnya. Benderang cuba sudaya upayanya untuk mengangkat lutu Badang itu tetapi dia tidak berjaya. Semua usahanya untuk mengangkat lutut Badang itu sia-sia sahaja. Lutut Badang tidak terangkat malah tidak dapat digerakannya sedikit pun.
Kejadian itu berlaku tanpa pengetahuan sesiapa pun dalam majlis itu kecuali Badang dan Benderang. Daripada kejadian itu, Badang yakin yang dia dapat mengalahkan Benderang dengan mudahnya.
“Badang ini sangat kuat orangnya. Kalau aku beradu kuat dengannya sudah tentu aku akan kalah. Ada baiknya aku tidak beradu kuat dengannya.” Benderang sudah mengambil keputusan.
Pada malam itu setelah mereka pulang ke tempat penginapan mereka, Benderang menceritakan kejadian yang berlaku antara dia dengan Badang sewaktu dalam majlis itu kepada tun Perpatih pandak. Benderang juga mengesyorkan agar pertandingan beradu kekuatan antara dia dengan badang dibatalkan kerana menurutnya, dia tidak mahu memalukan Raja Perlak dengan kekalahannya itu kelak.
Setelah rombongan Raja Perlak itu beredar, Raja Seri Rana Wira Kerma pun bertanya, “ Apakah dapat engkau melawan Bernderang?”
“Ampun, Tuanku,” sembah Badang, “ dengan Daulat Tuanku, dapatlah patik mengalahkannya. Esok, tuanku adukanlah patik dengan pacal Benderang itu.”
“Baiklah,” titah baginda lalu masuk meninggalkan majlis.
Pada keesokan harinya, setelah bersemayam di atas takhta, Tun Perpatih Pandak datang menghadap Raja Seri Rana Wira Kerma. Pembesar Perlak itu menyembahkan niatnya hendak membatalkan acara mengadukan Badang dengan Benderang.
“Pada pendapat patik, jikalah kita adukan kedua-dua hulubalang itu, akan buruk padanya, tuanku. Takutkan nanti terjadi selisih faham antara tuanku dengan raja patik pula,” sembah tun Perpatih Pandak.
Raja Seri Rana Wira Kerma teersenyum mendengarkan akan sembah itu. Baginda lalu bertitah, “Benar pula kata Datuk itu. Elok sangat kita batalkan niat mengadu kekuatan antara Badang dan Benderang.”
Titah Raja Seri Rana Wira Kerma itu membuat hati Tun Perpatih Pandak sangat gembira. Benderang dengan senang hati menerima berita yang disampaikan oleh Tun Perpatih Pandak.
Raja Seri Rana Wira Kerma menitahkan Badang dan Benderang datang menghadap baginda. Baginda menitahkan kedua-dua hulubalang itu merentangkan batu rantai di perairan sekeliling Singapura supaya kapal-kapal yang lalu-lalng tidak boleh masuk ke pelabuhan sewenang-wenangnya. Kedua-duanya menjalankan titah Raja Seri Rana Wira Kerma dengan segera.
Setelah beberapa hari di Singapura, robongan dari Perlak itu bersiap-siap untuk pulang ke negeri mereka. Raja Seri Rana Wira Kerma telah menitahkan sepucuk warkah diraja disediakan untuk Raja Perlak.
Pada hari yang ditetapkan, rombongan dari Perlak itu berangkat pulang. Raja Perlak menyambut rombongan itu dengan penuh istiadat. Bagida tidak sabar-sabar hendak mengetahui akan keputusan Benderang yang beradu kuat dengan Badang itu. Setelah mendengar penjelasan daripada Tun Perpatih Pandak dan membaca warkah diraja utusan Raja Singapura itu, baginda faham duduk perkara yang berlaku.
Badang terus berkhidmat kepada Raja Seri Rana Wira Kerma dengan penuh taat setianya. Tidak berapa lama sesudah itu, Badang meninggal dunia dan dikebumikan di sebuah tempat berana Buru. Khabar kematian badang itu sampai kepada pengetahuan Raja Benua Keling. Baginda mengirimkan batu nisan yang khas untuk makam itu sebagai tanda penghormatan kepada Badang yang masyhur itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan