Khamis, Disember 01, 2011

Cerita Awang Kenit

Cerita ini popular sebab dikatakan Awang Kenit dapat menewaskan gergasi yang jahat yang bermaharajalela di sebuah kampung di tepi sebuah hutan tebal. Gergasi itu suka mencuri makanan dan membunuh ternakan para penduduk kampung. Gergasi itu akan merayau-rayau di dalam kampung itu apabila para penduduknya keluar berkerja di kebun-kebun kepunyaan mereka.
Tersebutlah kisah seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang amat istimewa baginya. Anak lelakinya itu, Awang, hanya setinggi ibu jarinya.
Memandangkan bentuknya yang kecil, sudah tentu anak itu menghadapi pelbagai rintangan. Ibu itu membekalkan anaknya sebatang jarum tajam sebagai senjata untuk membela dirinya jika berlaku sebarang bahaya. Dengan berlatih bersungguh-sungguh, Awang dapat menggunakan peniti tajam itu dengan cekap sebagai senjatanya. Awang berlatih dengan membunuh banyak nyamuk dan labah-labah yang datang mengganggunya.
Pada suatu hari, Awang dipanggil ibunya. Ibunya telah memberi dia sebuah pesanan.
“Dengarlah Awang, anak kesayangan emak baik-baik,.” Awang memasang telinga sewaktu ibunya berucap. “Jangalah anak emak keluar rumah. Emak hendak pergi ke pasar dan menjaja sayur-sayur dari kebun kita itu. Semoga dengan hasil jualan sayur-mayur itu, dapatlah emak sedikit wang dan boleh dibuat membeli sebilah pisau. Dengan pisau itu, mudahlah bagi emak melakukan kerja-kerja memotong daging dan menyiang sayur-mayur buat makanan hidangan kita bersama-sama. Ingatlah pesan emak. Jika Awang mendengar tapak kaki gergasi di luar rumah, cepat-cepatlah Awang bersembunyi di tempat yang dia tidak boleh menjumpai kamu.”
Setelah bersalaman dan mengucup tangan emaknya, Awang melihat emaknya bergegas keluar rumah sambil membimbit sebuah raga yang sarat berisi hasil tanaman di kebun mereka.
Awang mengisi masanya dengan bermain-main di dalam dapur dan bilik tidur. Sedang dia leka berkhayal sewaktu bermain-main itu, bumi seakan-akan bergegar. Raksasa sedang berlalu di luar rumahnya. Awang dengan segera menyorokkan dirinya di bawah sebiji batok kelapa, alat sukatan beras emaknya.
Tiba-tiba, Awang terdengar pintu rumahnya dibuka dengan kuat. Raksasa itu telah masuk ke dalam rumahnya. Awang mengintai melalui rekahan batok kelapa itu dan dia dapat melihat gergasi itu sedang membongkar para dan membuka periuk-periuk di dapur. Di bawah tudung sajai, ada sisa hidangan sarapan Awang dan emaknya. Raksasa itu mengambil sebiji pinggan lalu diisi dengan nasi yang disenduknya dari salah sebiji periuk di situ. Dia duduk bersila di atas lantai dan mula makan. Sedang raksasa itu makan, tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat dan diikuti dengan bau yang sungguh busuk. Raksasa itu terkentut dengan kuat berkali-kali. Awang yang tidak dapat menahan dirinya menyaksikan gelagat raksasa yang lucu itu, ketawa terbahak-bahak. Bunyi suara ketawa Awang seperti seekor anak burung pipit. Tiba-tiba, keadaan gelap di bawah batok kelapa itu menjadi terang. Awang bingkas apabila terpandang wajah raksasa yang hodoh itu di hadapan matanya.
“Apakah ini?” kata raksasa itu sambil mengutip tubuh Awang yang kecil itu dan diamat-amatinya.
“Ada seorang budak! Bagus, aku dapat makan daging manusia!” gelak raksasa itu membingitkan telinga Awang yang berada di hujung-hujung jari raksasa itu.
Tiba-tiba keadaan sekelilingnya bertukar menjadi gelap kembali. Apabila Awang membuka matanya, dia berada di dalam sebuah terowong gelap dan berbau busuk. Rupa-rupanya, Awang sudah ditelan raksasa itu.
Awang tidak berasa gentar sedikit pun. Dia menghunus jarum tajam yang tersisip di pinggangnya lalu menikam-nikam dinding usus gergasi itu. Darah mencurat-curat mengalir keluar di kelilingnya. Namun, Awang masih terus juga menikam dinding usus raksasa itu dengan kuat.
Raksasa yang tidak dapat menahan kesakitan akibat ditikam itu lalu rebah ke lantai sambil mengerang-ngerang. Raksasa itu sedar bahawa dia telah membuat kesilapan dengan menelan Awang tadi. Tidak lama kemudian, Awang mendapati dia tidak mengalami sebarang pergerakan di dalam badan gergasi itu.
Tinggallah Awang di dalam perut gergasi yang tidak bernyawa lagi. Awang berdoa semoga emaknya segera pulang ke rumah untuk menyelamatkannya. Awang terlelap di dalam perut raksasa itu kerana berasa terlalu letih.
Petang itu, emaknya pulang dari pasar. Emak Awang terpegun mendapat mayat gergasi terbujur di atas lantai rumahnya. Di kulit bahagian perut raksasa itu, emak Awang mendapati ada sebatang jarum tertusuk keluar. Sedarlah emak Awang bahawa anaknya tidak hilang. Dia dengan segera mengambil pisau yang baru dibelinya. Dengan berhati-hati, dia menebuk lubang di bahagian perut raksasa yang terbujur kaku itu. Di situlah, emaknya mengeluarkan Awang yang kelihatan berlumuran darah.
Selepas memandi dan memberikan Awang pakaian yang bersih, mereka berdua masuk ke kampung untuk mendapatkan pertolongan orang-orang kampung untuk menanam bangkai raksasa yang jahat itu yang sudah mati itu.

Tiada ulasan: