Selasa, April 05, 2011

Tersebutlah Kisah.... Berita Harian, Singapura, 2 April, 2011

Oleh
Ismail Wardi




Tajuk: Syair Cerita Kanak-Kanak
Penulis: Abdul Manaf Mohd Yasir
Penerbit: Persama Enterprise, Singapura
Tebal: 112 halaman

BELIAU amat meminati syair. Malah, dalam beberapa acara bahasa dan sastera, beliau diundang melagukan beberapa syair seperti Syair Siti Zubaidah, Dendang Siti Fatimah dan Syair Selendang Delima.

Keupayaan Abdul Manaf Mohd Yasir bersyair dengan membawakan lagu yang berbeza-beza mampu memukau hadirin.

Minat yang mendalam serta percaya bahawa syair berpotensi dihidupkan dan dikembangkan untuk generasi akan datang telah mendorongnya mengusahakan sebuah buku kumpulan syair berjudul Syair Cerita Kanak-Kanak, yang baru sahaja diterbitkan.
Sebelum ini, Abdul Manaf telah menghasilkan dua novel remaja, Aku Tidak Punya Pilihan (DBP 1994) dan Bagai Angin Bertiup Lalu (Pekan Ilmu 2009).

Syair Cerita Kanak-Kanak menghidangkan sembilan syair yang digubah berdasarkan cerita-cerita rakyat terkenal seperti Lebai Malang, Singapura Dilanggar Todak, Badang dan beberapa cerita dongeng Melayu.

Bertujuan menyampaikan cerita menerusi syair, penulis menggubahnya menggunakan perkataan-perkataan mudah demi menuju sasarannya, iaitu pembaca kanak-kanak peringkat rendah atau sebagai permulaan mengenali syair.

Cerita-cerita itu mengandungi banyak pengajaran dan teladan.

Setiap syair telah digubah menurut alur cerita. Namun, sama ada disengajakan atau tidak, pada beberapa cerita, penulisnya tidak mengakhiri syairnya hingga ke akhir cerita. Sebagai contoh, di dalam Syair Badang Beroleh Kekuatan di halaman 9, kisah Badang diakhiri dengan syair:

Badang perkasa masyhurlah namanya,
Ramai yang hairan mendengar kisahnya,
Bukan sedikit kagum dek kekuatannya,
Tak kurang yang kasih akan baik budinya.


Pada pandangan saya, jika bahagian ini dimasukkan juga kisah Badang beradu kekuatan mengangkat batu besar dengan seorang pahlawan gagah dari benua Keling dan kemudian melontarkannya ke kuala sungai Singapura serta kisah Badang menguji kekuatannya dengan seorang pahlawan dari Perlak, seperti tercatat dalam Sejarah Melayu, ia akan lebih menarik perhatian kanak-kanak.

Bagaimanapun, apa yang menariknya, pada sesetengah syair, penulis menyelitkan beberapa dialog bagi lebih menghidupkan cerita apabila dibaca atau dilagukan.
Contohnya:

'Ampun tuanku patik menurut perintah,'
Perdana Menteri memberi sembah,
'Kalaulah begitu tuanku bertitah,
Berkubu batang pisang rakyat dikerah!'
- Syair Hang Nadim, halaman 23.


Kesimpulannya, usaha Abdul Manaf ini wajar dihargai memandangkan kurangnya bukubuku sebegini untuk bacaan kanak-kanak dan ia amat baik jika digunakan di sekolah-sekolah rendah sebagai bacaan tambahan.

Tiada ulasan: