Ahad, Mac 06, 2011

Pandangan Peribadi Saya Akan Saringan Pesta Pantun 2011, PBMUKS pada Sabtu, 5 Mac 2011


(Sewaktu mengulas persembahan kumpulan pada akhir saringan)



(Bersama-sama Encik Ismail Bin Wardi @ Iswardy, sebagai pengadil saringan tersebut)

Pengadil mendapati pantun dua kerat yang dimanfaatkan dalam bahagian pengenalan kumpulan dipersembahkan dengan baik oleh semua kumpulan. Terdapat unsur humor yang bertujuan memikat hati pendengar dan setentunya pengadil. Unsur flora dan fauna kerap digunakan dalam pantun dua kerat yang sememangnya menghiburkan.
Secara keseluruhan, semua kumpulan dapat mencipta pantun berdasarkan tema-tema yang telah ditetapkan. Mereka dapat melahirkan pantun sama ada secara berkumpulan atau individu.
Namun, penelitian saya dan teman pengadil mendapati hal-hal seperti kekeliruan bentuk pantun masih berlaku, umpamanya, tiada pembayang dan pantun empat kerat yang dici[ta itu boleh dianggap sebagai syair. Unsur-unsur sajak juga didapati dalam ayat-ayat pada baris-baris pantun empat kerat yang diungkapkan.
Dalam bahagian pantun empat kerat yang harus dicipta sama ada secara berkumpulan atau secara individu, terdapat beberapa buah kumpulan dan beberapa orang peserta tidak memenuhi syarat bilangan suku kata yang sekata pada baris-baris yang mereka utarakan. Hal tersebut dapat dikesan kerana mereka seolah-olah cuba untuk menlengkapkan kriteria rima pada bahagian akhir bari-bari itu. Walaupun pantun lebih tersusun dan sekata dalam sturkturnya, namun itu tidak menghambat para peserta dan kumpulan mengungkapkan idea-idea yang bernas lagi menarik.
Kosa kata yang terhad juga didapati menghambat para peserta dalam menentukan kata-kata yang dipilih untuk menyelaraskan bunyi suku kata dan rima setiap baris dan rangkap pantun yang mereka hasilkan. Ada beberap buah kumpulan dan beberapa orang peserta tidak memanfaatkan flora dan fauna dalam mereka mengungkapkan pembayang pantun yang akhirnya pantun yang dihasilkan seakan-akan serangkap syair atau puisi berirama.
Ada kumpulan menyangka bahawa pantun begitu serius lantas pantun yang diungkapkan lebih bercorak ekslusif dan tidak inklusif. Pantun harus mengambil kira pendengar dan pengadil dalam peraduan yang mengikuti pantun-pantun yang diungkapkan. Pantun demikian, bagi saya, lebih merupakan pengaruh puisi moden yang bersifat individualistik dan tidak bersifat bermasyarakat yang pada ciri-ciri seserangkap pantun.
Namun, secara keseluruhannya, pantun-pantun yang dicipta banyak yang membawa nilai positif dan itulah yang amat digalakkan pada setiap peserta dan kumpulan dalam peraduan ini.


(Berpotret sekali lagi sebelum kami berpisah)


Usul untuk Peringkat Selanjutnya
Saya ada menyatakan dalam bengkel mencipta pantun tempoh hari bahawa selain rima akhir baris-baris yang adalah ab-ab. Saya menganjurkan agar setiap kumpulan dan peserta pertingkatkan dengan memastikan pada bahagian tengah baris-baris berpadanan hendaklah juga berima. Ini akan mengaindahkan lagi rentak dan kesan pada pantun-pantun yang diungkapkan kelak.
Manfaatkan kaedah penggunaan ayat-ayat lisan Bahasa Melayu yang begitu banyak lagi luas.
Ingat bilangan suku kata bagi baris-baris yang berpasangan, gunakan unsur flora dan fauna dalam dunia Melayu yang begitu banyak. Hal ini termasuklah teknologi, ekonomi, perdagangan, ungkapan ilmiah; namun harus jelas dan langsung agar pendengar dan tentunya pengadil dapat menikmatinya dan tidak janggal pada pendengaran mereka. Ungkapan-ungkapan biasa dalam bahasa pasar lagi kasar hendaklah dihindarkan. Kata gandaan hendaklah dihemat penggunaannya oleh para peserta, agar tidak lain pula bunyi maksud atau bunyi pantun yang diungkapkan.
Bagi sesi jual beli pantun, saya menganjurkan agar peserta memanfaatkan pantun yang dijual itu dan sisipkan jawapannnya dan lakukan perubahan yang perlu. Suku kata dan pemilihan kata serta gaya ayat yang digunakan perlu diambil kira. Berlatihlah untuk mencipta pantun dengan kerap agar hal demikian menjadi sesuatu yang mudah kelak.
Akhir sekali, gunakan gaya yang menarik sewaktu mengucapkan pantun-pantun itu. Soal kemahiran lisan ini adalah sebuah kemahiran yang sama sekali menuntut kepakaran yang lebih tinggi. Namun, merujuklah kepada guru penasihat, rakan-rakan atau kaum keluarga. Bacalah pantun-pantun pusaka yang termasyhur itu sebagai langkah pertama dan dilanjutkan dengan mengungkapkan pantun yang anda cipta sendiri sama ada secara spontan atau ditulis dahulu.
Pantun memang serius perutusannya namun disampaikan secara bersantai. Selitkan unsur-unsur humor yang sihat semoga anda buakn sahaja dapat melakukan yang terbaik malah memikat hati pengadil yang memarkahkan setiap pantun yang diungkapkan dalam peraduan itu.
Sayang sekali, saya tidak akan berada bersama-sama anda untuk peringkat selanjutnya. Saya berkursus di Institut Terjemahan Negara, Malaysia di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada waktu-waktu itu.
Salam Maju Jaya. Selamat Berpesta Pantun dan Menjana Pemikiran yang Sihat lagi Positif.

Tiada ulasan: