Alhamdulillah, terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan dalam kelas bahasa Melayu dan Sastera Menengah 3.
Bagi pelajar menengah 2 (Cikgu Normarlina), mereka saya bawa aktiviti membaca teks sambil mendengar teks dibacakan dalam rakaman audio. Sesudah itu, para pelajar tersebut saya minta membuat 2 buah buku kecil. Satu untuk mereka senaraikan kekata yang sukar dan dicari padanan makna daripada Kamus Dewan. Sebuah lagi, mereka saya arahkan membuat ringkasan cerita sama ada dalam bentuk karangan mudah atau komik mudah. Kesemunya hendaklah disediakan dalam minggu ini dan saya akan kembali ke kelas tersebut untuk merakamkan persembahan mereka yang akan membaca daripada buku-buku kecil yang mereka sediakan itu. Saya juga menggalakkan mereka menghiasi buku sinopsis itu agar kelihatan menarik. Begitu juga dengan buku senarai kosa kata yang mereka dapati sukar yang terdapat dalam teks Perempuan Kerudung Hitam.
Bagi kelas sastera menengah 3, saya perdengarkan kedua-dua teks sambil mereka menyemak teks-teks bercetaknya. Mereka saya pinta membuat perbincangan mengenai gaya bahasa yang terdapat dalam kedua-dua teks tersebut. Saya menganjurkan kepada mereka agar bahan-bahan yang tersiap nanti dimuatkan ke dalam blog masing-masing selain memberi saya salinan untuk saya semak. Mereka harus membuktikan bahawa tema impian dan pilihan amat ketara dalam teks-teks tersebut.
Kumpulan ketiga merupakan pelajar-pelajar HML VS saya dan Cikgu Normarlina. Mereka membaca teks sambil mendengar rakaman audio Perempuan Kerudung Hitam dan menandai setiap kosa kata dan frasa yang sukar. Mereka saya minta menyenaraikan kosa kata itu dalam komputer. Cikgu Noormarlina menyarankan agar digunakan kamus lelaman rasmi DBP, Malaysia dan membuat 'cut and paste'. Bahan yang tersedia hendaklah dihantar kepada saya selewat-lewatnya pada hari Ahad, 9 Ogos 2009. Berikutnya, kami berbincang tentang pengalaman beberapa orang pelajar mengerjakan umrah dan ziarah di Makkah. Banyak hal yang timbul dan saya gunkan waktu itu untuk menyatakan apa-apa mengenai rukun haji di Makkah serta kisah Nabi Ibrahim s.a.w dan Nabi Ismail s.a.w. Mereka saya suruh untuk membuat buku kecil berdasarkan pemahaman teks yang dibaca itu dan akan dibentangkan pada hari Rabu hadapan.
Saya amat berterima kasih kepada Cikgu Noormarlina kerana berkongsi aktiviti pengajaran dan pengendalian akttiviti Baca! Singapura 2009 ini. Esok, saya akan menjalankan aktiviti membaca dan sesi perbincangan mengenai impian dan pilihan dengan pelajar menengah 2 saya membaca Perempuan Kerudung Hitam serta kumpulan pelajaran menengah 3 Normal Technical saya bersama-sama pelajar menengah 1 Cikgu Noormarlina membaca dan membincangkan Elergi Di Tabir Pelangi. Saya berasa tidak sabar-sabar lagi hendak berkongsi pengalaman membaca dengan mereka dalam aktiviti-aktiviti susulan yang bakal dijalankan kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan