Isnin, November 05, 2007

Majlis Anugerah Guru Arif Budiman


** Cenderamata Yang Kami Terima **



** Para Pelajar Saya Yang Menyertai Majlis AGAB **


3 November 2007 – Hotel Furama Riverfront, Mercury Ballroom

Saya berasa bahagia sekali kerana usaha sebahagian daripada anak-anak didik saya berhasil dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Betapa tidaknya, selain mengasuh mereka menyampaikan pendeklamasian puisi ‘Guru O Guru’ karya Allahyarham Usman Awang, persembahan tersebut memberikan saya peluang untuk menunjukkan dendang lagu-lagu syair Siti Fatimah, alunan Gurindam Dua Lapis dan salah satu lagu Teromba lama serta lagu ranting Nazam yang syahdu. Ada banyak gaya persembahan lagu-lagu puisi tradisional Melayu yang masih belum dikenali, terutamanya yang asalnya dari pulau, negara yang kita kasihi ini.

Puisi tersebut telah disyorkan oleh Presiden Persatuan Guru-guru Bahasa Melayu, Cikgu Wan Imran bagi persembahan kami. Memandangkan masa yang diperuntukkan untuk persembahan kami itu, seluruh puisi itu dimanfaatkan. Banyak yang saya pelajari dalam memberikan makna dan membangkitkan rasa penghayatan puisi kepada para pelajar saya. Satu usaha yang menyeronokkan lagi penuh bermakna.

Seronok apabila mendengarkan anak-anak itu; Siti Umairah, Fazleen, Izyan, Siti Aishah, Farhana, Shahirah anak Pak Samad bersama-sama Hanafi dan Nabil turut menggemakan ‘intro’ persembahan itu dengan laungan syahdu yang sungguh mengesankan.

Terpandang wajah tetamu terhormat, Encik Tharman Shanmugaratnam, beserta Encik Masagos Zulkifli dan para tetamu yang lainnya tersenyum senang dengan penampilan kami. Bersemangat pula saya, seakan-akan mendapat input baru. Saya percaya pelajar-pelajar saya dapat mengesani perasaan saya. Agaknya?

Mereka mendendangkan rangkap pertama dan kedua dengan lagu syair Dendang Siti Fatimah. Alunan paduan suara mereka benar-benar, bagi saya, menyenangkan seperti mendengarkan alunan pengajian al-Quran secara beramai-ramai gayanya.

Saya menggunakan lagu Nazam dan Teromba lama bagi rangkap ketiga yang sememangnya perlu saya tarik suara dengan pernafasan yang agak panjang. Sungguh mencabar kemampuan saya.

Wah, Izyan betul-betul memukau kami di pentas dengan bahagian-bahagian pendeklamasiannya secara solo menyahut penegasan frasa pertama setiap baris rangkap keempat yang kami ungkapkan beramai-ramai! Saya pergunakan lagu Gurindam Dua Lapis bagi kedua-dua baris terakhir rangkap tersebut. Bahagian saya ini sungguh mudah hanya saya berharap dapat memperdengarkan kesyahduan nada dan lenggok gayanya.

Hanafi, Siti Umairah, Fazleen dan Siti Aishah, dengan penuh penghayatan, menyampaikan setiap seorang dua baris rangkap kelima. Cukup mengesankan! Kami bersama-sama sampaikan kedua-dua baris terakhir rangkap tersebut.

Teringat saya akan penanda ‘siap’ yang Hanafi sebutkan secara perlahan sebelum kami meninggalkan pentas sebagai isyarat untuk memberi mengatur salam hormat bersama-sama kepada para hadirin.

‘Mengapa cepatnya persembahan kita berlalu?’….. begitulah seronoknya perasaan para pelajar saya itu. Saya menarik nafas lega kerana semuanya sudah berlalu.

Untuk pengetahuan semua, ramai guru dan hadirin yang datang secara peribadi mengucapkan syabas kepada kami setelah acara mula beransur sampai pada jamuan minuman teh. Saya berasa sungguh gembira dan bangga dengan apa-apa yang kami sumbangkan dalam acara yang penuh bermakna itu.

Pengalaman saya, walaupun pada mulanya saya bingung dengan pemandu van yang menghantar kami ke lokasi persembahan mengambil masa hampir sejam dari sekolah, saya lega dengan persembahan yang dibuat.

Harapan saya, agar pelajar-pelajar saya itu dapat menjadikan pengalaman mereka membuat persembahan tersebut, dari saat sesi-sesi berlatih di sekolah selepas peperiksaan hujung tahun hinggalah pada hari persembahan, sebuah peristiwa yang amat istimewa.

Saya juga berharap akan ada lagi peluang-peluang lain untuk menunjukkan bakat-bakat anak-anak didik saya yang lain, yang sama petah dan lincah dalam cara sedemikian pada peringkat sekolah ataupun pada peringkat nasional.

Ada pelbagai lagi gaya persembahan pendeklamasian puisi yang menarik. Insya-Alah, kita akan membuat persembahan secara berteater, laguan indah dodoian atau dengan ratok (salah satu gaya lagu syair Minang yang sungguh menarik) selain lagu syair Selendang Delima dan Siti Zubaidah yang terkenal itu.

Saya juga berharap para pelajar saya akan menyusun sendiri secara aktif corak persembahan-persembahan pada masa akan datang, walaupun saya terpaksa menyelia sepenuhnya pada dasarnya.

Terima kasih buat Persatuan Guru-guru Bahasa Melayu (PGBM) kerana memberi saya dan anak-anak didik peluang untuk membuat sumbangan kecil bagi usaha penganugerahan yang bermakna ini.

Terima kasih saya buat semua karyawan guru bahasa dan sastera Melayu, ketua subjek yang budiman serta pengetua dan para penolong pengetua di sekolah kita ini.

Saya senang dengan pengalaman ini. Bagaimana anda yang berlapan itu? Maksud saya Hanafi, Izyan, Nabil, Farhana, Fazleen, Siti Umairah, Siti Aishah dan Shahirah. Berkongsilah pengalaman anda dan kalau boleh, gambar-gambar yang anda petik pada hari tersebut di blog ini.

Sayang sekali tiada peluang untuk mendapatkan bantuan orang lain memetik gambar sewaktu persembahan dijalankan. Yang ini, saya berharap ada yang akan membantu.


Sinopsis Persembahan

Nazam, gurindam, lagu teromba lama dan lagu syair Dendang Siti Fatimah digunakan dalam puisi sanjungan akan insan yang bergelar guru, di samping ungkapan gaya sajak moden.

Kerencaman lagu puisi bagi puisi moden ini cuba memerihalkan betapa begitulah dinamisnya tugas dan keupayaan yang diharapkan atas setiap insan yang bergelar guru.

Paduan suara para pendendang (pelajar-pelajar saya) mengesankan anak-anak didik yang berbeza-beza tahap keupayaan dan latar belakang mengharapkan tuntunan para guru yang berilitzam menatari mereka.

Tiada ulasan: