Pada semester kedua tahun ini, kami mempunyai guru bahasa Melayu lanjutan yang baharu. Nama beliau ialah Cikgu Manaf Mohd Yasir. Beliau ialah seorang guru yang tegas tetapi juga baik hati. Beliau menganggap kami sebagai anak-anaknya sendiri.
Menurut pandangan saya, beliau amat mahir dalam bahasa Melayu. Beliau bukan sahaja menyuruh kami membuat kerja latihan di buku kerja, namun beliau juga mengajar kami bersyair, berpantun, bersajak dan juga bergurindam. Kesemua itu, menurut pemahaman saya, termasuk dalam bidang sastera Melayu. Dengan dorongan beliaulah saya dan rakan saya, Rizki Ahmad Firdaus, dapat memasuki sebuah pertadingan bernama Bintang Remaja beberapa bulan lepas. Beliau telah mengajar kami cara-cara menyampaikan syair dengan gaya yang betul dengan suara yang lunak. Saya berasa amat kagum terhadap kemampuan Cikgu Manaf kerana beliau mempunyai suara yang amat lunak. Walaupun kami tewas dalam pertandingan itu, kami mendapat banyak ilmu dan pengetahuan yang amat berharga sekali daripada tunjuk ajar yang Cikgu Manaf berikan. Kami berasa amat berterima kasih kepada Cikgu Manaf kerana mahu berkongsi pengetahuan dan ilmu baru mengenai lagu-lagu syair Melayu yang indah-indah itu kepada kami.
Di dalam kelas, Cikgu Manaf amat tegas sekali. Apa-apa kerja yang diberinya haruslah dihantar pada waktu yang telah beliau tetapkan. Namun begitu, beliau amat penyabar dan selalu menasihati kami agar sentiasa berusaha memperbetulkan sikap-sikap yang kurang elok yang ada pada kami. Ada kalanya, dia mengherdik dengan kata-kata yang halus lagi berbisa kerana kami tidak menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberinya. Namun begitu, saya berpendapat saya terutamanya patut ditegurnya terutamanya apakala kita mula hendak bermalas-malas. Saya sedar bahawa seharusnya saya dan rakan-rakan yang lain juga mesti memberi fokus yang sepenuhnya apabila menyelesaikan setiap tugasan dan kerja-kerja rumah diberi setiap guru.
Saya memahami akan niatnya dan sedar bahawa beliau tidak membenci kami apabila beliau memarahi kami. Saya sedar bahawa beliau mahu kami berjaya di dalam hidup dan membuang sikap-sikap malas malas. Terima kasih Cikgu!
Hanafi Bin Ahssan
Men. 203
Tiada ulasan:
Catat Ulasan