Jumaat, Januari 28, 2011

Syair Cerita Kanak-Kanak (2011), Persama Enterprise Pte Ltd (Singapura)


(Penulis dengan buku Syair Cerita Kanak-kanak yang digubahnya.)


Berikut adalah apa-apa yang saya paparkan dalam facebook saya bagi tujuan promosi.

01. Syair Sang Nila Utama

Terdapat 14 buah rangkap dalam syair narasi ini, menceritakan semula salah sebuah cerita rakyat akan asal usul nama pulau Temasek yang bertukar pada Singapura atau Kota Singa. Terdapat dua buah gambar berwarna menghiasi teks syair ini. Syair ini saya harapkan dapat menjadi bahan alternatif bagi kita mengimbas kembali cerita popular dunia tentang tanah air kita ini.



02. Syair Badang Beroleh Kekuatan

Terdiri daripada 39 buah rangkap dalam penceritaan cerita rakyat hero Melayu zaman silam ini. Saya menyodorkan tujuan asal Badang hendak menahan lukah di sungai itu guna mendapatkan sumber protein tambahan bagi memudahkannya menebas dan menerangkan kawasan hutan yang telah diperintahkan oleh tuannya. Penceritaan semula kisah masyhur ini pernah saya sampaikan dalam sesi bercerita untuk kanak-kanak dalam bahasa Melayu di Perpustakaan Daerah Tampines lebih sepuluh tahun dahulu.



03. Syair Hang Nadim

Terdiri daripada 30 buah rangkap, syair ini amat sinonim dengan nama salah tokoh anak Melayu silam yang bijak namun dia mendahului zamannya. Kehadirannya tidak disenangi oleh orang-orang yang berpengaruh sekeliling raja pulau tercinta ini pada zaman dahulu. Seingat saya, kebijaksanaan Hang Nadim harus dikekalkan dan dimasyhurkan kepada anak-anak kita sejak kecil lagi. Sikapnya yang mahu memberi huraian terhadap masalah besar haruslah disanjung.



04. Syair Sang Rajuna Tapa Menderhaka

Terdiri daripada 19 buah rangkap, kisah ini mengingatkan kembali dilema Sang Rajuna Tapa. Akibat tertekan persaannya, dia mengambil tindakan yang merugikan semua pihak. Namun, daripada cerita ini, saya berhasrat mengutarakan pandangan bahawa sebelum apa-apa tindakan yang hendak kita ambil perlu kita timbang akan baik dan buruknya.



05. Syair Radin Mas Ayu

Terdiri daripada 45 buah rangkap, syair ini merakam kisah seorang anak gadis yang baik dan berhemah tinggi. Sifat anak Melayu yang taat dan mengasihi anggota keluarganya ini juga menyisipkan semangat cinta dan taat setia akan tempat tinggal yang dianggap tanah air. Cerita rakyat yang mashyur ini diharapkan dapat mengingatkan kita betapa dalam tanah air kita ini, pernah wujud manusia-manusia misali seperti Pengiran Agung, yang taat dan setia kepada pemerintahan serta menyokong kesejahteraan tanah airnya itu. Radin Mas Ayu pula amat mementingkan kebahagiaan keluarganya daripada kepentingan dirinya sendiri.



06. Syair Candi Seribu

Saya mengenali cerita ini daripada almarhumah ibu saya sendiri. Sewaktu mula bersekolah, oleh kerana saya gemar pula akan membaca buku-buku cerita dongeng, saya mendapati cerita rakyat ini memerikan tentang betapa kekejaman hendaklah diperangi dengan musyawarah. Muslihat dilakukan untuk mengalahkan kekejaman itu perlu dilbuat setelah semua ikhtiar untuk menghindarinya menemukan jalan buntu. Cerita ini saya sampaikan dalam 13 buah rangkap syair. Saya sedang menyusun irama lagu syairnya yang saya gunakan daripada lagu-lagu midjil, lagu yang didendangkan untuk menyampaikan beberapa buah puisi tradisional Jawa .



07. Syair Pak Lebai Malang

Ada kalanya, dugaan datang dalam bentuk pilihan yang begitu banyak. Saya berpendapat kisah cerita ini mengingatkan akan kita betapa penting menghindari sikap buruk yang hanya memikirkan keuntungan sahaja. Tanpa menyusun tindakan yang sebaik-baiknya untuk dijayakan apa-apa yang dihajati, usaha yang murni itu tidak akan terlaksana malah akan mendatangkan kerugian atas diri kita kelak. Kisah ini dilagukan dalam 18 buah rangkap syair dalam lagu syair Seberang Tambak.



08. Syair Nakhoda Ragam dan Puteri Laila Mencanai

Cerita ini saya ketahui daripada persembahan dendangan sebuah lagu tradisi yang popular dari Brunei sewaktu saya di bangku sekolah. Negara Brunei begitu menakjubkan saya. Variasi bahasa Melayunya yang unik, bagi saya, daripada bahasa Melayu yang kita gunakan di daerah sini. Kesungguhan usaha raja yang popular dengan gelaran Nakhoda Ragam, yang keluar belayar mencari seorang permaisuri idaman hatinya lalu menemukan baginda dengan seorang puteri yang menjelma daripada buih dan rumpai di tengah-tengah lautan samudera yang luas. Cerita ini saya pernah lagukan dalam 48 buah rangkap syair. Saya gunakan lagu syair Siti Zunaidah Brunei, Riau dan Johor yang masyhur itu.



09. Syair Cerita Raja Bongsu

Syair terakhir dalam antologi ini terdiri daripada 42 rangkap syair. Raja Bongsu berjaya menyelamatkan Puteri Melor Di Awan yang telah dikurung gergasi. Mereka akhirnya berjaya menyelamatkan diri setelah mendapat pertolongan seekor ikan paus . Ikan paus itu datang membantu mereka daripada ancaman ditawan semula oleh gergasi pemakan manusia itu. Pada awal cerita ini, Raja Bongsu telah menyelamatkan ikan paus tersebut daripada mati terdampar di tepi pantai.


Terbitan
Persama Enterprise,
587, Geylang Road, #04-01,
Singapura 389526.

Hp +6585332922

emel: persama@pacific.net.sg

Tiada ulasan: