Ahad, Februari 07, 2010

Projek Inilah Kisah Hidupku

Projek Menengah 1 (2010) - Inilah Kisah Hidupku 1
Assalamualaikum Wr Wb
Projek ini saya sediakan untuk semua pelajar Menengah 1 saya (termasuk pelajar-pelajar Visiting Schools) dari Kelas HMT, NA dan NT saya bagi tahun ini.

Saya sedar setiap pelajar EMAS (termasuk pelajar-pelajar VS) perlu menulis bahan bagi bengkel penulisan yang akan dijalankan tidak lama lagi. Untuk mengelakkan kesuntukan masa dan kekontangan idea, saya berharap para pelajar akan membuat persiapan bagi bengkel ini awal-awal lagi pada masa-masa senggang sekarang ini.

Untuk para pelajar Normal Ekspres dan Normal Teknikal saya pula, saya mahu mereka bersama-sama dapat berkarya dan menyumbang terhadap pembangunan sahsiah mereka sendiri sewaktu melalui zaman sekolah menengah ini.

Objektif projek ini adalah seperti berikut:

1. Pelajar menetapkan hala kejayaan dalam pelajar di sekolah menengah selain mengimbas kisah lalu yang akan membantu membina kejayaan mereka pada hari ini.

2. Memperbanyakkan bahan bacaan mengenai hal kejayaan masing-masing dan mendorong rakan-rakan yang lain-lain untuk mencapai sama kejayaan. Semua bahan yang pelajar sediakan hendaklah dihantar untuk saya semak dan sunting. Hasil tugasan ini setentunya akan dinilai.


Topik 1 – Peristiwa Yang Tidak Dapat Saya Lupakan

Setiap orang daripada kita banyak peristiwa yang terkesan dalam diri hingga pada saat ini. Sesebuah peristiwa yang tidak diduga, peluang-peluang yang datang bergolek, seseorang yang baru telah hadir dalam kehidupan kita – pastinya mengubah hala tuju kehidupan anda. Pilihlah sebuah peristiwa yang amat terkesan dalam diri anda dan perihalkan mengenainya.

Pencetus Kenangan:
Dapatkah anda ingati kembali akan masalah-masalah kehidupan yang pernah anda hadapi dan semua tindakan anda yang anda ambil untuk menanganinya? Sering kali, penyelesaian masalah itu membantu anda mengubah haluan hidup anda.

- Adakah sesiapa yang istimewa dalam hidup anda dan banyak mempengaruhi keperibadian atau beliau ada mencari peluang untuk menjalin persahabatan dengan anda? Mengapakah insan ini begitu istimewa dalam hidup anda?

- Pernahkah anda menghidapi sebarang penyakit atau mengalami apa-apa kemalangan yang menyebabkan anda terlantar untuk suatu tempoh di sebuah hospital? Semasa terlantar di hospital itu, atau sesudah itu, adakah anda membuat sebarang ketetapan dalam diri anda sendiri tentang apa-apa langkah atau haluan yang akan anda tempuhi dalam kehidupan anda pada masa depan? Adakah hal tersebut merupakan permulaan dalam perubahan hala tuju hidup anda pada masa kini?

- Berpindah ke sebuah rumah baru atau sebuah bandar baru merupakan hal yang amat besar kesannya dalam kehidupan anda. Perihalkan tindakan anda yang memberikan kesan besar dalam kehidupan anda kini. Apakah sebab-musabab anda berpindah ke tempat dan persekitaran yang baru itu? Apakah yang berlaku dalam persekitaran baru anda itu?

- Adakah sebuah perceraian atau perkahwinan semula membawa kesan yang besar dalam kehidupan kamu? Perihalkan penyesuaian yang anda lalui dan lakukan. Apakah perkembangannya?



Topik 2 – Sebuah Hobi Yang Bermakna Bagi Diri Saya

Hobi yang anda minati menyerlahkan tentang diri anda. Anda mengorbankan banyak masa dan kegiatan itu merupakan sesuatu yang anda senangi dalam kehidupan harian anda. Hal ini juga menunjukkan kecenderungan dan ruang yang anda pilih untuk merehatkan diri. Anda mungkin menyisihkan masa-masa senggang anda untuk menjalankan hobi tersebut. Perihalkanlah mengenainya.

Pencetus Kenangan
- Bagaimanakah anda menceburkan diri dalam hobi itu? Bila, dan pada usia berapakah anda memulainya? Mengapakah anda seronok melakukannya?

- Bagaimanakah anda menambah pengetahuan dalam hobi anda itu? Adakah anda menyertai sebuah kelab atau persatuan? Perlukah anda menjalani sebarang latihan khusus? Adakah anda melanggani bahan-bahan yang diterbitkan mengenai hobi anda itu? Pernahkah anda menyumbang sebarang artikel untuk penerbitan tersebut?

- Adakah hobi anda itu memerlukan sebarang peralatan yang khas? Adakah hobi anda itu memerlukan peruntukan wang yang banyak?

- Pernahkah anda diminta berucap mengenai hobi anda pada sebarang kumpulan sasaran? Pernahkah hasil hobi anda itu dipamerkan untuk tontonan khalayak ramai?

- Pernahkah anda menerima sebarang anugerah atau pengiktirafan berhubung dengan hobi anda itu? Pernahkah ada sebarang bahan yang ditulis dan dicetak yang menampilkan anda dan hobi anda?

- Pernahkah anda menikmati sebarang ganjaran wang dan meraih pendapatan daripada hobi anda itu? Jika tidak dalam tempoh terdekat, mungkinkah pada masa hadapan?

- Sering kali sesebuah hobi berkembang menjadi sebuah kerjaya yang serius. Adakah hobi anda yang pada asalnya itu berkembang dan menjadi sebuah perusahaan yang besar?

- Adakah anda dapat menjalin ramai sahabat dengan melakukan hobi anda itu? Mahukah anda melihat anak-anak anda melakukan aktiviti hobi yang serupa? Adakah hobi anda ini dapat dilakukan pada usia yang lebih lanjut? Mahukan anda meneruskan hobi itu setelah anda bersara kerak?



Topik 3 – Kejayaan Masa Lalu Saya Yang Amat Saya Banggakan

Anda semua insan-insan yang unik, saat-saat kegemilangan dalam kehidupan anda setelah anda berusaha dengan gigih dan usaha anda itu membuahkan hasil dan memberikan anda kepuasan. Kejayaan itu tidak semestinya sesuatu yang besar lagi menakjubkan setiap insan akan tetapi sesuatu yang cukup bermakna dan penting bagi diri anda.

Pencetus Kenangan
- Adakah sesesuatu bidang yang anda ceburi melibatkan latihan dan akhirnya anda menjadi mahir mengenainya? Apakah pengiktirafan yang anda perolehi, jika ada? Bagaimanakah anda menceburi bidang itu? Apakah sumbangan yang anda telah berikan dalam bidang ini? Pernahkah kemahiran anda dirujuk oleh sesiapa dan pihak-pihak lain?

- Anda juga pernah mengecapi pelbagai kejayaan dalam kehidupan anda; belajar sebuah bahasa asing; mereka dan menjahit pakaian anda sendiri; memperbaiki sebuah peralatan yang rosak; menangani masalah yang anda hadapi; menguruskan sebuah tugas yang rumit; mencapai tahap kesihatan fizikal yang ideal, berjaya menurunkan berat badan; mengendali sebuah usaha niaga dan sebagainya. Pilih salah satu kejayaan itu yang dapat mengungkapkan dan amat penting bagi keluarga kamu.



Projek Inilah Kisah Hidupku 2 - Hingga Usia 6 Tahun

Pencetus Kenangan
-Apakah cerita-cerita yang pernah ayah ibu dan saudara mara anda dengar mengenai zaman anda kecil-kecil dulu? Apakah ingatan mereka yang pernah dikongsi bersama-sama mengenai anda sewaktu masih kanak-kanak lagi?

- Di manakah tempat tinggal anda itu. Bagaimanakah keadaan kejiranan tempat tinggal anda? Siapakah jiran-jiran anda? Apakah bentuk rumah anda pada waktu itu? Pernahkah anda berasa sedih apabila di suruh tidur bersendirian atau tidur awal daripada anggota keluarga anda yang lain?

- Apakah yang anda amat takuti pada waktu itu? Adakah ketakutan anda itu bersangkut paut dengan seseorang, sesebuah tempat atau barang? Bagaimanakah anda mengatasi perasaan takut anda itu pada akhirnya?

- Apakah kenangan yang masih jelas terbayang sewaktu anda masih kanak-kanak lagi? Adakah sebarang potret diambil untuk merakam gambar anda pada waktu itu? Bahan-bahan itu amat baik sebagai pencetus kenangan. Nyatakan apa-apa yang anda dapati daripada menatap gambar-gambar itu.

- Apabila anda berkelakuan baik, apakah yang dapat sebagai imbalan daripada ibu bapa anda?- Apakah permainan sewaktu anda kanak-kanak? Anda bermain-dengan dengan siapa? Pernahkan anda memiliki seorang teman ‘istimewa’, yang tidak dapat dilihat orang lain? Pernahkah anda disertakan dalam perkhemahan atau kelas-kelas khusus pada waktu itu? Pernahkah anda berasa hendak terus pulang ke rumah kerana tidak mahu menyertai aktiviti itu?

- Ingatkah anda akan masa-masa kelahiran adik-adik anda? Bila? Di mana? Perikan perasaan anda pada waktu itu. Adakah anda seorang abang atau kakak yang baik?

- Adakah anda mendapat kasih sayang yang penuh pada waktu itu? Pernahkan anda menyertai kelas-kelas nurseri atau taska(taman asuhan kaanak-anak)?

- Ada orang mengatakan mereka hidup miskin tetapi tidak memahaminya. Pernahkah anda bersikap sedemikian?

- Adalah anda mengalami sebarang kemalangan pada waktu itu? Pernah pergi ke hospital untuk menerima rawatan? Huraikan.

- Adakah anda memiliki binatang peliharaan sewaktu anda kanak-kanak? Apakah nama binatang peliharaan anda itu? Ceritakan mengenainya.

- Pernahkan anda memiliki sebarang alat permainan yang sangat anda senangi?

- Ingatkan pesta hari jadi yang dianjurkan oleh ayah dan ibu anda untuk anda? Ceritakan mengenainya. Apakah hadiah yang paling bernilai yang anda terima pada masa itu?

- Apakah makanan kegemaran anda? Adakah anda diberi makanan berasingan daripada keluarga atau anda makan bersama-sama mereka? Apakah hidangan pencuci mulut yang anda gemari? Apakah makanan yang amat anda benci?


Panduan 9 hingga 12.

9. Usah menulis untuk mengajar orang lain.
Perikan kisah anda dengan gaya yang mudah dan secara jujur seperti yang pernah anda alami sendiri. Biarkan kisah anda itu membawa kesan-kesannya sendiri.

Usah mengarah pembaca tetapi biarkan mereka memahami sendiri.

10. Usah nantikan saat-saat ilham tiba.
Mulakan kerja menulis walaupun hanya sedikit sahaja yang dapat dihasilkan pada mulanya.

11. Kita mengambil contoh tetapi bukan meniru daripada bahan yang telah dihasilkan oleh orang lain. Sering kali, kisah-kisah orang lain akan mendorong kita mengungkapkan kenangan mengenai kisah kita pada masa lalu.

12. Bayangkan anda sedang mengutus surat kepada orang yang anda kasihii untuk menceritakan apa-apa yang terjadi. Anda boleh memulakan dengan frasa: “Ke hadapan sahabatku yang dihormati’ (yang mana anda boleh memangkasnya kemudian).



Projek Inilah Kisah Hidupku 3 - Zaman Sekolah Rendah

Pencetus Kenangan

- Apakah sikap anda sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah? Ingatkah anda akan hari pertama di sekolah? Adakah pengalaman itu menyenangkan atau apa pula yang tidak? Apakah anda mahu sahaja pulang ke rumah?

- Adakah anda berasa ghairah sewaktu pergi ke sekolah? Adakah kerana anda akan bersekolah dengan abang atau kakak anda? Bagaimanakah pergaulan anda dengan murid-murid yang lain?- Adakah sekolah anda itu dekat atau jauh dari rumah anda? Bagaimanakah anda pergi ke sekolah anda itu? Berapa lamakah anda menuntut di sekolah itu? Adakah anda berpindah ke sekolah lain kerana menuruti keluarga anda berpindah rumah? Adakah anda menghadapi masalah akibat perpindahan itu?

- Adakah anda pulang makan tengah hari di rumah atau anda menikmati hidangan di kantin sekolah? Adakah anda membawa bekal untuk dimakan sewaktu berehat? Apakah makanan kegemaran anda ketika itu?- Kelas bagi mata pelajaran apakah yang anda gemar? Yang mana pula yang anda tidak suka? Adakah anda memiliki sebarang minat atau kemahiran yang membuat anda terkenal din sekolah itu? Adakah hal ini mempengaruhi minat anda selanjutnya hingga hari ini?

- Adakah apa-apa keinginan anda sebagai seorang kanak-kanak? Pernahkah anda berpeluang memilikinya? Apakah perasaan anda pada waktu itu? Apakah hadiah istimewa yang anda dapat dan yang masih anda ingati?- Pernahkah anda berkhayal sewaktu usia begini? Apakah yang anda khayalkan itu?

- Pernahkah anda mempunyai seorang atau ramai guru yang amat anda suka? Adakah guru anda itu mempengaruhi kelakonan anda di sekolah? Ceritakan salah satu peristiwa yang masih segara dalam ingatan anda mengenai guru tersebut.

- Pernahkah anda membawa pulang buku laporan yang kurang memuaskan? Mengapa? Apakah reaksi ibu bapa anda? Adakah ibu bapa anda berpendapat anda menerima pendidikan sekolah yang baik? Bagaimanakah hubungan anda dengan ibu atau ayah anda? Pernahkah anda mereka hukum? Mengapakah anda mereka hukum?

- Adakah rakan-rakan sekolah anda yang menjadi terkenal? Adakah anda masih bersahabat dengannya?

- Siapakah tokoh atau orang yang amat memberi pengaruh yang besar atas diri anda?

- Apakah perasaan anda apabila anggota keluarga anda duduk bersama-sama menghadapi hidangan sarapan, makan tengah hari atau makan malam? Apakah yang anda sekeluarga lakukan bersama-sama pada hari-hari kelepasan?

- Apakah permainan yang anda dan rakan-rakan jalankan sewaktu zaman persekolahan ini? Adakah anda berpeluang belajar menunggang basikal? Bersepatu roda? Bermain guli bersama-sama kawan-kawan anda?

- Pernahkah anda berasa terasing sewaktu kanak-kanak dahulu? Adakah anda gemuk, tinggi, pendek atau pun lincah? Bagaimana anda berpakaian? Adakah anda seorang yang pemalu?- Bagaimanakah hubung anda dengan abang, kakak dan adik anda? Adakah mereka juga bersekolah? Adakah mereka sudah bekerja? Apakah tugas-tugas harian di rumah yang ibu bapa anda mahu anda lakukan? Tugas-tugas yang mana satukah yang tidak anda senangi?

- Apakah pernah anda bekerja untuk mencari sedikit wang sewaktu cuti sekolah?

- Cuti yang manakah yang sangat anda suka?


Panduan 13 hingga 16

13. Kerja menulis akan menjadi mudah sekiranya anda mempunyai bahan yang mencukupi. Sesudah semua nota dan catatan dikumpulkan, berilah tempoh bagi idea anda itu untuk berkembang. Biarkan gerak hati anda menyusun setiap idea anda itu. Tidak lama sesudah itu, idea-idea yang menarik akan timbul dengan sendirinya. Semak semula catatan anda, susun semua idea-idea itu dan mulakan kerja-kerja menulis.

14. Biar gaya bercerita anda mudah. Gunakan kosa kata yang mudah lagi tepat. Hal ini akan memudahkan anda melahirkan idea secara bersahaja, anda akan mudah difahami pembaca-pembaca anda. Usah gunakan perkataan yang sukar. Gunakan kekata yang biasa. Usah gunakan kata-kata yang kompleks. Gunakan gaya yang biasa dalam ungkapan idea dalam ayat-ayat yang mudah dan menarik.

15. Usah gunakan terlalu banyak ayat kompleks. Usah longgokkan banyak idea dalam sesebaris ayat. Pembaca akan cepat bosan. Saya juga ada kecenderungan sedemikian. Jika berlaku perkara sedemikian, saya akan memecah-mecahkan idea-idea itu dalam bentuk-bentuk mudah. Ayat-ayat yang ringkas akan saya bina bagi setiap idea. Namun, pelbagaikan jenis ayat yang anda tuliskan. Akhirnya, akan terhasil nada dan gaya dalam bentuk ayat-ayat yang anda hasilkan. Umunya, ayat mudah mengandungi setidak-tidaknya 15 patah perkataan, yang sederhana 15 hingga 30 patah perkataan, dan yang panjang, 30 patah perkataan atau lebih.

16. Penulis harus tekal dalam penggunaan kata ganti diri sepanjang membina ayat-ayat tersebut.



Projek Inilah Kisah Hidupku 4 - Zaman Remaja

- Bagaimanakah keadaan diri anda sebagai seorang remaja? Apakah tanggapan keluarga terhadap anda sebagai seorang remaja?- Adakah zaman remaja anda ini amat merumitkan? Adakah zaman remaja ini menyeronokkan? Adakah anda mendapati sukar ‘mencari jati diri anda’?

- Apakah peritiwa saat zaman remaja ini yang masih anda ingati hingga hari ini? Memalukan, melucukan, menyedihkan, atau yang lain-lain? Berceritalah.

- Bagaimanakah keadaan anda pada masa kini? Apakah kerjaya ayah atau ibu anda kini? Adakah anda selalu membantah keputusan mereka? Bagaimanakah hubungan anda dengan ayah, ibu dan adik-beradik anda? Adakah anda rapat dengan sanak saudara anda selain anggota keluarga anda sendiri?

- Apakah peraturan yang ayah dan ibu anda tetapkan di dalam rumah?

- Bagaimanakah tanggapan anda terhadap sekolah pada waktu ini? Apakah mata-mata pelajaran yang anda minati? Apakah aktiviti-aktiviti sekolah yang anda sertai? Pernahkah anda memenangi sebarang anugerah atau mendapat pencapaian yang cemerlang? Guru-guru yang manakah yang anda senangi? Siapakah rakan-rakan sekolah istimewa anda?

- Bagaimanakah anda mengisi masa lapang anda pada hujung-hujung minggu?

- Adakah anda melakukan kerja-kerja sambilan untuk mendapatkan sedikit wang? Ke manakah anda suka pergi dan apakah yang anda suka lakukan di sana? Apakah tanggapan ibu bapa anda terhadap pertemuan anda dengan rakan-rakan anda?

- Adakah orang-orang yang mempengaruhi kehidupan anda? Pilih dan perikan dua antara mereka. Bagaimanakah mereka membantu anda?

- Siapakah orang-orang pujaan anda? Adakah mereka dalam bidang sukan, perfileman, persekolahan, di kejiranan anda, atau sebagainya?

- Bagaimanakah keadaannya pertama kali anda menonton filem di pawagam bersama-sama rakan-rakan anda? Berapa kerap anda pergi ke pawagam? Filem jenis yang manakah yang anda minati?

- Apakah jenis sukan atau hobi yang anda gemari? Aktiviti yang manakah yang anda sangat cemerlang?

- Adakah anda suka menari? Tarian jenis apakah yang anda senangi? Siapakah yang mengajar anda tarian tersebut? Muzik jenis yang manakah yang anda gemari? Adakah anda belajar menyanyi atau belajar bermain sejenis alat muzik?

- Adakah anda mengambil berat tentang penampilan anda – pakaian, gaya rambut dan seumpamanya? Apakah yang anda lakukan? Apakah yang anda senang dan kurang senang mengenai diri anda?

Panduan 17 hingga 20

17. Idea-idea anda perlu disusun dalam perenggan-perenggan yang sesuai. Setiap idea baru dimulakan dalam perenggan yang baru. Setiap dialog yang baru juga dimulakan dalam perenggan yang berasingan. Oleh itu, dianjurkan agar satu-satu halaman terdapat sekurang-kurangnya 3 hingga 4 perenggan.

18. untuk mengelakkan kebuntuan sewaktu menulis, disyorkan anda mengambil langkah-langkah berikut:

a. Gunakan ayat-ayat anda sendiri. Usah hambat hasrat anda dan berasa tertekan.

b. Tinggalkan bahagian yang sukar dahulu. Apabila anda sudah kembali segar, tangani bahagian yang sukar itu semula.

c. Semak semula apa-apa yang anda tulis semalam. Disyorkan anda membaca petikan daripada buku tulisan penulis yang anda minati sebelum anda mula menulis.

d. Kalau bermasalah untuk memulakan penulisan, buat aktiviti yang lain untuk menjelmakan ilham. Tulis atau coret-coret nama anda di kertas kosong (lakukan selama lima minit sahaja). Kalau tidak berjaya, lakukan hal lain dan tulis pada masa yang lain.

e. Adakah papan arahan menulis. Mulakan pada bahagian tengah yang mudah disudahkan apabila anda memulakannya semula. Tulis arahan untuk tugasan selanjutnya sebelum anda memulakan penulisan pada masa yang akan datang.

19. Hindari kata-kata yang sudah menjadi klise. Gunakan kosa kata anda sendiri. Pembaca akan dapat memahami anda secara dekat.

20. Pembaca adalah khalayak kita. Oleh itu, pastikan penulisan kita mengambil kira faktor memancing pembaca. Dengan melakukan hal demikian, kita akan terpanggil untuk menjangkakan soalan-soalan yang mungkin pembaca kita mahu ajukan. Dengan memberikan jawapan, sudah tentu pembaca akan terus mahu menyudahkan pembacaan kerana minatnya kita berikan pertimbangan.



Projek Inilah Kisah Hidupku 5 - Impianku, Harapanku
- 10 Tahun Akan Datang

Bayangkan keadaan diri anda 10 tahun akan datang. Setentunya, akan ada banyak perubahan pada diri anda, sama ada daripada bentuk fizikal, kedudukan sosial dan perkembangan sahsiah (personaliti) anda. Ceritakan strategi anda pada masa kini sebelum tiba masa itu.

Pencetus Idea
Apakah rupa paras anda pada masa itu; bergaya, segak atau sederhana? Mengapakah anda berkeadaan sedemikian?
Apakah yang anda lakukan dan tidak lakukan hingga berkeadaan sedemikian?
Bagaimanakah pula perasaan anda pada masa itu?
Anda sudah tamat pengajian tinggi?
Adakah anda pergi menuntut di maktab rendah dan sebagainya?
Di sebuah maktab mempelajari selok-belok bidang perniagaan?
Anda masih di dalam perkhidmatan negara?
Adakah anda berhenti sekolah atau sudah memulakan kerjaya?
Adakah anda mempunyai kecenderungan atau minat selain bekerja dan belajar?
Masih menuntut: Sekolah yang mana anda pilih? Mengapa? Sekolah itu terletak di mana? Apakah kursus yang anda ambil atau mata-mata pelajaran apakah yang anda pilih? Apakah mata-mata pelajaran yang anda senangi? Perikan bantuan yang guru-guru anda hulurkan.

Di manakah tempat tinggal anda? Adakah anda bekerja untuk membiayai pelajaran anda itu? Apakah pekerjaan yang anda lakukan? Perihalkan tentang pendapatan yang anda perolehi. Adakah kaum keluarga anda memberi anda bantuan kewangan? Adakah mereka bersetuju dengan sekolah dan bidang pelajaran pilihan anda itu? Apakah yang anda lakukan sewaktu cuti semasa pengajian anda itu?

Adakah anda aktif dalam mana-mana jenis sukan, menganggotai sebarang kelab, melibatkan diri dalam bidang pementasan atau lain-lain aktiviti riadah yang menyeronokkan? Anda tentu ramai kenalan. Siapakah teman-teman istimewa anda?

Perikan kehidupan anda sebagai seorang penuntut. Sukakah anda menjadi penuntut di sebuah institusi pendidikan? Pada peringkat manakah dalam pengajian anda itu yang terkesan hingga pada hari ini?

Pernahkah anda menjalinkan perkenalan dengan teman istimewa? Perikan mengenai teman istimewa anda itu.

Pernahkan anda menetapkan matlamat untuk anda capai dalam tahun-tahun itu? Adakah anda berjaya mencapai harapan dan impian anda itu? Apakah sikap anda pada waktu dianggap wajar? Perikan tanggapan anda pada waktu itu membawa pada kejayaan pada masa hadapan anda.

Perkhidmatan negara: Anda ditempatkan di bahagian mana? Berapa lamakah tempoh anda berkhidmat di situ? Anda menginap di mana sewaktu dalam perkhidmatan negara? Di manakah anda menerima latihan asas ketenteraan? Adakah anda dihantar ke luar negeri sewaktu dalam perkhidmatan negara? Apakah pangkat anda pada waktu itu? Apakah tugas-tugas yang anda pikul? Adakah anda berkursus sewaktu menjalani perkhidmatan negara? Apakah kursus-kursus yang anda sertai? Adakah anda menghargai pengalaman sewaktu dalam perkhidmatan negara?

Berkerjaya: Mengapakah anda meninggalkan bangku sekolah? Bagaimanakah keadaan keluarga anda seisi rumah? Apakah bidang kerja yang anda ceburi? Di mana? Apakah tugas-tugas anda?

Perikan pendapatan yang anda perolehi. Adakah anda menyumbang pada pendapatan keluarga anda?Adakah anda senang dengan kerjaya pilihan anda itu? Adakah anda beralih pada tugas yang lain?

Bagaimanakah keadaan keluarga anda? Apakah nasihat yang sering ayah dan ibu anda berikan? Apakah peraturan dalam rumah yang dipatuhi dalam rumah anda itu? Adakah anda mempunyai abang, kakak atau adik-beradik? Adakah mereka masih belajar atau sudah berkerjaya?

Siapakah teman rapat anda pada waktu itu? Apakah aktiviti yang anda dan teman anda itu lakukan untuk mengisi masa-masa lapang?


Panduan Pengumpulan Bahan dan Penulisan
Pastikan bidang yang anda ingin ceburi telah anda fahami. Lakukan kajian yang perlu agar fakta yang anda dapat itu boleh memberi kesan yang meyakinkan dalam penulisan anda.

Pastikan juga bidang kerjaya yang anda perikan memberikan gambaran akan pemahaman anda mengenainya. Cari maklumat itu daripada semua sumber yang sahih.

Panduan 21 - 23

21. Sertakan orang lain dalam penulisan anda ini. Manusia sememangnya amat meminati akan perihal manusia yang lain. Manusia sememangnya amat terpesona dengan kehidupan manusia yang lain. Anda menemui ramai orang dalam kehidupan anda. Ramai daripada mereka mempunyai banyak pengaruh atas perkembangan diri anda.

22. Gunakan ayat yang sempurna. Ayat yang sempurna mempunyai permulaa, pertengahan dan pengakhiran.

Dalam penulisan, gunakan ayat-ayat yang baku bagi menyatakan hasrat anda dalam bercerita. Ayat yang mudah lagi jelas menghuraikan banyak persoalan kepada pembaca.

Penggunaan bahasa seseorang itu memerihalkan peribadinya. Gaya bahasa yang memudah tidak akan menyukarkan tugasan anda ini. Membaca bahan-bahan penulis yang baik dan mendengar pertuturan orang-orang yang berbahasa dengan baik juga membantu. Oleh itu, baca nyaring bahan anda supaya anda dapat mengesan kesilapan-kesilapan yang ada.

23. Gunakan cara yang lain. Usah sisipkan banyak maklumat dalam sesebaris ayat. Gunakan ayat baru. Ubah kedudukan maklumat dalam ayat anda itu. Misalnya, anda mengungkapkan 'Dua ekor burung yang anda temui'. Gunakan sebaris ayat mengenai 'Seekor burung yang anda temui hinggap di jendela.' Kemudian, anda sambung dengan 'Terbang hinggap pula seekor burung lagi di jendela itu.'

Tiada ulasan: