Sabtu, Januari 23, 2010

Laksamana Tun Tuah - Abdul Samad Ahmad


HIkayat Hang Tuah yang diterbitkan semula dalam tahun 2008 dengan pengenalan tambahan oleh Noraih Mohamed.


Buku Laksamana Tun Tuah edisi ketiga ini diterbitkan dalam siri Sastera Melayu Remaja.

Buku ini pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia dalam tahun 1963. Kini, diterbitkan semula dalam edisi ketiga, dalam Siri Sastera Remaja Pilihan Abad 20 pada tahun 2004. Dalam kata pengantar buku ini, dinyatakan bahawa buku ini diterbitkan semula bersama-sama judul yang lain dalam siri ini "..... kerana dianggap klasik sewaktu karya ini diterbitkan pada mulanya dan karya dalam bentuk ini pernah menjadi popular, yang luas edaran dan bacaannya...."

Buku ini dihasilkan oleh Allahyarham A Samad Ahmad berdasarkan Hikayat Hang Tuah yang masyhur itu. Dengan bahasa mudah dan langgam bercerita yang menarik hati, saya teruja membacanya semula buat entah kali ke berapa, saya tidak pasti. Saya amat terpanggil untuk membaca kiha pengembaraan Laksamana Hang Tuah dan lima sahabantnya dalam mereka menaburkan jasa dan berbakti kepada sultan Melaka.

Peristiwa pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat amat menyayat hati. Bagi saya, amat seronok menatap dan membaca semula kisah-kisah daripada hikayat Melayu yang masyhur itu. Walaupun saya senang dengan teks Hikayat Hang Tuah yang diselenggarakan oleh Kassim Ahmad, bagi saya buku yang diusahakan olhe Allayharham A Samad Ahmad ini merupakan pengiring bagi kitab besar itu dan juga sesuai ditatap oleh anak-anak murid saya atau sesiapa sahaja yang mahu berjinak-jinak dengan Hikayat Hang Tuah itu.

Seperti juga buku yang dihasilkan oleh Dato' Mubin Sheppard, "The Adventures of Hang Tuah", buku ini mudah dan seronok dibaca. Buku ini boleh didapatkan dari Perpustakaan Negara dalam rak-rak Remaja.

Saya akan menyediakan kertas latihan tatabahasa dan pemahaman serta reviu buku berdasarkan cerita daripada Hikayat Hang Tuah ini. Saya akan membina teks soalan-soalannya daripada pembacaan kedua-dua buku tersebut. Latihan kali ini bertujuan untuk memahirkan pengetahuan tatabahasa Melayu berdasarkan teks atau cerita daripada cerita pengembaraan Hang Tuah yang terkenal itu. Selamat membaca.

Tiada ulasan: