Sabtu, Januari 23, 2010

Laksamana Tun Tuah - Abdul Samad Ahmad


HIkayat Hang Tuah yang diterbitkan semula dalam tahun 2008 dengan pengenalan tambahan oleh Noraih Mohamed.


Buku Laksamana Tun Tuah edisi ketiga ini diterbitkan dalam siri Sastera Melayu Remaja.

Buku ini pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia dalam tahun 1963. Kini, diterbitkan semula dalam edisi ketiga, dalam Siri Sastera Remaja Pilihan Abad 20 pada tahun 2004. Dalam kata pengantar buku ini, dinyatakan bahawa buku ini diterbitkan semula bersama-sama judul yang lain dalam siri ini "..... kerana dianggap klasik sewaktu karya ini diterbitkan pada mulanya dan karya dalam bentuk ini pernah menjadi popular, yang luas edaran dan bacaannya...."

Buku ini dihasilkan oleh Allahyarham A Samad Ahmad berdasarkan Hikayat Hang Tuah yang masyhur itu. Dengan bahasa mudah dan langgam bercerita yang menarik hati, saya teruja membacanya semula buat entah kali ke berapa, saya tidak pasti. Saya amat terpanggil untuk membaca kiha pengembaraan Laksamana Hang Tuah dan lima sahabantnya dalam mereka menaburkan jasa dan berbakti kepada sultan Melaka.

Peristiwa pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat amat menyayat hati. Bagi saya, amat seronok menatap dan membaca semula kisah-kisah daripada hikayat Melayu yang masyhur itu. Walaupun saya senang dengan teks Hikayat Hang Tuah yang diselenggarakan oleh Kassim Ahmad, bagi saya buku yang diusahakan olhe Allayharham A Samad Ahmad ini merupakan pengiring bagi kitab besar itu dan juga sesuai ditatap oleh anak-anak murid saya atau sesiapa sahaja yang mahu berjinak-jinak dengan Hikayat Hang Tuah itu.

Seperti juga buku yang dihasilkan oleh Dato' Mubin Sheppard, "The Adventures of Hang Tuah", buku ini mudah dan seronok dibaca. Buku ini boleh didapatkan dari Perpustakaan Negara dalam rak-rak Remaja.

Saya akan menyediakan kertas latihan tatabahasa dan pemahaman serta reviu buku berdasarkan cerita daripada Hikayat Hang Tuah ini. Saya akan membina teks soalan-soalannya daripada pembacaan kedua-dua buku tersebut. Latihan kali ini bertujuan untuk memahirkan pengetahuan tatabahasa Melayu berdasarkan teks atau cerita daripada cerita pengembaraan Hang Tuah yang terkenal itu. Selamat membaca.

Rabu, Januari 20, 2010

Kelas 1 HMT - 19.1.2010



Pada hari ini, para pelajar diminta membaca secara kendiri teks. Setelah menerangkan dua perkataan dalam teks; 'gah' & 'arca', para pelajar ,menulis saranan ringkas dalam bentuk emel balasan pada paparan yang Suraya buat. Pelajar-pelajar yang lain menyemak emel itu dan membuat catatan apa-apa yang mereka temukan. Pada akhir aktiviti, 3 orang pelajar diminta membaca apa-apa yang mereka tulis.
Pelajar diminta menulis semula emel lengkap dengan saranan-saranan yang mereka fikirkan sesuai.

Kelas BM 1HMT - 18.1.2010





Secara berkumpulan, 3 orang tiap satu, membincangkan gamabr-gambar tentang aktiviti orientasi. Setelah berbincang, wakil setiap kumpulan akan menyampaikan hasil perbincangan sementara guru buat catatan - kosa kata serta ayat-ayat lisan yang digunakan. Pelajar-pelajar yang lain mendengar dan membuat catatan mereka sendiri dalam buku teks masing-masing. Para pelajar itu kemudiannya akan menokok-membuang mana-amana bahagian yang mereka fikirkan perlu. Pelajar akan membuat catatan peribadi dalam kertas tulis yang berasingan.

Semua persembahan dirakamkan bagi tujuan dokumentasi.

Ahad, Januari 17, 2010

Hang Tuah - Soalan Panduan



Sebuah ukiran gangsa wajah Hang Tuah dengan cogan kata terbilangnya "Tak Melayu Hilang Di Dunia" terpahat di bahagian atas bingkai ukiran ini. Bahan dipamekan di Muzium Negara, Kuala Lumpur, Malaysia.

A. Jawab soalan-soalan panduan berikut berdasarkan cerita hang Tuah yang telah kamu baca dengan menggunakan ayat kamu sendiri.

B. Kamu boleh menyusun semula semua respons pada soalan-soalan itu dalam perenggan-perenggan yang sesuai untuk menjadi sebuah karangan.

1. Keluarga Hang Tuah berasal dari mana?

2. Mereka berpindah ke mana?

3. Mengapakah mereka berpindah ke tempat baru itu?

4. Siapakah nama ayah Hang Tuah?

5. Siapakah nama ibu Hang Tuah?

6. Bagaimanakah kehidupan Hang Tuah serta ibu dan bapanya di tempat baru itu?

7. Apakah yang Hang Tuah lakukan setiap hari?

8. Apakah yang dia pelajari?

9. Siapakah yang mengajar Hang Tuah mengaji al-Quran?

10. Apakah nama-nama bahasa yang telah Hang Tuah pelajari?

11. Selain belajar agama dan bahasa, apakah yang telah Hang Tuah pelajari daripada usaha niaga ayahnya? Berikan alasan bagi jawapan kamu.

12. Siapakah nama rakan-rakan sebaya Hang Tuah itu?

13. Ke manakah mereka berlima pergi pada suatu hari?

14. Mengapakah mereka hendak pergi ke tempat itu?

15. Nyatakan apa-apa yang menimpa atas diri lima orang sahabat itu?

16. Apakah kesudahan peristiwa itu?

17. Apakah manfaat yang didapati daripada peristiwa yang dihadapi Hang Tuah dan sahabatnya?

18. Nyatakan sebuah lagi peristiwa yang ditempuhi Hang Tuah yang mengancam nyawanya.

19. Bagaimanakah Hang tuah dapat menyelamatkan dirinya daripada cengkaman maut itu?

20. Ceritakan dengan ayat kamu sendiri peristiwa Datuk Bendahara diserang dan bagaimanakah Hang tuah dan rakan-rakan sebayanya membantu?

21. Apakah ganjaran yang Hang Tuah dan rakan-rakannya peroleh daripada bantuan yang mereka hulurkan kepada Datuk Bendahara?

22. Setelah tiga kali menghadapai musuh yang hendak mengancam nyawa mereka, apakah pengajaran dan tindakan lanjut yang diambil oleh Hang Tuah dan rakan-rakannya?

23. Mengapakah mereka mahu mengambil keputusan itu dan apakah manffat yang bakal mereka raih pada masa hadapan?

24. Berjayakah mereka mendapatkan apa-apa yang mereka hajati?

25. Mengapakah Raja berkenan mengambil Hang Tuah dan rakan-rakan berkhidmat di istana?




Soalan tambahan:

a. Berikan penilaian peribadi kamu terhadap tokoh wira Hang Tuah dalam buku cerita ini.

b. Apakah kemahiran-kemahiran yang Hang Tuah pelajari sewaktu dia remaja lagi yang dapat membantunya dalam menjalankan tugasnya sehari-hari apabila dia bertugas di istana Raja?

"The Adventures Of Hang Tuah" susunan Dato Mubin Sheppard

Buku bahasa Inggeris ini bagi saya agak baik sebagai pengenalan kitab Hikayat Hang Tuah yang masyhur itu. Ditulis oleh Dato' Mubin Sheppard, Alllahyarham, dimulakan dalam tahun 1943 di Penjara Changi, Singapura. Allahyarham menggunakan sumber Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah bagi penulisan buku ini dalam bahasa Inggeris ini. Harapannya, agar buku ini dapat membangkit rasa kasih cinta akan khazanah cerita Tanah Melayu dan Hang Tuah merupakan salah seorang wira zaman silam yang cukup diminati anak-anak bangsa hingga pada masa kini. Buku ini pertama kali diterbitkan dalam tahun 1949 oleh Donald moore dan Eastern University Press Pte Ltd, Singapura. Ilustrasi coretan hitam diusahakan oleh Kathleen Walker. Buku kecil setebal 136 halaman ini juga mengandungi glosari mudah dengan penerangan dalam bahasa Inggeris bagi kekata bahasa Melayu yang digunakan penulis dalam buku cerita mudah yang indah ini. Terdapat 12 bab yang mengisahkan pengembaraan Hang Tuah, daripada pertarungan dengan sekumpulan bajak laut hingga ghaibnya hang Tuah di Gunung Ledang pada bab 12.

Saya senang dengan penceritaan dalam buku ini kerana setelah membaca Kitab Hikayat Hang Tuah yang tebal itu, terasa banyak episod mengenai tokoh Hang Tuah begitu hidup sekali dalam jiwa buku Inggeris ini. Saya membaca buku bahasa Inggeris ini pada tahun-tahun 1970-an. Edisi ringkas bahasa Inggeris daripada buku Allahyarham Dato Mubin telah diusahakan dalam siri bahan bacaan tambahan bahasa Inggeris oleh Oxford Unviversity Press dalam tahun-tahun 1970. Buku ini masih segar dalam ingatan dan sayang sekali saya tidak ada salinannya. Semasa menuntut di Akademi Pengajian Melayu dulu, saya sempat mendapatkan salinan di Perpustakaan Universiti Malaya dan kembali membacanya dengan penuh nikmat.

Dalam kesempatan ini, saya coretkan sedikit catatan mengenai bahagian awal kisah Hang Tuah yang bukan sahaja bijak dan berani, cekap bermain senjata tetapi pandai dalam ilmu perniagaan dan mahir menggunakan sebanyak 12 bahasa asing. Hang tuah digambarkan sebagai anak yang baik budi, segak dan terang hati dalam pengajian al-Quran.

Semoga anak-anak murid akan senang seperti saya dan akan juga mencari serta membaca kisah tokoh terkenal dalam kalangan orang Melayu dalam buku ini, tidak kira di mana-mana sahaja anda berada.

Paparan daripada youtube.com


Hikayat yang terkenal ini juga sudah lama juga dijadikan filem yang masyhur dan juga dalam banyak pementasan drama dan bangsawan sejak sekian lama.


Sekelumit Kisah Indah Daripada Hikayat Hang Tuah

Hang Tuah sekeluarga berasal dari Sungai Duyung. Ayahnya bernama Hang Mahmud dan ibunya pula Dang Merdu. Mereka telah berpindah ke Bentan dan membuka sebuah kedai menjual makanan. Di Bentan, mereka tinggal dalam kampung Bendahara.

Sewaktu kecil, Hang Tuah telah belajar mengaji al-Quran daripada seorang lebai dan belajar bahasa Keling, Siam, Cina dan Jawa hingga boleh menguasai sebanyak 12 jenis bahasa.

Hang Tuah sentiasa membantu kerja-kerja ayahnya di kedai makanan itu. Dia juga pergi ke sebuah yang belukar berdekatan untuk memungut kayu api. Setiap hari, dia membelah kayu api di hadapan kedai ayahnya. Hang Tuah amat rajin menjalankan kerja-kerja di rumah dan di kedai ayahnya itu.

Hang Tuah mempunyai empat orang rakan sebaya yang amat akrab dan diangkatnya sebagai saudara. Mereka ialah Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Pada suatu ketika, mereka telah bermuafakat untuk merantau dengan perahu. Dalam pelayaran ke Pulau Tingg itu, perahu mereka tealh dihambat oleh lanun. Mereka berlima berjaya menentang musuh dengan keberanian, lebih-lebih lagi Hang Tuah. Mereka berjaya menawan beberapa orang lanun itu dan menyerahkan mereka kepada Batin Singapura yang kebetulan sedang berlayar lewat di Pulau tinggi dalam perjalanan ke Bentan. Dikatakan daripada penangkapan lanun-lanun itu, tersebar khabar bahawa lanun-lanun itu telah diketuai oleh Atia Negara yang bertujuan untuk merompak di Palembang atas arahan Patih gajah Mada, seorang menteri Kerajaan Majapahit. Keberanian Hang Tuah menentang lanun-lanun itu disampaikan kepada pengetahuan Bendahara Paduka Raja oleh Batin Singapura.

Hang Tuah lima bersahabat itu pergi berguru kepada Aria Putera di Bukit Pancalusa. Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya bertekad mahu menjadi tangkas bermain senjata dan mahir dalam kemahiran berperang. Mereka menuntut berbagai-bagai ilmu , iaitu syara hulubalang, firasat dan ilmu berperang dengan menggunakan senjata dan muslihat. Aria Putera mendapati bahawa kemampuan Hang Tuah jauh mengatasi kebolehan sahabat-shabatnya lalu dia memberikan tumpuan pengajaran yang lebih kepada Hang Tuah berbanding dengan yang lain. Sebelum berangkat pulang ke kampung halaman mereka, Aria Putera telah berpesan agar Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya perlu menambah ilmu persilatan mereka dengan menuntut kepada seorang guru silat yang bernama Sang Persata Nala yang bertapa di Gunung Wirana, Majapahit. Sang Persta Nala ialah saudara Aria Putera.

Hang Tuah pernah berjaya menewaskan orang mengamuk dengan kapak. Pada ketika itu, Hang sedang membelah kayu di hadapan kedai ayahnya. Dia dapat membunuh orang yang mengamuk itu dengan menggunakan sebilah kapak juga. Hang Tuah baru sahaja berumur 10 tahun pada waktu itu. Keberanian Hang Tuah itu amat mengkagumkan jiran-jiran di kampungnya dan juga sahabat-sahabatnya. Masyhurlah kisah keberanian dan kejayaan Hang Tuah menentang orang mengamuk dalam kampung Bendahara itu.

Pada suatu hari, Datuk Bendahara sedang berjalan-jalan diiringi oleh pegawai-pegawainya, datang empat orang lelaki yang mengamuk. Orang-orang yang mengamuk itu cuba membunuh membunuh Datuk Bendahara. Pengawal Datuk Bendahara yang bertangung jawab menjadanya lari meninggalkan Datuk Bendahara seorang diri. Hang tuah dan sahabat-sahabatnya dengan mara lalu mencabar orang-orang yang mengamuk itu dengan penuh keberanian. Bendahara yang tercegat berdiri di situ menyaksikan ketangkasan Hang Tuah dan para sahabatnya menentang orang-orang yang mengamuk itu. Datuk Bendahara berasa atakjubmenyaksikan keberanian Hang Tuah kerana walaupun dia masih kecil, Hang tuah begitu berani dan amat gagah perkasa.

Selepas kejadian itu, Datuk Bendahara menjadikan Hang Tuah dan keempat-empat orang sahabatnya sebagai anak angkat dan diberi persalinan sebagai hadiah.

Berita Datuk Bendahara diselamatkan oleh lima orang budak bersahabat sampai kepada pengetahuan Raja Bentan. Baginda memerintah Datuk Bendahara menyerahkan kelima-lima orang sahabat itu untuk dilantik sebagai biduanda di istana.

Nota
Akan saya bangunkan bahan latihan tatabahasa dan bahan pengajaran daripada hikayat ini pada masa-masa mendatang. Semoga para pelajar, tidak kira di mana-mana anda berada, akan mendapat manfaatnya, insya-Allah.

Jumaat, Januari 15, 2010

Kelas BM 1HMT BPGHS - 15.1.2010





Dalam pelajaran pada kali ini, saya meminta para pelajar membuat cacatan peribadi mengenai minggu kenal suai yang mereka jalani pada minggu lalu di sekolah kami. Salah seorang daripada mereka begitu ghairah apabila diminta bercerita mengenai pengalaman peribadinya sendiri.

Dalam perbincangan selanjutnya, mereka bercerita tentang apa-apa hal yang unik telah mereka alami sesama sendiri. Apabila saya meminta mereka membuka buku aktiviti dan mecatatkan beberapa patah perkataan dalam buku aktiviti itu, saya juga memeri arahan agar mereka hanya menyenaraikan beberapa patah perkataan sahaja dalam ruang yang terhad itu. Daripada senarai yang mereka buat dan juga daripada apa-apa yang saya catat, berdasarkan perbualan mereka, di papan putih, ternyata banyak hal yang sama diungkapkan tetapi dengan penggunaan perkataan yang berbeza-beza. Ada juga beberapa patah keketa Inggeris mereka gunakan dan mereka meminta saya terangkan kata padanannya dalam bahasa Melayu.

Setelah itu, saya minta mereka membualkan hal itu semula sesama rakan dan meminta mereka membuat catatan peribadi mengenai aktiviti kenal suai dalam minggu pertama mereka di sekolah kami. Beberapa orang pelajar saya minta ke hadapan kelas dan menyampaiakn apa-apa yang mereka catatkan. Daripada penyampaian mereka, saya minta rakan-rakan yang lain komen dan memberikan pendapat tentang pemahaman mereka terhadap apa-apa yang mereka dengar itu. Saya juga minta mereka buat catatan mengenai harapan mereka pada masa hadapan di sekolah menengah kami ini. Mereka saya minta membuat karangan kedua sebagai tugasan hujung iaitu dengan tajuk 'Minggu Pertama Saya Di Sekolah Ini' dengan menggunakan sekurang-kurangnya 250patah perkataan. Mereka hendaklah menghantar karangan mereka melalui emel kepada saya.

Seperti pelajaran sebelum ini, saya ada juga membuat rakaman video penyampaian pelajar-pelajar itu.

Kelas BM Men 1HMT (BPGHS) 14.1.2010





Dalam pelajaran yang memakan masa kurang daripada 60 minit ini, saya mengajak anak-anak berkenal-kenalan sesama sendiri.

Saya mulakan dengan aktiviti mereka bertanya akan rakan pasangan yang duduk di sebelah mereka. Mereka mula bercerita tentang diri masing-masing secara lisan. Sesudah itu, saya minta beberapa orang pelajar datang ke hadapan kelas untuk memperkenalkan rakan-rakan mereka itu.

Rakan-rakan yang lain saya minta duduk mendengar penerangan ringkas rakan-rakan yang mara dan berucap di hadapan kelas itu.

Sesudah itu, mereka saya suruh untuk membuat catatan respons mereka dalam buku aktiviti dengan mengmukakan lima baris soalan. Hal itu adalah apa-apa yang mereka hendak rakan-rakan mereka jawab. Sesudah membuat catatan itu, mereka bertukar-tukar catatan soalan rakan mereka dan saya minta mereka menjawabnya.

Saya meminta mereka mengambil semula catatan soalan mereka yang sudah berjawab itu dan menyemak respon-responnya. Saya minta mereka baca dengan senyap dshulu respons rakan-rakan mereka. Sesudah itu, saya minta beberapa orang pelajar itu membaca soalan-soalan mereka secara lantang dan cuba mengolah respons rakan mereka dengan sepontan. Daripada aktiviti itu, secara langsung saya kemukakan saranan penggunaan kosa kata yang sesuai dalam mereka membuat pembentangan secara individu itu.

Saya akhiri aktiviti halaman 1 dalam buku aktiviti dengan meminta mereka mengambil masa selama 10 minit untuk membuat catatan peribadi daripada respons rakan-rakan mereka dan menulisnya di ruangan yang disediakan dalam buku aktiviti itu.

Sesudah itu, saya bertanyakan sama ada mereka mengenali secara ringkas akan rakan-rakan sedarjah itu. Mereka saya minta menjawab secara lisan sepontan dan saya menyedari mereka dengan segera berhat-hati menggunakan kekata yang sesuai dalam mengemukan jawapan lisan mereka itu. Berikutnya, saya lanjutkan aktiviti pengajaran itu dengan mengarahkan mereka membuat sebuah karangan ringkas mengenai diri mereka sendiri dalam latihan berjudul 'Apa-apa Yang Saya Mahu Cikgu Manaf Tahu Tentang Diri Saya'. Mereka hendaklah menggunakan sekurang-kurangnya 250 patah perkataan. Latihan buku aktiviti dan buku teks itu akan saya semak. Dapatan daripada catatan yang mereka buat itu akan saya gunakan sebagai bahan untuk mengajarkan tentang Kata Nama dan Kata Ganti Nama Diri dalam pelajaran tatabahasa pada minggu hadapan. Tugasan karangan mereka itu saya minta ditaip dan disimpan dalam fail yang sudah saya tetapkan bentuknya dan fail itu hendaklah disisipkan dalam emel yang mereka harus utuskan kepada selewat-lewatnya pada hari Ahad, 17.1.2010 jam 12.00 tengah hari.

Rabu, Januari 13, 2010

Kertas Latihan Men 1 (NT)

Berikut adalah bahan latihan bertulis tambahan untuk pelajar sudahkan.

Unit 1
Latihan Imbuhan 01 NT

Unit 2


Unit 3


Unit 4


Unit 5


Unit 6


Unit 7


Unit 8


Nota Cikgu Manaf
Bahan-bahan ini akan dikemaskinikan dari masa ke masa pada waktu-waktu mendekat.

Selasa, Januari 05, 2010

Tajuk-tajuk Karangan Menengah 1 Kursus Normal Akademik

Tugasan Karangan 1NA

BT 1A
Unit 1 – Teman Baik yang Saya Ingini/BT1A-11



Unit 2 – Aku Kesayangan Tuanku – Karangan Autobiografi/BT1A-23



Unit 3 – Zaman Pemerintahan Jepun/Kemerdekaan Singapura/BT1A-36

Lelaman internet yang boleh para pelajar rujuk
a. 1942 : Battlefield Singapore http://www.s1942.org.sg
b. KnowledgeNet http://www.knowledgenet.com.sg
c. PICAS http://nas.nhb.gov.sg/picas

Unit 4 – Membantu Rakan Berpindah Rumah/Membersihkan Taman Yang Terdekat Dgn Sekolah Kamu/48

Unit 5 - Surat Kiriman – Legenda/Dongeng Tempatan/BT1A-6

Cerita Bukit Merah
Komik mudah sebuah cerita rakyat dari Singapura

http://ramblinglibrarian.blogspot.com

Unit 6 – Brosur Rencana Sebuah Kegiatan Sukan/BT1A-75

Unit 7 – Karangan Dialog – Sambutan Hari Raya/BT1A-88



Unit 8 – Menulis Pantun/BT1A-101

Penerangan lengkap mengenai puisi tradisional ini boleh dirujuk dalam slaid-slaid berikut:







BT1B
Unit 9 – Karangan Deskriptif – Penyesalan/BT1B-10

Unit 10 – Karangan Deskriptif – Hari Aktiviti Kerja Kemsyarakatan (CIP/BT1B-20

Unit 11 – Adab Berziarah Ke Rumah Orang Melayu/BT1B-30

Unit 12 - Sebuah Cerita Misteri/BT1B-41

Unit 13 – Melancong ke Luar Negara/BT1B-53









Unit 14 – Menyudahkan Sebuah Cerita/BT1B-64

Unit 15 – Poster Grafik Berinformasi tentang Sebuah Permainan Tradisional/BT1B-74

Sedikit maklumat tentang topik di atas, boleh lungsuri lelaman berikut:
http://memori-kedah.net/page_pengenalan.php?p=1&idstopic=29&mtopic=3


Unit 16 – Terjebak Dalam Kejadian Tanah Runtuh/BT1B-83



Nota Cikgu Manaf
Dalam masa-masa terdekat, saya akan memuatkan beberapa bahan sampingan bagi membantu pelajar melaksanakan tugasan karangan.

Isnin, Januari 04, 2010

Selamat Tahu Baru

Alhamdulillah. Selamat kembali semula ke sekolah. Tahun ini, saya hanya mengajar kelas bahasa Melayu di peringkat menengah satu sahaja. Namun saya akan mengajar para pelajar dalam ketiga-tiga aliran ; NA, NT dan Ekspres.

Minggu pertama ini, semua pelajar menengah 1 melalui aktiviti kenal suai dan acara kemuncaknya pada petang Jumaat nanti.

Selamat kembali semula ke sekolah.