Selasa, Ogos 04, 2009

Baca! Singapura 2.2

Alhamdulillah, pada hari ini, 3 buah sesi telah dapat dijalankan untuk aktiviti membaca yang akan saya lanjutkan sepanjang minggu ini.

Dalam kelas bahasa yang saya gabungkan pelajar 3NT saya dengan pelajar 1HMT Cikgu Noormarlina, saya mulakan dengan memperdengarkan sebuah lagu Sudirman tentang harapan seorang ibu dan isteri terhadap perpisahan dengan anak dan suami mereka yang akan pergi ke rantuan dalam usaha mempertingkatkan diri atau untuk bekerja. Selepas itu, saya kaitkan dengan harapan yang terdapat dalam cerpen Elergi Di Tabir Pelangi. Mereka saya ajak untuk merenungkan apa-apa yang terdapat dalam cerpen tersebut sewaktu membaca sambil mendengar petikan itu yang telah dipindahkan ke dalam sebuah rakaman audio.

Selesai pembacaan, saya bertanyakan akan pemahaman mereka daripada pembacaan tadi. Saya tanyakan kesan yang mereka rasai daripada aktiviti membaca teks tersebut. Mereka rata-rata menyatakan rasa belas dan sedih seusai sahaja pembacaan tersebut.

Saya lanjutkan dengan bertanyakan respons daripada senarai soalan yang saya sediakan dalam blog ini. Aktiviti ini bagi saya adalah untuk mereka mengimbas kembali apa-apa yang mereka ingat demi membina serta mengukuhkan pemahaman mereka terhadap teks tersebut.

Saya akhiri sesi pengajaran dengan meminta mereka mengingat kembali cerita dalam cerpen tersebut dengan menyudahkan kotak cerita. Mereka boleh menulis semula cerita tersebut secara ringkas atau melukiskan komik dengan pemerian beberapa baris ayat. Mereka juga dibenarkan membuat lukisan sahaja untuk menceritakan semula kisah dalam cerpen tersebut atau mana-mana bahagian cerpen yang mereka senangi. Saya meminta mereka menghiasi bahan yang mereka siapkan itu agar kelihatan menarik di pandang mata.

Ada latihan imbuhan dan prosedur cloze yang akan dijalankan pada hari esok.





Tiada ulasan: