Jumaat, September 21, 2007

Syair Pengenalan Diri

Abdul Manaf nama saya
Empat puluh tiga saya berusia
Isteri seorang guru juga
Anak kami ada dua.

Isteri saya yang dikasihi
Puan Norlaili nama terpuji
Tiga puluh lapan umurnya kini
Memakai tudung setiap hari.

Nurul Rasyidah anak pertama
Tujuh tahun lincah orangnya
Menyanyi menari kegemarannya
Suka selalu kelihatan lawa.

Muhamad Faiz Danisy anak kedua
Suka bermain kereta-kereta
Masih berpopok empat tahun usianya
Kini sedang belajar membaca.

Sebagai guru tugas kedua
Sebagai ayah tugas pertama
Kedua-dua berganding setara
Sebagai suami tidak dilupa.

Senang sekali membaca buku
Buku pengetahuan bacaan bermutu
Selain berkesenian pengisi waktu
Kerja kemasyarakatan adalah selalu.

Dalam hidup percayakan diri
Setiap usaha berhati-hati
Dibuat dengan tenang dan teliti
Semoga berjaya bahagia menanti.

Kalau tersilap cepat mengaku
Supaya tidak lagi berlaku
Rancang usaha baginya perlu
Supaya tidak mendapat malu.

Dalam bergaul merendah diri
Namun yang benar tak disembunyi
Senyuman di bibir tak pernah pergi
Mudah mengalah mudah memberi.

Namun dalam soal pelajaran
Sentiasa bersedia untuk berkorban
Tenaga masa dan buah fikiran
Agar tercapai hajat kesampaian.

Tiada ulasan: