Jumaat, Mac 26, 2010

26.3.2010 - Bacaan Berteater - Satu Kaedah Aktiviti Membaca Kelas 1HMT Saya

Papet tangan yang dihasilkan oleh Dzul (102)

Pada pagi ini, saya sempat menjalankan aktiviti membaca cerpen 'Ini Cengkerang Kita' oleh Cikgu Noor Hasnah Adam.

Saya memulakan pelajaran membaca dengan berbincang tentang maklumat Umang-umang dan Siput laut. Mujur, dengan kelebihan teknologi masa kini, rupa umang-umang dan siput laut dapat dibawa ke dalam bilik darjah. Pada masa yang sama, saya dapat menunjukkan papet tangan yang dibuat Dzul. Kedua-dua papet tangan siput laut dan umang-umang dibuat daripada gambar yang dicetak dan dikenakan pada sepit kayu (chopstik) dan saya tunjukkan kepada semua pelajar saya itu sewaktu berkongsi maklumat mengenai umang-umang dan siput laut.

Para pelajar yang sudah membuat ringkasan cerita dalam buku-buku kecil itu saya minta mereka berkongsi sinopsis yang disiapkan. Kami berbincang tentang jalan cerita cerpen itu sepintas lalu dengan menekankan apa-apa yang mereka fahami daripada pembacaan sebelum itu.

Hakeem saya minta mencari peribahasa-peribahasa yang ada kekata 'umang-umang'. Pada halaman 1764 kamus Dewan Edisi Keempat, dia menemukan peribahasa-peribahasa dengan kekata 'umang-umang' itu.
1. '... bagai umang-umang...' - orang yang berlagak dengan pakaian orang lain.
2. '... laksana bintang umang-umang, di mana sarang udang, di situ tempat menumpang...' - perihal kemiskinan seseorang yang bergantung hidup pada orang lain.
3. '... sarang unam (siput laut) dimasuki ketam menjadi umang-umang...' - a) orang yang menyamar kerana sesuatu muslihat; b) barang yang sama jika berlainan keadaannya maka berlainlah pula namanya.

Setelah berbincang akan maksud ketiga-tiga peribahasa itu menurut apa-apa yang Hakeem temukan dalam kamus itu, saya mengarahkan mereka supaya menyerlahkan kata-kata yang mungkin mereka dapati sukar difahami dan membuat pembetulan terhadap beberapa kesilapan menaip pada teks cerpen dalam buku kecil yang mengandungi cerpen ICK itu.

Semua pelajar saya minta mengambil peranan masing-masing untuk membaca teks cerpen itu bersama-sama. Hakeem saya minta membaca watak Apot, Syahmi membaca watak Tok Rapot sementara Dzul dan Annur membaca watak-watak yang lain. Para pelajar perempuan pula membaca bahagian penceritaan setiap orang setiap perenggan dan dilakukan secara bergilir-gilir.

Hasilnya, mereka berasa puas hati dengan pembacaan sedemikian. Bayangkan seakan-akan mengikuti sebuah drama sedang dipentaskan dalam sesi membaca itu. Saya bercadang hendak melakukannya sekali lagi dengan menukar-nukar peranan pembacaannya pada masa hadapan.

Saya sudahi sesi membaca itu dengan mengarahkan pelajar-pelajar itu menjawab soalan ketujuh dengan menyusun laporan Miut itu dengan menggunakan ayat-ayat mereka sendiri.

Seronok pula mengikuti pembacaan cara sedemikian, saya mendapati semua pelajar saya itu memberi perhatian pada teks yang mereka baca dan dengar pembacaan rakan-rakan mereka. Pada pelajar yang tertinggal sewaktu pembacaan itu berlangsung, dia akan segera ditegur rakan-rakannya dengan menujukkan bahagian teks yang sedang dibaca dan respons yang dia harus berikan.

Bagaimanakah agaknya keadaanny jika kaedah yang sama saya jalankan dalam kelas BM 1NA dan BM 1NT saya kelak? Pasti seronok jadinya.

Selasa, Mac 23, 2010

Ini Cakerang Kita - 2.0 - Hasil Kerja Pelajar

Selepas meneliti bahan-bahan yang anak-anak didik saya hasilkan itu, saya mahu berkongsi dengan anda apa-apa yang mereka telah buat. Bahan-bahan ini merupakan sebahagian daripada beberapa aktiviti yang pelajar saya pilih untuk dilakukan secara kendiri. Semoga anda dapat memanfaatkannya bagi Program Bacaan Lanjutan di sekolah anda pula.

Dari masa ke masa, saya akan menambahkan lagi bahan-bahan yang lain, hasil kerja para pelajar itu.

1. Maklumat mengenai umang-umang dan siput laut
dibuat oleh Nur Farah - 101 (BPGHS)
http://www.slideshare.net/manafyasir/umang-umang-siput-laut


2. Glosari - menggunakan kamus on-line DBP, Malaysia
dibuat oleh Aqilah Abdul Aziz (FJSS)
http://www.scribd.com/doc/28778719/Ini-Cengkerang-Kita-AqilahFJSS-Glosari


3. Ringkasan Cerita
oleh Shaikh Syami (BPGHS)

Ringkasannya
Seekor siput laut diserang oleh seekor umang-umang lagi. Siput-siput laut yang lain menggigil dalam ketakutan tetapi mereka berasa seperti hendak membalas dendam ke atas umang-umang yang kuat dan pantas itu. Siput-siput laut itu hanya boleh meludahkan lendir sahaja untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka. Mereka berasa bahawa kejadian serangan ke atas siput laut rakan mereka itu tidak adil.
Siput-siput laut diserang umang-umang untuk merampas cengkerang mereka. Siput-siput laut ini tidak akan boleh mengalahkan umang-umang ini yang mempunyai senjata penyepit yang kuat itu. Satu persatu siput-siput laut itu diserang oleh kaum umang-umang hingga mereka berfikiran bahawa kaum siput laut pastinya akan dihapuskan dan dilenyapkan daripada permukaan dunia ini.
Siput-siput laut itu tidak tahu hendak melakukan apa-apa pada keganasan kaum umang-umang itu. Mereka mula berbantah antar satu sama lain. Ada yang berpendapat bahawa mereka sepatutnya menyerang dan cuba membunuh kaum umang-umang itu.
Akhirnya, mereka telah membuat keputusan untuk menghadapi umang-umang yang kuat dan garang itu dengan berani. Umang-umang yang lemah itu hanya tersenyum dengan perasaan puas dalam hati sahaja. Mereka tidak sedar betapa ada komplot kaum umang-umang yang hendak menyerang setiap siput laut yang berhimpun itu.


4. Buku Kecil
dibuat oleh Aqilah Abdul Aziz (FJSS)







Nota Buat Para Guru

Bahan-bahan seperti di atas boleh para guru gunakan bagi aktiviti pra dan pasca membaca untuk para pelajar anda lakukan.
Saya akan menggunakan bahan yang disediakan oleh Syaikh Syahmi untuk dibuat latihan prosedur Cloze untuk diselesaikan para pelajar lain.

Glosari yang dibina itu akan saya gunakan bagi latihan mengayat.

Pesanan Munsyi Abdullah Akan Pekerjaan Guru

Pertama-tama hendaklah ada pengetahuan
Kedua hendaklah jangan ia (dia) membesarkan dirinya sebab pengetahuannya itu.
Ketiga hendaklah ada ia (dia) sabar daripada kesalahan dan kebodohan orang lain, serta menanggung kesusahan.
Keempat hendaklah diketahuinya tiap-tiap perkataan yang diajarkannya itu dari mana asalnya, dan bagaimana memakai dia (-nya).
Kelima hendaklah ia (dia) rajin serta usaha.

(Hikayat Abdullah, 1997 (cetakan ketujuh): Kuala Lumpur, Pustaka Antara)

Saya selalu merenungkan apa-apa yang tersirat dalam pesanan Ayahanda Munsyi Abdullah, semoga Allah mencucuri rahmat-Nya atas roh almarhum ayahandaku ini dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang mendapat keampunan pada hari kebangkitan kelak. Begitu juga saya berharapkan kepada semua mantan guru saya yang sudah berpulang.

Ahad, Mac 21, 2010

Bengkel Tatabahasa KGMS - 19-20 Mac 2010


(Bergambar dengan Prof Abdul Razak bin Abdul Karim sewaktu menerima sijil penyertaan bengkel)


Bengkel Tatabahasa dikendalikan oleh Profesor Abdul Razak Bin Abdul Karim. Tokoh bahasa yang handal ini merupakan salah seorang tenaga pengajar yang amat disegani para ahli akademik di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Bengkel ini dijalankan sepanjang hari pada 19 Mac 2010 dan hanya separuh hari pada 20 Mac 2010.

Meneliti aturcara pada kedua-dua hari itu, saya berharap sangat agar apa-apa yang akan saya raih daripada bengkel ini dapat memperkayakan pengalaman dan menjelaskan beberapa kekeliruan yang saya hadapi dalam bahasa kita yang indah dan cukup bertenaga ini. Ternyata, apa-apa yang saya harap-harapkan terpenuhi kerana Profesor Razak yang terkenal dengan ketegasannya namun begitu penuh dengan seloroh yang memudahkan saya mengikuti setiap inci penerangan beliau yang praktikal lagi logik. Hilang rasa mengantuk saya mengikuti bengkel sehari setengah ini.

Logik, semantik dan referensi adalah tiga hal yang beliau tegaskan dalam pembinaan ayat-ayat yang gramatis. Beliau menganjurkan agar setiap peserta yang terdiri daripada para guru dari sekolah-sekolah rendah dan menengah menjelaskan hal ini kepada para pelajar merekasupaya mererka memahami ketiga-tiga hal yang saya sebutkan tadi.

Bengkel itu dimulakan dengan penerangan ringkas lagi padat mengenai aspek kata dalam tatabahasa Melayu. Beliau ada menyebarkan bahan sebaran yang mudah untuk menegaskan aspek morfologi serta sintaksis yang menjadi pegangannya sepanjang beliau mengendalikan bengkel ini. Pada aspek morfologi, beliau mengingatkan akan empat kelas kata, golongan kata dan perhatian ditumpukan pada kata kerja dan kata nama. Beliau menegaskan konsituten frasa (sama ada frasa nama atau frasa kerja) dengan menyenaraikan golongan kata yang yang hadir sebelum atau sesudah inti kata itu. Beliau mengingatkan bahawa unsur-unsur itu ada yang bersifat opsyenal dan ada yang perlu hadir dalam sesebaris ayat Melayu yang gramatis. Bagi aspek sintaksis, beliiau menyedarkan betapa setiap ayat itu ada unsur-unsur nahu yang mesti dipatuhi agar ayat-ayat yang dibina oleh para peserta gramatis dan bersesusian dengan maklumat yang dimaksudkan. Beliau menganjurkan agar peserta memahami semua aspek dan konsep subjek dan predikat, memahami dengan jelas akan konsep ayat, konsep klausa dan konsep frasa.

Beliau menerangkan bahawa empat pola ayat dasar bahasa Melayu dan menegaskan akan konsep susunan konstituen ayat; susunan biasa atau susunan songsang, iaitu, songsang sebahagian atau seluruh.

Ragam ayat dijelaskan dengan menekankan binaan ayat aktif transitif dan ayat aktif tansitif. Beliau juga menenrangkan ragam ayat pasif yang ada penanda imbuhan pasif, dengan penggunaan ganti nama orang pertama dan kedua.

Beliau menegaskan bahawa semua ayat dasar boleh digolongkan dalam ayat tinggal namun tidak semua ayat tunggal boleh digolongkan dalam ayat dasar. Ayat-ayat tunggal boleh melalui proses penyusunan semua, pengguguran dan seumpamanya.
Nota yang disebarkan dalam bengkel tersebut amat mudah dengan penjelasan yang Prof Razak buat.

(Prof Razak sedang menerangkan sesuatu kepada para peserta bengkel tersebut)

(Bersama-sama teman bengkel yang begitu ceria, Cikgu Hamsani dan Cikgu Aiman Begum)

(Kami menyudahkan latihan analisis ayat dan membetulkan kesilapan dalam ayat)
Dalam sesi latihan pencerakinan ayat dan membetulkan ayat, jelas sekali apa-apa yang beliau tegaskan bahawa ayat lisan tidak sama dengan ayat tatabahasa. Berbeza sekali bentuk ayat yang saya dapati dalam bahan-bahan genre sastera dan bentuk ayat dalam bahan-bahan genre tatabahasa Melayu. Beliau banyak kali menganjurkan agar para peserta kembali kepada rumus-rumus mudah yang beliau tegasakan dalam pembinaan ayat-ayat bahasa Melayu yang gramatis.
Beliau seringkali menegaskan bahawa untuk pengguna yang baru agar merujuk pada Tatabahasa Dewan untuk memastikan apa-apa yang hendak ditegaskan dalam pengajaran tatabahasa Melayu boleh dibuat rujukan.


(Tampang Prof Razak sedang mengajar kami)
Saya berasa sungguh bertuah dapat menghadiri bengkel ini dan mengusulkan agar para karyawan guru yang lain sama-sama mengikutinya. Saya dimaklumkan oleh pihak KGMS, Profesor Razak akan kembali lagi mengendalikan bengkel yang sama pada bulan Jun 2010 nanti.
Saya berharap sungguh agar hal-hal kebahasaan yang lain, seperti aspek kata dan maknya dalam konteks penggunaan lisan dan tulisan serta lingkungannya dapat dibincangkan. Saya berpendapat bahawa mungkin Profesor Nuwairi dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya atau seorang dua tokoh tempatan dapat mengendalikannya pada masa-masa akan datang.
Tingkap papan kayu bersagi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Budi bahasa tak dijual beli.

Terima kasih, KGMS! Saya berharap pihak anda dapat menganjur lagi bengkel-bengkel serupa atau seumpamanya, guna memberikan manfaat kepada para karyawan guru bahasa Melayu sekalian.

Rabu, Mac 17, 2010

Baca! Singapura 2010 - Bengkel untuk Para Guru Bahasa Melayu


(Sebahagian peserta bengkel yang saya kendalikan)

Alhamdulillah, 17.3.2010, di Bahagian Peminjaman Buku Perpustakaan Negara di Victoria Street, aktiviti perkongsian penggunaan Cerpen LEMBU dan WALI telah dijalankan. Saya gembira sejak jam 9.00 pagi aktiviti itu bermula. Nampaknya, dengan panjang lebar saya cuba berkongsi keghairahan saya akan penyertaan guru-guru peserta dalam bengkel itu. Saya gembira dapat berkongsi strategi pengajaran Bahasa Melayu dengan aktiviti-aktiviti yang saya usulkan seperti Membaca Cara Berteater (saya pelajari daripada Cikgu Mohd Noh Daipi kira-kira 20 tahun yang lalu) dan penggunaan buku kecil (saya pelajari daripada Cikgu Roslina Mahmood kira-kira 4 tahun yang lalu).

(sewaktu saya menerangkan apa-apa yang ingin dicapai dalam menjalankan aktiviti Baca! Singapura 2010 di sekolah-sekolah)
Saya ada juga berkongsi rakaman harapan dan mesej yang hendak disampaikan oleh Cikgu Patimah Jaludin dalam cerpen WALI dan Encik Ismail Wardi @ Iswardy dalam cerpen LEMBU. Sedikit pandangan Ustaz Shaaban dari Masjid al-Mukiminin juga saya tayangkan bagi pengetahuan para guru peserta bengkel yang akan menggunakan cerpen Wali kelak.

(peserta menyaksikan rakaman video ringkas yang saya buat untuk tujuan pengukuhan apa-apa yang diharapkan oleh setiap penulis cerpen yang digunakan termasuk video pandangan seorang alim agama kita)
Saya tunjuk cara-cara untuk membuat buku kecil yang boleh digunakan bagi pelbagai aktivitti pos-membaca kelak.

Saya menerangkan apa-apa yang para guru boleh bantu dan bergabung satu sama lain dalam menjalankan aktiviti Baca! Singapura kelak. Saya juga menenrangkan objektif pembinaan strategi pengajaran yang praktikal lagi berkesan kelak.

Pada siaran yang lain, saya akan menyodorkan hasil perbincangan yang para guru peserta buat sewaktu sesi perbincangan bersama-sama. Mereka banyak mengemukakan strategi-strategi pengajaran dan juga sempat berkongsi pandangan serta bersoal jawab dengan saya sesudah itu.
Saya bersyukur aktiviti yang mudah ini ada membuahkan banyak idea yang praktikal lagi diharapkan akan berkesan sewaktu dijalankan dalam bilik darjah kelak, insya-Allah.
Menjunjung budi sekalian rakan dan teman yang banyak membantu dalam menjayakan aktiviti ini terutamanya; Cikgu Patimah Jaludin & Abang Ismail Wardi, Cikgu Ali Bujang, Cikgu Noormarlina Tasrib dan Cikgu Senan Long dari BPGHS, Pengetua dan naib Pengetua BPGHS; Encik Lee Seng Hai dan Cik Chow Wai Hoong, Puan Norshida Mahmood dan Encik Herman Rothman dari NLB. Dan kepada para peserta bengkel yang sabar mendengar celoteh saya dari mula hingga akhir bengkel.
Aktiviti-aktiviti yang disarankan oleh para peserta bengkel.
A. Saranan Aktiviti Bahasa Cerpen LEMBU
B. Saranan Aktiviti Bahasa Cerpen WALI
C. Kertas Latihan Imbuhan Cerpen LEMBU
D. Kertas Latihan Imbuhan Cerpen WALI
E. Kertas Latihan Prosedur Cloze Cerpen LEMBU
sedang dibina
F. Kertas Latihan Prosedur Cloze Cerpen WALI
sedang dibina

Selasa, Mac 16, 2010

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010 - 2.0 - Gambar-gambar Semasa Bengkel Berlangsung






Semoga paparan di atas ini akan memberikan sedikit gambaran kepada para pelajar yang tidak dapat mengikuti bengkel ini. Semoga paparan di atas ini akan mengembalikan semula semua kenangan yang para peserta lalui sewaktu berbengkel.

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010 - 1.2 - Maklum Balas Bengkel Puisi

Berikut adalah maklum balas sebahagian peserta bengkel bagi kelas penulisan Puisi oleh Cik Rasiah Halil. Semoga maklum balas ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

01.
Ahmad Dzul Danial (102)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya belajar menyusun puisi seperti sajak, pantun dan Syair. Pantun dan syair adalah puisi Melayu tradisional. Terdapat rangkap dan kerat dalam puisi-puisi tradisional. Saya gembira dapat belajar mencipta beberapa buah puisi Melayu.


02.
Muhd Hakeem Yaakop (102)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Hari kedua pula saya pelajari untuk mencipta pantun, syair dan sajak. Pengalaman mencipta puisi-puisi tersebut sangat seronok. Saya mempelajari puisi-puisi ini daripada Cikgu Rasiah(nama betul beliau Rashidah).


03.
Nama: Nurul Izyan (104)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
Pada hari kedua, saya telah mempelajari cara-cara mengarang pantun, syair dan sajak. Amat bertuah saya rasakan dengan pengalaman ini. Yang amat saya suka adalah mempelajari teknik mencipta sajak. Dalam sesebuah sajak, tidak semestinya semua perkataan yang berakhir dengan rima yang sama dan yang penting adalah iramanya. Saya amat suka sekali dengan bengkel puisi ini. Saya sekarang dapat mengarang pantun, syair serta sajak sedikit demi sedikit. Kalau Cikgu Rasidah Halim datang ke lagi ke sekolah ini, tentu sekali saya akan hadir kelas-kelasnya. Ini adalah kerana cara-cara beliau mengajar kami begitu senang diikuti untuk menambah pemahaman kami. Saya amat suka dengan akan teknik beliau mengajar kami. Saya berasa bengkel ini amat berguna dan amat menyeronokkan!


04.
Nisa Camillia Bte Rohaizat (1B)
Sekolah Menengah West Spring

Pada hari ini, saya telah mempelajari cara-cara mencipta puisi tradisional, pantun dan juga sajak, puisi moden. Daripada bengkel ini, saya dapat mempelajari pelbagai jenis pengetahuan menarik tentang puisi. Saya berharap pada masa hadapan, akan ada bengkel-bengkel sebegini dianjurkan.


05.
Syafiqah Najihah Begum (1E4)
Sekolah Menengah Bukit Batok

Cikgu Rasiah Halil mengajar kami tentang puisi sambil berkongsi maklumat mengenai para tokok puisi Melayu tradisional. Beliau memberi kami banyak contoh puisi yang baik. Beliau mengajar kami dengan penerangan yang amat jelas dan saya dapat memahami setiap hal yang beliau ajarkan. Dahulu, saya tidak mengemari puisi moden dan pantun. Akan tetapi, saya mendapati pengalaman hari ini semakin menarik selepas diajar Cikgu Rasiah Halil.


06.
Nur Yannie (1B)
Sekolah Menengah West Spring

Saya telah mempelajari caracara yang mudah untuk menulis puisi, pantun, syair dan sajak. Saya berharap pada masa hadapan saya dapat menghadiri bengkel-bengkel seperti ini. Saya telah mempelajari tentang pelbagai perkataan yang berima.


07.
Syarah Khaliesah
Sekolah Menengah Fuhua

Saya mempelajari cara-cara mudah lagi menarik untuk menulis puisi; pantun, puisi, sajak dan syair yang baik dari pengajaran Cikgu Rasiah Halil.


08.
Syeikh Syahmi (102)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya telah mempelajari tentang puisi tradisional seperti pantun dan syair. Saya juga telah mempelajari tentang puisi moden; sajak. Saya telah mempelajari cara-cara untuk menulis beberapa buah puisi yang baik. Saya juga berpendapat bahawa Cikgu Rasiah telah mengajar dengan begitu baik sekali.


09.
Syahbil Syahiran
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya belajar tentang puisi moden dan puisi tradisional; pantun, syair. Saya pun dapat mempelajari cara-cara menulis puisi-puisi tersebut, iaitu pantun dan syair. Beberapa unsur yang membina puisi adalah kata/diksi, ritma, rima dan irama, lambang, aliterasi, unsur perbandingan, unsur perorangan dan sebagainya.


10.
Nurul Halizah Bte Suhaimi (1R3)
Sekolah Menengah Fuhua

Dua perkara yang saya telah pelajari dalam bengkel ini adalah:
Terutama sekali saya telah pelajari cara-cara menulis puisi; syair dan sajak dan serba sedikit tentang perbezaan puisi-puisi tersebut.

Ada beberapa jenis pantun. Ada pantun dua kerat dan ada pula yang mempunyai empat atau enam kerat.
sStu kekuatan bengkel ini yang saya perhatikan yang ada pada guru ini (Cikgu Rasiah Halil) ialah; seperti guru-guru yang lain, beliau bersedia membantu kami sewaktu kami menghadapi kesusahan untuk membuat tugasan yang diberi. Beliau juga dapat menerangkan makna perkataan-perkataan yang terdapat dalam puisi; syair, pantun dan juga sajak.

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010 - 1.1 - Maklum Balas Bengkel Cerpen

Berikut adalah maklum balas sebahagian peserta bengkel bagi kelas penulisan Cerpen oleh Encik Ismail Bin Wardi @ Iswardy. Semoga maklum balas ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

01.
Nur Amirah Salimin (101)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

1) Cerpen tidak mementingkan sangat penggunaan tatabahasa. Karangan mementingkan penggunaan tatabahasa.
2) Cerpen tidak mempunyai topik yang tetap-penulisan bebas. Karangan mempunyai topik yang tetap.
3) Cerpen pendek tetapi padat dengan maklumat. Karangan boleh ditulis dengan panjang.

Saya mahu mencadangkan Cikgu Iswardi agar dapat menerangkan persembahannya sebanyak dua kali; kali pertama pada permulaan sesi dan kali kedua di penghabisan sesi.


02.
Farah Nur Zakiah Bte Roslee (101)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Hari ini, saya mempelajari beberapa perkara tentang cerpen. Saya telah mempelajari bahawa perkara-perkara yang penting dalam cerpen adalah: tema cerita, plot, permulaan, klimaks, penghabisan, ayat pertama dan ayat terakhir.

Terdapat beberapa perbezaan antara sebuah karangan dengan sebuh cerpen. Cerpen harus lebih panjang daripada karangan. Untuk latihan karangan, kami diberi sebuah topik manakala cerpen tidak mempunyai topik yang ditetapkan.


03.
Nama: Nurul Izyan Bte Zulkiflee (104)
Sekolah: Sekolah tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Pada hari ini, saya telah dapat mempelajari cara-cara membuat sebuah cerpen. Sejak umur 11 tahun lagi, saya ingin sekali menyertai Projek Cerpen apabila umur saya menjangkau 15 tahun. Saya ingin sekali menulis cerpen tetapi saya tidak tahu cara-caranya. Saya amat bertuah dapat menghadiri bengkel penulisan cerpen ini. Cara Encik Ismail Wardi mengajar sangat mudah bagi saya untuk fahami. Saya ingin Encik Ismail Wardi mengajar saya dengan lebih mendalam. Menggunakan frasa-frasa berbunga tetapi frasa-frasa yang sesuai. Ini adalah sesuatu kemahiran baharu yang saya telah pelajari. Saya telah pun mempelajari cara-cara memilih tajuk-tajuk cerpen yang sesuai, cara-cara memulakan cerpen dan cara-cara mengakhiri cerpen kita itu. Saya berasa sangat beruntung sekali. Tidak ramai orang yang mendapat peluang keemasan ini. Sekian, terima kasih.


04.
Syasya Nur Nasriyah Bte M N
Sekolah Menengah Swiss Cottage

Saya pelajari bahawa cerpen itu lebih panjang daripada karangan yang biasa saya lakukan. Saya juga mempelajari bahawa sesebuah cerpen itu mempunyai pesanan khusus.


05.
Raihan Borhan
Sekolah Menengah West Spring

Bengkel penulisan bersama Cikgu Ismail Wardi (Iswardy) telah mengajar saya tentang cara-cara menghasilkan sebuah cerpen. Selepas menghadiri bengkel ini, saya mendapat pengetahuan lanjut tentang bentuk sesebuah cerpen. Insya-Allah, selepas bengkel ini, saya berharap akan ada alagi bengkel-bengkel penulisan seperti ini dianjurkan. Bengkel ini telah memberikan semangat untuk menulis dan menghasilkan lebih banyak cerpen pada masa akan datang.


06.
Nur Tutadawiah Binte Mohamad Noor ( 104 )
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya telah mempelajari bahawa untuk menghasilkan sesebuah cerpen itu bukannya sebuah kerja senang untuk dilakukan. Saya juga telah mempelajari bahawa sebuah cerpen lebih pendek daripada sebuah karangan. Saya juga mempelajari bahawa dalam sebuah cerpen, tatabahasa tidak begitu penting jika dibandingkan dengan menulis sesebuah karangan. Saya juga mempelajari bahawa ayat pertama dan terakhir amat penting dalam sesebuah cerpen jika dibandingkan dengan menulis sesebuah karangan.

Bagi saya, kekuatan bengkel ini adalah teknik menghasilkan sebuah jalan cerita dan teknik-teknik yang digunakan untuk menghasilkan sesebuah cerpen. Saya berasa teknik yang Cikgu Iswardi gunakan untuk mengajar kami agak baik dan saya tiada komen yang buruk mengenainya. Penerangannya juga cukup jelas dan tidak kabur. Terima kasih, Cikgu Iswardu kerana telah menghadiahkan sebuah buku kepada kami.

Jikalau Cikgu Iswardi akan mengajar sekali lagi, sudah tentu saya mahu menyertai bengkelnya sekali lagi! Bengkelnya amat menyeronokkan!


07.
Ummi Hani Sahlan

Hari ini saya berjaya datang ke sekolah dengan dada yang kosong dan pulang ke rumah dengan dada yang berisi. Daripada bengkel ini, saya mempelajari akan kelainan sebuah karangan dengan sebuah cerpen. Saya juga mendapat pengetahuan cara-cara hendak menarik perhatian seseorang pembaca untuk membaca cerpen yang akan saya hailkan kelak. Saya juga telah mempelajari betapa pentingnya ayat pertama dan ayat akhir dalam cerpen yang akan dihasilakn nanti. Selain itu, saya juga telah mempelajari apa-apa yang diperlukan salam sesebuah cerpen; contoh-contohnya adalah konflik dan klimaks.

Terima Kasih, Cikgu kerana menganjurkan bengkel penulisan ini.


08.
Muhammad Zaim Zamzam
Sekolah Menengah Swiss Cottage

Saya mendapati bengkel ini telah membantu saya dalam menulis sesebuah cerpen dan sesebuah karangan. Ini adalah kali pertama saya cuba menulis cerpen kerana saya hanya tahu menulis karangan yang lebih pendek daripada cerpen. Apa-apa yang Encik Iswardy bicarakan secara terperinci. Dengan semua butiran yang diberikan, saya berharap dapat membantu saya menghasilkan cerpen dengan lebih baik pada masa hadapan. Sebaik-baiknya Encik Iswardy telah mencetak salinan slaid 'powerpoint' untuk kami gunakan sebagai nota. Saya mendapati hal demikian adalah baik kerana kami dapat merujuknya semasa mengulang kajinya pada masa hadapan. Tetapi bersyukur kerana Encik Iswardy telah memberi kami bukunya yang berjudul 'Ombak Kosmopolitan' secara percuma dan dengan ditanda tangan beliau sekali.


09.
Nurul Halizah Suhaimi
Sekolah Menengah Fuhua

1. Terutama sekali, saya tahu cara-cara hendak munulis sebuah cerpen .

2. Cerpen sungguh berbeza daripada karangan. Sebuah cerpen lebih panjang daripada sebuah karangan tetapi ia lebih pendek daripada sebuah novel.

Komen-komen lain:-
Kekuatan bengkel ini : Encik Iswardy memberi kami sebuah buku koleksi cerpennya yang bertajuk Ombak Kosmopolitan untuk dibuat sebagai bahan untuknya mengajar kami. Ini ialah sebuah perkara yang ramai guru kami tidak lakukan.


10.
Insyirah Ali
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saya berasa amat gembira dan berasa untung kerana dapat menghadir bengkel ini. Saya telah mempelajari banyak perkara baharu yang saya tidak tahu sebelum ini. Cerpen adalah sebuah cerita pendek. Saya telah mempelajari bahawa dalam sesebuah cerpen, tatabahasa tidak begitu mustahak. Sebuah cerpen berbeza apabila dibandingkan dengan sebuah karangan. Saya telah mempelajari bahawa betapa pentingnya ayat pertama dan ayat terakhir apabila hendak menulis cerpen.Bukan mudah untuk menulis dan menghasilkan sebuah cerpen. Saya juga telah mempelajari bahawa sesebuah cerpen tidak seharusnya terlalu panjang dan berjela-jela. Dalam sebuah cerpen juga, terdapat sebuah plot yang padat.

Cikgu Iswardy telah banyak mencurahkan ilmunya kepada kami. Saya suka akan cara-cara beliau mengajar kami. Saya telah memperolehi banyak faedah daripada menghadiri bengkel penulisan cerpen ini.

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010 - 1.0

Di bawah ini, adalah sebahagian gambar-gambar yang dipetik sewaktu bengkel dua hari itu dijalankan, 15-16 Mac 2010.






Dalam siaran yang akan datang, maklum balas para pelajar akan dimuatkan bagi bahan rujukan pada masa hadapan.

Isnin, Mac 15, 2010

Bengkel Emas - Puisi & Cerpen 2010

Tarikh 15-16 Mac 2010, para pelajar saya, dari kelas Cikgu Ali Bujang dan para pelajara VS telah menghadiri bengkel penulisan pengenalan penulisan kreatif - puisi dan cerpen. Alhamdulillah, bengkel ini telah berjalan lancar dengan jayanya. Para peserta telah mengkuti bengkel penulisan puisi dan cerita pendek atau cerpen di bawah bimbingan Cik Rasiah Halil dan Encik Ismail Wardi atau dikenali dengan nama Iswardy.

Bagi para pelajar yang tidak dapat menghadiri bengkel tersebut, para peserta telah mempelajari beberapa ciri-ciri puisi tradisional iaitu pantun, syair dan puisi moden iaitu sajak. Para peserta juga mengenali proses penciptaan sebuah cerpen dengan unsur-unsur plot, watak dan perwatakan, ayat pertama dan ayat terakhir sesbuah cerpen yang menarik hati.

Setiap pelajar EMAS (termasuk pelajar-pelajar VS) dikehendaki menyiapkan beberapa buah puisi dan sebuah cerpen sebagai tugasan yang akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan dalam bentuk buku antologi.

Oleh itu, para pelajar yang tidak dapat hadir pada kedua-dua hari bengkel itu boleh merujuk pada bahan-bahan pengajaran yang saya pautkan di bawah ini untuk membantu mereka menyudahkan tugasan yang ditetapkan.

Di bawah ini, saya muatkan bahan-bahan yang dikongsi para pembimbing bersama-sama para peserta bengkel bagi rujukan anda pada masa-masa yang anda senangi.

Cerpen




Puisi
http://www.scribd.com/doc/28726888

Khamis, Mac 11, 2010

Gema Puisi Artistik - Takkan Melayu Hilang Di Dunia - 1.0

Saya masih ingat sewaktu mendapatkan persetujuan Cikgu Noormarlina untuk melatih semua pelajar menengah 2 bagi projek puisi ini.

Pengenalan saya lakukan dalam kelas-kelas bahasa bagi membuat para pelajar tersebut mengenali apa-apa yang dimaksudkan dengan puisi Melayu. Saya bertegas menyatakan bahawa puisi Melayu termasuk sajak, yang merupakan jenis puisi moden yang dipelopori oleh Allahyarham Masri SN dan Usman Awang di dalam dunia puisi Melayu daerah kita selepas perang dunia pertama.

Par pelajar itu saya kenalkan dengan bentuk puisi tradisional yang dipanggil pantun, syair, dan gurindam. Tersebutlah orang-orang seperti Raja Ali Haji, Munsyi Abdullah dan Zaaba yang masing-masing memberikan sumbangan yang besar dalam pelestarian puisi Melayu yang indah dan penuh dengan warnasarinya. Selain itu, saya minta para pelajar itu menulis apa-apa yang mereka faham melalui aktiviti pengenalan yang saya lakukan dalam kelas. Hasil tulisan kerja latihan mereka itu saya semak dan serahkan kepada Cikgu Noormarlina.

Daripada perbincangan dengan Cikgu Noormarlina, saya mendapat banyak input mengenai jenis puisi yang para pelajar itu akan saya ajar. Saya lalu mencari buku-buku yang ditulis oleh Pak Tenas Affendy. Daripada beberapa buah judul yang saya miliki, saya mendapati untuk mengisi tema 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia', saya memilih puisi-puisi yang menerangkan ciri-ciri tentang anak-anak remaja lelaki dan perempuan dalam masyarakat Melayu tradisional. Selain itu, saya juga dapat mengerti makna 12 jenis sahabat dalam perbendaharaan khazanah puisi Melayu kita dalam buku Ungkapan Tradisional Melayu Riau. Setelah mengenal pasti bahan-bahan itu, saya berbincang-bincang lagi dengan Cikgu Noormarlina, beserta dua orang rakan guru yang lainnya, Cikgu Senan Bin Long dan Cikgu Ali Bujang, yang bersetuju dan sama-sama menyokong usaha dan memberikan pandangan kepada saya untuk mengangkat bahan-bahan yang saya susun itu menjadi sebuah persembahan puisi secara artistik.

Setelah menukil bahagian-bahagian yang saya perlukan, saya garap dan sunting beberapa buah bahagian puisi-puisi tersebut di samping menyusun sendiri bahagian pengakhiran puisi yang bakal para pelajar itu sampaikan. Belum terlintas dalam benak saya pada saat-saat itu akan betapa gamaknya bentuk persembahan itu nanti.

Saya kembali beberapa kali dalam kelas-kelas Cikgu Noormarlina dan mengajarkan makna yang tersurat dan tersirat dalam puisi-puisi yang saya susun itu. Selain memahami makna secara harafiah, saya meminta para pelajar itu membuat perenungan peribadi mereka atau menuliskan apa-apa tanggapan yang mereka ada dalam apa-apa hal yang dikatakan sebagai anak remaja Melayu tradisional dan bandingkan dengan apa-apa yang mereka lihat dalam kehidupan mereka sendiri pada hari ini. Saya juga meminta mereka mencari makna setiap perkataan yang mereka tidak tahu dalam Kamus Dewan dan catatkan dalam kertas latihan untuk saya semak dan sesudah itu saya serahkan kepada Cikgu Noormarlina. Seperti anda semua maklum, ada sebilangan pelajar-pelajar itu tidak dapat menghayati apa-apa yang hendak saya utarakan untuk mendewasakan mereka dan setetntunya mereka memandang sepi akan latihan-latihan yang saya arahkan lalu tidak menyelesaikan tugasan mereka itu dengan sempurna. Ada ketikanya, saya terpaksa bertegas kepada mereka bahawa saya mahukan tugasan itu mereka sudahi dan dihantar untuk saya semak. Biasalah, ada seorang dua yang ungkal dan terus-terusan tidak mahu menghantar tugasan tersebut.

Dalam masa yang sama, saya dapat berkongsi pengalaman saya berdeklamasi puisi dengan memberikan tekanan pada nada, lontaran suara serta sebutan setiap perkataan dengan lenggok bahasa lisan Melayu yang saya faham. Saya maklum dengan penuh rendah hati, saya hanya tahu sedikit dan dengan bermodalkan yang sedikit itulah, saya menyarankan agar para pelajar itu meneliti serta menurut saranan-saranan yang saya buat itu. Saya tidak berputus asa walaupun saya sedar saya sedang berdepan dengan arus pemahaman yang kuat bahawa apa-apa yang mereka pelajari itu, mereka sangka tidak penting dan relevan dalam ujian akhir tahun dan juga peperiksaan GCE mereka kelak.

Tak kenal maka tak sayang/cinta. Oleh kerana saya kenal akan keindahan bahasa bangsa kita yang sungguh unik itu, saya cuba dan terus mencuba. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa-apa yang terbuku dalam hati saya. Terima kasih Cikgu-cikgu sekalian, rakan setugas saya yang saya hormati dan kasihi.

Kini, tinggal beberapa hari lagi sebelum tibanya hari peraduan. Saya tegaskan kepada kelapan-lapan orang pelajar yang akan membuat persembahan secara khusus, dan kepada rakan-rakan sedarjah mereka secara amnya, saya menujukkan mereka apa-apa yang saya kenal dan senangi - sedikit daripada timbunan khazanah puisi Melayu yang saya kenali, mungkin hanya sekelumit sahaja kerana ilmu Allah s.w.t. itu Maha Luas-Nya.

Saya bersyukur, walaupun agak perlahan, saya mendapati pelajar-pelajar itu mula menyenangi apa-apa yang mereka lakukan walaupun terdapat cabaran pada awalnya. Saya selalu menekankan betapa apa-apa yang mereka perolehi daripada apa-apa yang saya tunjukkan itu besar maknanya bagi saya dan saya berharap mereka tidak akan melupakan apa-apa yang mereka telah kecapi sejauh ini.

Wah, panjangnya cerita saya kali ini. Insya-Allah, saya akan menceritakan lagi masa-masa kami berlatih di dalam kelas, sewaktu hari raptai dan saat-saat sebelum hari persembahan, bagi saya secara peribadi tidak ada peraduan. Akan saya kongsi juga hasil-hasil tugasan yang disiapkan mereka. Nantilah.......

Sabtu, Mac 06, 2010

Nandung Senandung

Dalam lelaman ini, Cikgu Mohd Naim Daipi ada memuatkan sejumlah rakaman audio suara saya mendendangkan lagu-lagu kanak-kanak.

Terima kasih, Cikgu Naim. Budi baik Cikgu amat saya sanjung tingggi.

Untuk anak-anak murid dan rakan-rakan guru serta para ibu bapa, semoga bahan ini dapat anda manfaatkan.

Sila klik di bawah untuk ke lelaman yang terdapat rakaman audio suara saya ini.
http://www.saujana.sg/Wiyata/BahanPengajaran/NandungSenandung/tabid/3544/Default.aspx

Ini Cakerang Kita - 1.0

Minggu lalu, saya sudah edarkan salinan cerpen ini kepada semua pelajar HMT (BPGHS & VS) dan NA saya. Saya belum sempat berjumpa pelajar-pelajar NT saya. Saya telah keluar sekolah untuk menghantar pasukan-pasukan bola tampar (volleyball) sekolah ke pertandingan pada hari-hari yang saya sepatutnya masuk mengajar mereka.

Aktiviti 1
Semua pelajar itu saya minta membaca teks tersebut dan menyerlahkan perkataan-perkataan yang sukar yang terdapat daripada cerpen ICK.

Bagi pelajar HMT (BPGHS) saya minta mereka lanjutkan dengan hal-hal berikut.

Aktiviti 2
1. Mencari maklumat mengenai umang-umang dan siput laut. Apa-apa juga maklumat, daripada gambar-gambar, rakaman video atau sebarang maklumat yang boleh membantu pemahaman akan apa-apa yang dimaksudkan dengan umang-umang dan siput itu boleh mereka buat namun perlu mereka nyatakan sumber-sumber mereka mendapatkannya. ('Kesejahteraan Siber' saya telah tekankan di sini).

Aktiviti 3
2. Para pelajar perempuan diminta membuat sebuah buku kecil setiap orang dan menuliskan semula cerita dalam cerpen itu dalam jumlah perkataan yang saya tentukan (100 patah perkataan sahaja). Buku itu hendaklah mereka siapkan dan hiasi dengan sepatutnya. Saya tidak menentukan bentuk hasil buku yang saya mahukan.

Aktiviti 4
3. Para pelajar lelaki pula, saya minta mereka buat gambar umang-umang dan siput laut, satu setiap orang. Saya mahu mereka buat papet tangan daripada gambar-gambar yang yang mereka siapkan nanti. Mereka juga perlu menulis semula cerita itu dengan menggunakan 100 patah perkataan.

Aktiviti 5
Bagi para pelajar HMT (VS) saya pula, mereka membuat aktiviti lanjutan berikut.

1. Senaraikan semua perkataan yang telah mereka serlahkan dan cari makna setiap satunya dengan:
a. menggunakan kamus-online Dewan Bahasa dan Pustaka.
b. menggunakan buku kamus.

Saya telah menerangkan cara-cara hasil kerja yang saya mahu mereka buat.

Pada kesempatan akan datang, saya akan menggunakan kaedah membaca secara berteater dan juga membaca nyaring. Kedua-dua aktiviti ini nanti akan saya rakam dan dibuat penilaian selain menggulung pembacaan teks dan dalam perbincangan teks pada masa-masa akan datang.

Kertas latihan Imbuhan (3 buah latihan)
http://www.scribd.com/doc/28745939/Latihan-Imbuhan

Cadangan
Bagi saya, guru-guru boleh memulakan mana-mana aktiviti membaca selain yang saya cadangkan di atas. Murid-murid itu akan menjawab soalan-soalan yang sudah saya sediakan secara lisan atau menulis, menurut pilihan mereka sendiri. Semua bahan tulisan yang mereka hasilkan perlu dihantar bagi saya menilainya.

Rabu, Mac 03, 2010

Gema Puisi Artistik - Takkan Melayu Hilang Di Dunia

Puisi ini diangkat daripada khazanah bangsa dan saya susun untuk dibuat persembahan puisi berteater - dibacakan dengan sedikit pergrakan seni.

Puisi di bawah ini telah saya susun khas untuk anak-anak didik di kelas-kelas menengah 2 Cikgu Noormarlina bawakan. Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana membenarkan saya dalam ruang masa yang sedikit untuk berlatih dalam memahami serta menghayati puisi mudah ini. Saya bersyukur anak-anak itu berjaya membina pemahaman dan penghayatan terhadap puisi itu dalam masa yang begitu suntuk. Namun, dalam kesempitan, ada kelapangan dan saya diberi sokongan kuat dengan kegigihan anak-anak murid ini. Memanglah, pada mulanya, mereka agak janggal dan tidak tahu apa-apa. Setelah menjalani latihan untuk beberapa waktu yang singkat, saya yakin, mereka mampu membuatnya dengan baik. Semoga setiap waktu dan kata-kata yang mereka harungi dan telahi akan membawa pengertian yang besar pada masa-masa mendatang dalam diri semua yang terlibat secara langsung atau tidak.

Saya akan berkongsi pelbagai aspek pembinaan persembahan ini daripada pemkanaan serta penegasan sewaktu menatar anak-anak ini hinggalah pada hari pertandingan yang akan berlangsung pada 13 Mac 2010.

Saya amat senang dengan pengalaman yang banyak maknanya dalam diri saya secara peribadi sebagai seorang guru ini.

Terima kasih, Cikgu Noormarlina.

Terima kasih anak-anak.


Puisi Ciri-ciri Sahabat

Perempuan:
Budak jantan pandai melangkah
Pandai bercakap satu dua
Elok bermain di tengah rumah
Elok bermain di laman rumah
Sedang membesar
Kalau berjalan melangkah turun
Langkah diatur tujuh langkah
Ditengok ada di rumah
Dihimbau ada menyahut
Tidak bertingkah lebuh panjang
Tidak bersilang perjalanan
Tidak kalah di tengah gelanggang
Tanda dijemput dihantarkan
Tanda berpergi ‘kan berbalik
Tanda berpinjam dipulangkan

Lelaki:

Budak perempuan baru melangkah
Baru bercakap sepatah dua
Kaki diberi gelang kaki
Gelang bergenda bergiring-giring
Leher diberi rantai halus
Rantai tempat tangkal azimat
Telinga sudah ditindik dabung
Tindik dipasang anting-anting
Tangan diberi gelang selingkar
Gelang kecil belah rotan
Gelang dibuat main-mainan
Gadis sunti beranjak naik
Beranjak seri ke muka
Cantik berseri eloknya ada
Suaranya lemah-lemah lembut
Lenggangnya bagai goyang dahan
Langkah bagai dibilang-bilang

Macam-Macam Sahabat

Perempuan:

Pertama sahabat sejati

Amirah:

Kawan semangkuk sepiring makan
Kawan sebantal seketiduran
Kawan sebaya sepermainan
Bagai kuku dengan daging
Bagai aur dengan tebing
Bagai ikan dengan air
Bagai jarum dengan kelindan
Ke hulu sama ke hulu
Ke hilir sama menghilir
Satu sakit dua terasa
Yang tahan asak dengan banding
Yang tahan berpahit-pahit
Kalau koyak tampal-menampal
Kalau condong sokong-menyokong

Ramai:

Terbakar sama hangus
Terendam sama basah
Luka tidak dipampas
Mati tidak diungkit
Sakit tidak disebut
Salah tidak ditimbang
Hutang tidak dibayar
Bagai seibu seayah kandung
Bagai simpai sepenjalinan
Bagai kulit dengan isi
Bagai lukah dalam air

Amirah:

Itulah kawan yang dicari
Kawan sempit kawan berlapang
Gentingnya tidak memutus
Simpul tidak terungkai lagi.

Perempuan:

Kedua sahabat sama tinggi

Ryan:

Kasihnya berbatas-batas
Sayangnya berhingga-hingga

Ada buah sama menjolok
Buah habis galah dibuang.

Perempuan:

Ketiga sahabat kambing bujang

Asyiqin:

Kalau tidur sama sekandang
Kalau makan ke tengah padang
Kalau berbini tanduk-menanduk
Beradu kuat dengan keras
Lupa kandang
Lupa padang.

Perempuan:

Keempat sahabat cerdik buruk

Fyraz:

Yang bodoh dibodoh-bodohkan
Yang penakut dipelesi
Cerdiknya cerdik mengena
Piuh kacang hendak memanjat
Piuh jering hendak berisi
Piuh pilin mengeringkan.

Perempuan:

Kelima sahabat injab lukah

Ramai:

Dari muka bermanis-manis
Kalau masuk badan terkurung.

Perempuan:

Keenam sahabat anak harimau

Irfan:

Selagi kuku belum tumbuh
Selagi taring belum menyorong
Dapat dibawa bermain-main
Kalau kuku sudah runcing
Kalau taring sudah menyiung
Kulit tebal dicakarnya
Kepala keras dikerkahnya.

Perempuan:

Ketujuh sahabat burung tiung

Putra Danish:

Begitu orang begitu awak
Tak tahu untung sendiri

Perempuan:

Kedelapan sahabat kukur

Putra Danish:

Karutnya karut mengena
Soraknya sorak berisi
Kelapa jua yang binasa
Bagai durian dengan mentimun
Bagai kain buruk dengan onak
Siapa datang siapa kena.

Perempuan:

Kesembilan sahabat burung hinggap

Putra Syafiq & Haziq:

dahan dibuat tempat tidur
Hari siang dahan diberak
Terbang tidak berbalik lagi.

Perempuan:

Kesepuluh sahabat hulu keris

Putra Syafiq & Haziq:

Bagai hulu keris dengan matanya
Hulu molek ukir-berukir
Ditengok dipegang orang
Tuah terletak di matanya juga.

Perempuan:

Kesebelas sahabat sarung keris
Sarung pelindung mata keris
Tempat diam tempat berteduh
Luarnya tatah-bertatah

Dalamnya luka-lukaan
Sekali keris dicabut
Sekali sarung teriris
Sekali keris disarung
Sekali sarung tersayat

Lelaki:

Kedua belas sahabat umpan kail
Yang sedia bertungkus-lumus
Yang sedia membuang nyawa
Yang tak menyebut-nyebut jasa
Awak binasa orang senang
Kail juga yang disebut orang

Perempuan:

Kita berbicara kita bercerita

Lelaki:

Kita bersenda bersuka ria

Perempuan:

Macam-macam jenis sahabat

Lelaki:

Menurut cerita orang tua-tua

Perempuan:

Buat renungan kita semua

Ramai:

Oleh itu ayuhai teman
Pilih-pilih dalam bersahabat
Teman ketawa senang dicari
Teman menangis diri sendiri
Fikir-fikirlah

H A B I S



Setentunya, ada pelbagai latihan bahasa dibuat para pelajar Cikgu Noormarlina daripada pembelajaran bahasa, dan penulisan termasuk latihan pemahaman dengan bimbingan guru. Saya akan berkongsi apa-apa yang dihasilkan oleh semua pelajar itu dalam paparan yang akan datang.