Rabu, Januari 30, 2008

Bahan Buat Karangan Naratif

Bahan yang saya paparkan di bawah ini merupakan sumbangan Cikgu Senan Bin Long. Beliau membenarkan saya berkongsi dengan anda semua. Semoga ada manfaatnya.

Situasi Mencemaskan

1 jantungku berdegap-degup
2 jantungku berdenyut cepat
3 jantungku bagaikan hendak putus
4 hatiku berdebar-debar
5 hatiku sungguh tidak tenteram
6 perasaanku tidak menentu
7 perasaanku gundah-gulana
8 darahku mengalir dengan cepat
9 terasa darah adrenalina mengalir ke seluruh tubuhku
10 mataku terbeliak / terbuka besar


Situasi Menyedihkan

1 air mata jatuh berlinangan
2 air mata mula bergenangan di kelopak mataku
3 sebak di dada dapat aku rasakan
4 sungguh hiba / sayu mengenangkan nasib itu
5 aku hanya mampu mengetap bibir
6 betapa pilu hatiku ini
7 tangisanku tidak terkawal / tidak dapat dikawal
8 rintihan batinku Tuhan yang tahu
9 meraung-raung tangisannya
10 terharu sungguh perasaanku


Situasi Mengecewakan

1 harapan musnah sama sekali
2 harapan hancur berkecai
3 masa depannya kian pudar
4 hatiku retak seribu
5 hatiku remuk redam
6 menyesal sungguh aku rasakan
7 tidak berguna sesen pun
8 aku menangis tidak berlagu
9 aku mula menyumpah saranah di dalam hati
10 tidak aku duga selama ini



Situasi Menggembirakan

1 dapatlah aku berhibur hati
2 dunia ini aku yang punya
3 gembira di hati tidak terkata
4 perasaan riang ria menyelubungi diriku
5 ketawa berdekah-dekah
6 mula mengukir senyuman lebar
7 aku terlonjak-lonjak kegirangan
8 suka sekali aku melihatnya
9 tidak terkata riangnya / gembiranya
10 kasih sungguh perhubungan itu


Situasi Mengimbas Semula / Mengenangkan Kembali

1 mesra sungguh saat itu
2 belaian kasih penuh manja
3 terkenang akan masa-masa bahagia
4 tawanya begitu memikat
5 kata-katanya menyentuh jiwa
6 apakan daya, nasi sudah menjadi bubur
7 tidak ada apa yang boleh menahannya, sudah terlanjur
8 bergelumang penuh dengan dosa
9 sejahat-jahat syaitan, tidak sejahatnya
10 mual sungguh tekak aku mengenangkannya


Situasi Menggeramkan

1 benci aku melihatnya
2 inginku tumbuk sahaja mukanya
3 kalaulah dapat aku meludahnya
4 macam hendak aku picit-picit badannya ibarat memicit bayi
5 rasanya hendak aku sepak / tampar pipinya
6 sedap betul kalau dapat memijak badannya
7 hendak aku siat-siat kulitnya
8 kalaulah dapat dikeroyok ramai-ramai, alangkah baiknya
9 tidak sabar hendak menunggu, rasanya mahu serang sahaja
10 terimalah nanti padahnya


Situasi Melegakan

1 aku menghela nafas panjang
2 barulah dapat aku menghirup udara nyaman
3 rasanya lapang di dada
4 kini ringan keadaanku
5 lapang benar saat ini
6 tenteram sungguh hati ini
7 fikiranku mula aman
8 hembusan nafas tanda lega
9 keadaan kembali seperti sedia kala
10 perasaanku tenang, setenang-tenang air laut


Situasi Tidak Menentu

1 makan banyak, kenyang tidak
2 di luar cuaca sejuk, di bilik panas pula
3 hujan panas diikuti sambaran halilintar
4 buat ini tidak kena, buat itu pun tidak kena
5 ombak mengganas tidak tentu pasal
6 melakukan sesuatu, tetapi asyik salah sahaja
7 badan terasa seram sejuk
8 asyik tergigit lidah sahaja
9 ke hulu, ke hilir tanpa tujuan
10 cakap salah, tidak cakap pun salah


Situasi Kesyukuran

1 mujurlah bantuan datang dengan cepat
2 nasib baik tidak teruk sangat
3 tanpa diduga, pertolongan dating segera
4 tidak disangka-sangka, kami berjaya diselamatkan
5 tidak semena-mena, bantuan datang dari segenap penjuru
6 tiba-tiba keadaan yang genting itu dapat diatasi / diredakan
7 siapa sangka kami masih dapat hidup lagi
8 kami / aku hanya mampu bersujud sebagai tanda mengakui KeMaha
Besarannya
9 aku mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih / syukur ke hadrat Ilahi /
Tuhan
10 segala puji kepada Tuhan yang mengetahui segala-galanya


Situasi Keheningan Alam

1 angin bertiup sepoi-sepoi bahasa
2 desiran ombak memukul pantai
3 burung-burung berkicau riang di angkasa
4 dedaun pokok saling bergeseran
5 bayu bertiup lembut
6 udara segar dan nyaman
7 sang suria / mentari tenggelam di ufuk barat
8 bulan mengambang penuh memikat
9 air sungai mengalir tenang
10 samudera / lautan tenang terhampar luas

Piramid Diodrama - Men.1HMT

http://myfreefilehosting.com/f/3fff49d615_0.03MB

Rabu, Januari 23, 2008

Kit Bahasa Melayu Saya 3

Kamus Dewan

*** Kamus Dewan Edisi Keempat ***



*** Kamus Dewan Edisi Ketiga ***



Kali ini, saya akan membincangkan perihal Kamus Dewan dalam Kit Bahasa Melayu. Semoga catatan ringkas di bawah ini memberikan anda pemahaman betapa salah satu usaha untuk anda meningkatkan penguasaan bahasa Melayu anda ialah dengan memiliki sesebuah kamus dan mahir menggunakannya. Kamus Dewan disenaraikan sebagai bahan rujukan untuk anda gunakan dalam ujian nasional beberapa tahun lalu.

Kamus ini pertama kali diterbitkan dalam tahun 1970. Editornya bernama Dr. Teuku Iskandar. Edisi pertama Kamus Dewan ini dijadikan panduan dan pedoman untuk menggali kekayaan kosa kata Melayu dan merupakan terbitan yang terlaris pada tahun 1991 dan 1992. Menurut Ibrahim Ahmad, “… pengguna kamus memilikinya untuk tujuan yang tertentu, seperti untuk menyertai teka kata dan uji akal anjuran media massa tempatan.” (Ibrahim Ahmad, 2002). Kamus ini kemudian diterbitkan dalam edisi baru “… sebagai suatu usaha akademik yang dibina secara beransur-ansur.” Pembaharuan ini dibuat sejajar dengan kepesatan yang hebat dalam dunia keilmuan. Perkembangan kebahasaan menampakkan peningkatannya dari segi pembakuan ejaan, pembentukan perkataan baru, ayat-ayat, dan sebagainya. Terbitnya data-data baru yang dikumpulkan secara manual dan berbantukan komputer. Penyemakan Kamus Dewan dilakukan hingga terbitnya Kamus Dewan Edisi Keempat.

Para penyusun Kamus Dewan edisi semakan daripada terbitan tahun 1970 membuat perubahan signifikan, selain sejajar dengan perkembangan Ejaan Rumi Baru. Beberapa penambahan dan penyemakan utama dari segi kepersisan fakta, takrif, dan seumpamanya dibuat semata-mata untuk memenuhi keperluan pengguna kamus semasa. Pada tahun 1989, usaha penyemakan entri baharu dibuat supaya dapat menampung ledakan pelbagai kosa kata baharu sepanjang tempoh 1984-1988. Sehingga kini, Kamus Dewan terus dikemaskinikan. Kamus Dewan merupakan dokumentasi kosa kata bahasa Melayu secara lengkap dan menjadi rujukan penting dalam bidang kebahasaan serta diharapkan dapat memenuhi aspirasi bangsa dalam usaha pembinaan, pengembangan, dan pembakuan bahasa Melayu. Oleh itu, setiap kata, frasa, dan ungkapan baharu yang tercipta dalam pelbagai bidang ilmu sepanjang masa dikumpulkan. Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, dibuat pengemaskinian aspek pembentukan kata (morfologi) kata pinjaman, aspek homonim (perkataan yg sama bunyi atau ejaannya dgn perkataan lain tetapi berbeza maknanya) dan polisemi (sesuatu bentuk kata, ungkapan, dsb yg mempunyai lebih drpd satu makna yg bertalian rapat antara satu sama lain), tanda baca, nama saintifik untuk haiwan dan tumbuhan, dialek Melayu dan tambahan entri baru.

Dari segi pengekodan bahasa pula, Kamus Dewan tetap mendapat sambutan seperti kamus-kamus yang lain.

Kamus digunakan sebagai buku rujukan yang mengandungi kata daripada bahasa Melayu, yang disusun menurut abjad, diberi makna dan keterangan lain yang berkaitan. Kamus Dewan memberikan penjelasan makna secara tepat dan tuntas kepada pengguna menurut konteks penggunaan sesepatah perkataan.

Saya menganjurkan anda sebagai pemilik dan pengguna Kamus Dewan, sama ada edisi ketiga atau edisi keempat, adalah penting anda memiliki juga kemahiran menggunakan kamus. Semak dan teliti bahagian Panduan Penggunaan Kamus untuk memastikan bahawa anda memanfaatkan kelebihan kamus yang anda miliki itu.

Kamus Dewan bukan hanya menyenaraikan perkataan dan maknanya, malah merupakan dokumen bahasa Melayu yang komprehensif, iaitu yang luas liputannya dan lengkap atau banyak butiran dll yg terkandung di dalamnya dan tuntas.

Semoga catatan ringkas saya ini memnyutik semangat baru dalam anda mencari ikhtiar mencipta kejayaan dalam pelajaran anda.

Salam Bahasa.

rujukan
1. Kamus Dewan, edisi keempat, 2004. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Ibrahim Ahmad, 2002. Perkamusan Melayu Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pemahaman Men. 1HMT - BK1A/1-3

Berdasarkan kaedah KWL dan Thinking-Aloud, saya ada membincangkan sebab-musabab anda semua perlu mengaitkan pengalaman dan pengetahuan anda yang lalu dengan meneliti gambar dalam teks. Daripada perbincangan itu, ada kekata internet, maklumat, emel terbit dan saya catatkan di papan putih. Ini adalah bahagian K(Know - Tahu).

Saya lanjutkan dengan menggerakkan W(What - Apa) dengan memberikan anda peluang membina makna dan sebab-musabab atau apa-apa yang mungkin anda akan pelajari dalam teks. Saya membenarkan anda semua meninjau kelima-lima soalan latihan yang menuruti teks yang akan dibaca itu. Saya arahkan anda menomborkan setiap perenggan sebelum memulakan pembacaan bersama-sama.

Langkah berikutnya, saya menyuruh anda melihat sepintas lalu dan mencari apakah yang terpantul secara kerap dalam teks itu. Daripada langkah itu, nama Suhailah dan Hamidah terdapat dengan kerap dalam petikan. Saya lalu mengarahkan anda melihat papan tanda dan membuat bulatan pada nama watak Suhailah. Saya meminta anda membuat ketetapan sama ada nama Suhailah itu yang akan kita bincangkan. Kemudian, saya membuat tujuh anak panah dengan menombor setiap satu untuk melambangkan nombor perenggan.

Berdasarkan nombor itu, anda semua membaca perenggan 1 hingga 7 tahap demi tahap dengan menurut arahan yang saya berikan. Setiap kali selesai pembacaan setiap perenggan, saya membuat anda bersama-sama memikirkan dan menetapkan apa-apa inti penting dalam setiap hubungan maklumat dengan menggunakan sawang dan ranting peta minda. Setiap kali selesai bahagian setiap perenggan, saya akan bersama-sama anda membuat ayat-ayat sendiri berdasarkan maklumat yang tercatat pada setiap ranting sawang peta minda itu. Saya menegaskan bahawa ayat-ayat itu hendaklah mudah dengan subjek dan predikatnya yang jelas. Penggunaan kata yang bersinonim dengan ayat-ayat ringkas amat membantu anda dalam memahami teks. Berdasarkan semua maklumat, saya dan anda bersama-sama membina ayat-ayat sendiri secara lisan setiap perenggan yang dibina.

Setelah selesai bahagian langkah membaca dan merangkaikan peta minda dengan kaedah Thinking-Aloud, saya meminta anda membina sebaris ayat mengenai apa-apa yang anda fahami secara keseluruhan teks. Anda bersetuju bahawa teks itu mengenai apa-apa yang tercetus dalam emel yang dihantar Hamidah kepada Suhaila mengenai pengalaman baru mereka di tempat yang baru. Hamidah menceritakan pengalaman tinggal di luar negara sementara Suhaila menceritakan pengalaman belajar di sekolah yang baru.

Daripada langkah itu, anda saya minta menjelaskan bahagian L(Learned - Pelajari) kaedah KWL tersebut. Anda bersetuju Suhaila dan Hamidah masih berutus khabar melalui emel.

Sebelum menggerakan anda membuat latihan pemahaman, saya minta anda meneliti soalan-soalan itu dan mengarahkan anda menggariskan frasa-frasa soalan yang harus anda salin dalam jawapan setiap soalan. Saya ada membiincangkan bahawa berdasarkan kemahuan soalan, banyak maklumat di dalam perenggan perlu disaring dan disusun semula sebelum anda dapat menjawab soalan-soalan itu. Semua kata tanya ada padanan kata hubung dan penanda dalam anda merangkai maklumat dalam teks untuk dicantum pada frasa soalan yag akan disalin sebagai jawapan pada latihan anda itu.

Daripada kesemua langkah yang kita jalankan, saya menegaskan perlunya anda memahami setiap perenggan beserta isi-isinya. Setiap isi dan contoh akan dapat diperolehi dengan begitu jelas apabila isi-isi itu disusun dalam peta minda yang kemas.

Bagi saya, hal sedemikian dapat membantu anda menyusun maklumat dalam teks dan memberikan makna yang jelas apa-apa yang anda baca. Secara sedar, anda sudah saya gerakkan membina pemahaman dan melakukan peringkasan semua idea dalam petikan, melalui ayat-ayat yang kita bina secara lisan bersama-sama. Saya akan menjalankan kaedah ini dalam beberapa buah sesi pengajaran saya yang akan datang. Semoga anda semua mendapat manfaat yang besar daripadanya.

Penulisan Karangan Naratif - Men. 3HMT

Waktu 1 – Rabu, 16.1.2008
Berdasarkan petikan laporan atau rencana dalam akhbar, anda diarahkan memilih salah satu bahan orang yang dipaparkan untuk membina watak dalam sebuah karangan naratif.

Dalam Borang Penulisan Watak A, anda diminta pula mengisikan mengenai watak pilihan anda itu dengan mengisi kesukaan dan kebenciannya; matlamat hidupnya dan bentuk usaha watak anda itu dalam mencapai matlamat dan harapannya dalam hidup.

Dalam Borang Penulisan Watak B, anda diminta menyenaraikan beberapa watak sampingan selain watak utama dan usaha watak-watak tersebut. Anda disarankan memperlihatkan cabaran yang dihadapi watak dan usahanya menempuhi cabaran hidupnya dan akhirnya mencipta kejayaan.

Dalam borang plot anda diminta menjalurkan cerita dari mula hingga akhir dengan mengisi kotak-kota jalinan peristiwa yang signifikan. And diminta membuat lakaran komik mudah; enam petak dengan sedikit penerangan peristiwa yang dilakar.

Tujuan keempat-empat bahan itu adalah untuk menyusun idea anda dalam menjalinkan cerita yang akan anda hasilkan. Anda boleh melakukan mana-mana perubahan yang anda fikirkan perlu sewaktu menuliskan karangan.


Waktu 2 – Khamis, 17.1.2008
Anda menulis karangan anda berdasarkan keempat-empat borang yang anda telah isikan. Sepatutnya, dalam tahap penulisan ini anda sudah dapat menggarap idea yang kental mengenai pengisahan anda itu. Saya membenarkan anda menanyakan sebarang soalan sewaktu anda menulis. Soalan-soalan itu hendaklah sejajar dengan cerita yang anda sedang hasilkan.

Daripada pengamatan saya, beberapa orang rakan-rakan anda saya tegur kerana tidak melengkapkan keempat-empat orang itu. Oleh sebab tidak menyudahkan semua langkah dalam Waktu 1, saya pasti mereka sukar menulis. Oleh itu, saya mengarahkan mereka menyudahkan keempat-empat borang itu. Sesudah itu mereka dibenarkan menuliskan cerita dalam karangan mereka itu.


Waktu 3 – Jumaat, 18.1.2008
Karangan draf pertama anda seharusnya sudah selesai dibuat. Saya meminta anda menyemaknya semula setelah saya menerangkan beberapa kesilapan yang anda lakukan dalam membuat tugasan menulis karangan sebelum ini.

Saya meminta anda memikirkan ketepatan ayat yang anda gunakan usah terlalu panjang dan sarat dengan maklumat. Sekurang-kurangnya ada dua frasa yang mendukung satu idea dalam ayat anda itu. Jika idea itu masih memerlukan beberapa maklumat untuk memberikan kejelasan, saya menyarankan anda menggunakan ayat yang lain, dengan menurut formula satu idea dengan sebanyak dua frasa. Suasana atau ‘mood’ cerita nada hendaklah menggunakan ayat-ayat yang persis untuk membangkitkan pemahaman pembaca untuk terus membaca karangan anda hingga habis.

Antaranya, persoalan kepersisan perkataan, saya menyarankan anda menilai semula setiap perkataan yang anda gunakan sama ada sesuai atau tidak. Saya minta anda menilai sendiri sama ada menangis teresak-esak atau meraung sesuai untuk menerangkan kesedihan yang anda hadapi dalam sesebuah peritiwa yang mengerikan hingga meyebabkan kematian.

Saya juga menyarankan agar anda menyemak ejaan perkataan yang anda gunakan. Adakah gulungan atau golongan yang anda gunakan. Adakah ejaan yang bentul bagi kekata ‘banya’ yang menerima imbuhan ‘ke-…-an’ atau adakah terdapat imbuhan ‘ke-…-kan’? Tidak ada imbuhan ‘ke-…-kan’, yang hanya ada ‘ke-…-an’. Oleh itu, ‘kebanyakkan’ adalah salah dan bentuk yang betul adalah ‘kebanyakan’. Saya menganjurkan anda merujuk Kamus Dewan bagi menyemak ejaan anda itu. Bagi istilah sains dan perdagangan, anda juga saya minta merujuk Kamus Inggeris-Melayu Dewan.

Saya juga menerangkan bahawa penggunaan bentuk ‘bersama’ dan ‘bersama-sama’ usah anda kelirukan. Saya juga mengingatkan penggunaan kata ‘atas’ yang bersifat ‘kata sendi’ dan juga bersifat ‘kata tempat’.

Saya juga meminta anda memikirkan sama ada pengunaan kata-kata yang terdapat dalam kamus itu setara dengan pertuturan watak yang anda ciptakan dalam karangan tersebut.

Sesudah anda menyelesaikan draf karangan anda itu, saya minta anda memberikan rakan anda menukar karangan dengan anda untuk disemak. Saya mahu rakan anda memberikan responsnya setelah membaca karangan anda dengan menuliskan nota ringkas dengan menggunakan pensel pada bahagian akhir karangan anda itu. Saya menganjurkan anda menimbangkan saranan yang terdapat dalam respons rakan anda itu sewaktu anda menulis semula karangan anda itu.

Yang penting dalam anda dalam menjalankan langkah-langkah penulisan dalam Waktu 1, Waktu 2 dan Waktu 3 ini, anda mengesan betapa pentingnya anda mengutarakan idea yang sesuai dalam menjalinkan setiap peristiwa dalam karangan anda jenis ini.

Saya berharap anda dapat memahami bahawa jalan cerita yang mudah dan jelas dengan gaya penceritaan yang sesuai lagi menarik dapat meningkatkan mutu penulisan anda itu.

Saya juga meminta anda menggurat perasaan pembaca dan memastikan ada kesan-kesan yang terpahat dalam hati pembaca (yang menyenangkan setentunya) setelah selesai membaca karangan anda itu.

Demikianlah penjelasan bagi setiap langkah anda menghasilkan karangan dalam darjah yang saya sarankan. Semoga besar manfaatnya bagi anda pada masa hadapan, dalam menjawab soalan peperiksaan dan juga untuk anda membuat karangan kreatif.

Kit Bahasa Melayu Saya 2

Tatabahasa Dewan

Bahan Pendamping Tatabahasa Dewan



Tatabahasa Dewan
Tatabahasa Dewan (TB) akan saya bincangkan secara ringkas sebagai bahan dalam Kit Bahasa Melayu saya kali ini.

TB merupakan salah satu usaha pengekodan bahasa yang amat penting dalam pembinaan bahasa baku. TB diterbitkan untuk menjadi bahan rujukan dalam bidang tatabahasa bahasa Melayu bagi para pelajar semua peringkat dan masyarakat umum.

TB disusun dalam tiga komponen, iaitu bab pengenalan yang memerikan sejarah ringkas Bahasa Melayu dan variasi bahasa Melayu. Komponen kedua pula mengandungi tujuh belas bab yang meliputi bidang perkataan dan pembentukan perkataan (morfologi), dan juga bidang sintaksis, iaitu ayat.

Perbincangan tatabahasa dimulakan dengan bidang perkataan dan pembentukannya (morfologi), yang diluaskan dengan bentuk-bentuk frasa dan klausa, dan dilanjutkan dengan topik khusus dalam bidang ayat (sintaksis). Setiap bahagian itu pula dimulakan dengan bab pengenalan.

Jika diteliti daripada halaman kandungan, terdapat sejumlah 19 bab termasuk halaman glosari istilah dan senarai imbuhan dalam bahasa Melayu.

TB membincangkan huraian tatabahasa dan analisis tatabahasa dalam setiap bab dan topik yang diutarakan. Tujuan penerbitan TB adalah untuk menyediakan satu huraian terhadap bahasa Melayu yang dapat digunakan sebagai sumber rujukan pengguna, murid sekolah dan penutur bahasa Melayu. Selain itu, TB juga diharapkan dapat dijadikan pegangan untuk para pengguna dalam mencari huraian tatabahasa dan persoalan tentang struktur dan binaan tatabahasa bahasa Melayu yang selalunya didapati banyak kerumitannya kerana tidak difahami dengan jitu. Buku ini merupakan buku deskriptif (memberikan keterangan yang bertujuan untuk menyampaikan gambaran mental tentang sesuatu yg dialami) dan buku preskriptif (bersifat menentukan atau panduan) tentang tatabahasa bahasa Melayu. TB juga mengambil kira pemerian tatabahasa bahasa Melayu yang merujuk pada bahan yang ditulis sama ada dalam bahan yang dihasilkan di Malaysia dan di Indonesia.

Bahasa Melayu masih berkembang dan bersifat dinamis. Ada banyak perubahan yang bersifat positif dan tidak kurang pula yang bersifat negatif. Oleh itu, TB diterbitkan dengan menggalakkan semua bentuk perkembangan yang bersifat positif. Pernyataan tegas diberikan bagi bentuk-bentuk perkembangan yang negatif, terutamanya dalam aspek pembentukan istilah untuk memenuhi keperluan-keperluan semasa dalam setiap cakupan semua bidang ilmu.

Sejauh ini, buku ini dapat memperincikan banyak hal tentang tatabahasa bahasa Melayu. Walaupun perkembangan bahasa begitu pesat berlaku, pelbagai penegasan tentang penggunaan yang telah mantap dapat dibincangkan dalam TB. TB menjadi salah satu rujukan bagi ramai pengguna bahasa Melayu.

Menurut pengamatan saya, aspek imbuhan dan pembentukan kata termasuk membina ayat merupakan hal yang menjadi cabaran besar setiap pelajar tatabahasa bahasa Melayu. Oleh itu, salah satu bahan rujukan yang para pelajar boleh gunakan untuk meningkatkan penguasaan tatabahasa bahasa Melayu dengan merujuk TB. Sememangnya, anda perlu bantuan guru dan orang-orang bijak pandai dan memahami selok-belok tatabahasa bahasa Melayu yang baku.

Dua buah buku yang saya dapati boleh digunakan bersama-sama TB adalah buku susunan Abdullah Hassan yang berjudul Tatabahasa Pedagogi Bahasa Melayu terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd (1993), dan buku usaha sama Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. yang berjudul Tatabahasa Dinamika, juga terbitan Utusan Publications and Distributors (1994).

Semoga catatan ringkas ini akan merangsang anda meneruskan usaha untuk mencipta kejayaan dalam pelajaran anda.

Salam Bahasa.


rujukan
Nik Safiah, et. al, 2004. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jumaat, Januari 18, 2008

Tarian Mak Inang Cina - 17.1.2008 - Program EMAS

Alhamdulillah, saya berasa sungguh bahagia kerana dapat menggerakkan kumpulan tarian ini dengan membina konsep dan jalur cerita bagi tarian berirama tradisional ini. Catatan ini sekadar mengingatkan semua langkah yang dijalan dalam membina konsep tarian and jalur ceritanya.

Projek tarian ini dibuat untuk persembahan pada sambutan Tahun Baru Cina pada 6 Februari 2008 di auditorium Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Konsepnya secara khusus melambangkan perihat keriangan dan keanggunan dalam meraikan sebuah perayaan.

Sinopsis - Sebuah tarian yang memamerkan perasaan gembira anak-anak gadis ketika menyambut sesebuah perayaan. Pergerakan irama dan rentah beserta lenggangan tangan dengan langkah Melayu dengan diselang-selikan hayunan dan lentikan jari, meniru gaya tarian Cina yang mudah.

Konsep pergerakan meliputi tarian adalah seperti berikut:
A. menggayakan pakaian baru
B. menyampaikan ucapan selamat
C. berkunjung-kunjungan
D. membuat kuih-muih perayaan


Pergerakan dan langkah menghiasi iringan lagu tarian yang mengandungi bahagian-bahagian berikut:

Intro(Mula) – Biola
Rangkap 1 – Biola (A) -V
Rangkap 2 – Biola (D) - V
Selingan – Akordion (C)
Rangkap 3 – Akordion (B) – Oo0
Rangkap 4 – Akordion (C) - Oo0
Rangkap 5- Biola (C) - / /
Rangkap 6 – Biola (B) - / /
Akhir – Akordion - ______


Bentuk-bentuk Tarian yang akan digerakkan:
- bulatan
- menyilang
- segi tiga
- sebaris
- berbaris-baris


Respons pelajar yang bersama-sama membina konsep dan bentuk tarian adalah seperti berikut:
- setiap pergerakan harian boleh diubah dan digayakan menjadi gerakan tarian
- setiap pergerakan yang dibuat ada maknanya yang tersendiri
- ada erti-erti halus dalam setiap gerakan tarian Melayu
- setiap tarian sebaik-baiknya mempunyai jalan cerita

Latihan akan dijalankan dengan para pelajar sendiri menentukan setiap gaya dan pergerakan dengan panduan yang saya berikan.

Saya berharap projek ini akan berjaya dan para pesertanya akan memerolehi manfaat yang banyak daripadanya.

Berikut merupakan paparan beberapa aktiviti sesi yang diadakan pada tarikh tersebut.







Irama Mak Inang Cina
http://myfreefilehosting.com/f/f6bd933559_31.69MB

Rabu, Januari 16, 2008

Men. 1HMT - Kata Ganti Nama Diri 15.1.2008

Semoga semua perbincangan dan aktiviti yang saya jalankan anda dapat manfaat daripadanya. Sebagai peringatan, saya ada menyuruh anda melakukan aktiviti mengisi tempat kosong untuk menguji pemahaman kata ganti diri yang sudah anda ketahui.

Daripada perbincangan, saya mendapati ramai yang mula sedar, penggunaan kata ganti nama diri amat penting untuk tujuan berkomunikasi, sama ada secara lisan atau bertulis. Penegasan mengenai kata ganti nama 'beliau' yang digunakan bagi orang yang dianggap mulia saya buat juga. Semoga anda tidak lupa akan peringatan saya itu.

Saya lanjutkan dengan penerangan tatabahasa, dengan menggunakan slaid 'powerpoint' dan buku teks anda.

Anda kemudiannya, membincangkan mengenai hobi, aktiviti masa lapang, makanan kegemaran teman-teman dan juga mengenai saya, Cikgu Manaf. Saya berasa amat senang mendapati menggunakan kata ganti nama diri yang sesuai dalam pembentangan kamu sesudah itu.

Saya lanjukan dengan penulisan mengenai seseorang yang kamu masih ingat sewaktu berada di sekolah rendah dulu. Aktiviti mendengar irama klasik barat dengan menggambarkan orang itu sewaktu anda memejamkan mata saya beraharap dapat membantu. Sesudah itu, saya edarkan borang menulis maklumat (writers' block) untuk anda isi. Karangan itu akan anda selesaikan dalam bilik darjah pada masa pelajaran yang berikutnya.

Saya paparkan pautan bahan-bahan pengajaran saya buat kegunaan anda untuk mengulang kaji dan menyduahkan tugasan-tugasan yang serupa pada masa hadapan.

slaid pengajaran

latihan terkawal

latihan mencungkil pengetahuan sedia ada

Khamis, Januari 10, 2008

10.1.2008 - Men. 3HMT - Kata Tunggal



Saya memuatkan pautan bahan pengajaran saya pada hari ini. Semoga anda dapat memanfaatkannya bagi menyelesaikan tugasan dan tujuan mengulang kaji.

Bahan daripada pengalaman anda amat saya harap-harapkan anda gunakan dalam menyelesaikan tugasan Latihan Kemahiran yang sudah saya berikan awal tadi.

Slaid Pengajaran
http://myfreefilehosting.com/f/6aa77ab607_16.05MB

Lembaran Nota Pelajar (kosong)
http://myfreefilehosting.com/f/3c70c4c1b3_0.03MB

Lembaran Latihan Mencungkil Pengetahuan
http://myfreefilehosting.com/f/ee4047d6c7_0.02MB

Lembaran Latihan Kemahiran Terkawal
http://myfreefilehosting.com/f/71c45c8fff_0.02MB

Lembaran Latihan Kemahiran Bebas
http://myfreefilehosting.com/f/5c8cc21481_0.33MB

Selamat maju jaya.

Selasa, Januari 08, 2008

Lirik Lagu 'Bahasaku'

Senikata: Nadiputra
Gubahan: Dzul Rabull Jalil
Nyanyian: Kumpulan Padu Suara Harmoni Orkid
Kelab Masyarakat Tampines West


01.
Dengan nama Allah
Pengasih, Penyayang
Pasrahlah usaha kami
Menyahut seruan pertiwi
Sesuci jasmani rohani

02.
Duhai putera puteri ibunda
Laksamana Tuah berperi sudah
Takkan Melayu hilang di dunia
Jadi perisai semangat waja

Korus:
Bahasa jiwa bangsa
Lestarikan bahasa ibunda
Adat disanjung
Agama dijunjung
Pusaka pertiwi
Warisan murni

03.
Siapa lagi kalau tidak kita?
Tepuklah dada tanya selera
Bahasa ibunda jiwa nusa
Mertabatkan ke persada dunia

04.
Arif Budiman mulia pekerti
Amalan Nabi duniawi ukhrawi
Jadikan pakaian jasmani rohani
Teguhkan iman sifat terpuji

Korus:
Bahasa jiwa bangsa
Lestarikan bahasa ibunda
Adat disanjung
Agama dijunjung
Pusaka pertiwi
Warisan murni

05.
Kami insan lemah bersujud diri
Bermunajat pasrah sesungguh peri
Limpah rahmatmu, sinarmu Ilahi
Bahasa Ibunda disanjung tinggi

06.
Yang Maha Esa tersemat di hati
Rahmat Syufaat rabbul Izzati
Ya Rasulullah semoga kami diberkati
Usaha murni semulia ini

Korus:
Bahasa jiwa bangsa
Lestarikan bahasa ibunda
Adat disanjung
Agama dijunjung
Pusaka pertiwi
Warisan murni


*****
Saya amat terkesan dengan munajah yang terdapat dalam lirik lagu ini. Lagu ini pernah dipersembahkan dalam acara Anugerah Persuratan pada 29 Disember 2007 yang lalu. Munajah ini merupakan harapan semua para sasterawan, guru dan ibu bapa. Bertambah-tambah lagi jika anda mendengar dendangannya. Semoga akan ada peluang bagi saya mendengar dendangan ini sekai lagi pada masa-masa akan datang.

3 Buah Cerita Tentang Malu

Perkara di bawah ini merupakan pengamatan peribadi saya. Namun, saya mahu berkongsi dengan anda, anak-anak didik saya. Semoga besar manfaatnya.



Rasa Malu

Malu adalah perasaan rendah diri akan kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibanding-bandingkan dengan orang lain. Kekurangan ini boleh dimengertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak setimpal, tidak seperti, mahupun tidak setaraf. Seseorang yang bersifat demikian beranggapan bahawa dirinya hina dan kurang daripada orang lain yang dianggapnya pula memiliki banyak kelebihan daripada dirinya. Seseorang yang bersifat sedemikian akan menjauhi orang lain, menyorok wajahnya apabila dipandang orang.



Mendapat Malu

Seseorang yang dimalukan akan berasa terhina dan terkeji daripada kaca mata orang lain. Orang yang menerima aib dan keji ini akan berasa marah, geram, sanggup bertindak kasar dan keras terhadap orang yang memberinya malu. Oleh sebab dia berpendapat bahawa maruah dan harga dirinya dicabar sewaktu dimalukan. Air mukanya jatuh di khalayak ramai menyebabkan dia berasa begitu hina dan aib sekali. Individu itu akan berasa sedih, pilu dan kecewa. Tindakan yang tidak wajar selalunya menuruti kerana dia menganggap dirinya hina, kotor, keji dan tidak berguna lagi di mata dunia.



Tidak Tahu Malu

Berbeza pula dengan sikap ini. Seseorang akan tergamak melakukan sesuatu perbuatan yang mengaibkan dirinya sendiri. Hal demikian terjadi akibat dorongan atau kerana berasa dirinya terdesak, sama ada dia menyedarinya atau tidak. Timbul istilah muka tebal, sanggup dimalukan dan diaibkan orang begitu sahaja. Bukan kerana dia seorang yang tahan hati dan dapat menelan kekejian yang orang lain lemparkan kepadanya. Mungkin juga dia dimalukan kerana kesalahan akan perbuatannya sendiri.

Gurindam Pujian Bagi Orang Bijaksana




Masalah kusut dapat diselesaikannya,
Orang marah dapat disejukkannya,
Musuh ganas dapat ditundukkannya.

Yang bengkok dapat diluruskan,
Yang patah dapat disambungkan,
Yang bercerai dapat disatukan,
Yang tenggelam dapat ditimbulkan.

Yang hanyut dapat dimudikkan,
Yang tercicir dapat dikutip,
Yang bocor dapat ditampal,
Yang koyak dapat dijahit.

Yang lekuk dapat diratakan,
Yang hilang dapat dicari,
Yang sesat dapat ke pangkal jalan,
Yang kurang dapat dicukupkan,
Yang lebih dapat dikurangkan.

Bila membahagi sama banyak,
Bila memotong sama besar,
Bila mengukur sama panjang,
Bila membungkus sama tebal,
Bila menyapu sama rata.

Yang tua dikedepankan,
Yang berilmu ditinggikan,
Yang muda dihargai,
Yang lemah diajari,
Yang kuat diikuti.


dipetik daripada
Abdullah Hassan, Aripin Said & Ainon Mohd (2004), Pantun & Gurindam untuk Majlis Rasmi dan Perkahwinan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

Gurindam Orang Berguru Daripada Orang Berilmu

Kalau hendak tahu luasnya padang,
tanyalah belalang.

Kalau hendak tahu banyaknya teluk,
tanyalah siput.

Kalau hendak tahu luasnya kolam,
tanyalah katak.

Kalau hendak tahu dalamnya laut,
tanyalah yu.

Kalau hendak tahu luasnya langit,
tanyalah helang.

Kalau hendak tahu luasnya hutan,
tanyalah kijang.

Kalau hendak tahu kerasnya paku,
tanyalah tukul.

Kalau hendak tahu liatnya tangkai jering,
tanyalah galah.

Semua orang mempunyai pengetahuan,
Semua orang boleh menjadi guru…..

dipetik daripada
Abdullah Hassan, Aripin Said & Ainon Mohd (2004), Pantun & Gurindam untuk Majlis Rasmi dan Perkahwinan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

Etika Kerja: Menurut 57 Larik Peribahasa Melayu – Bahagian 1

Dipetik daripada makalah ilmiah
Wan Rafaei Abdul Rahman (1993), Etika Kerja, dalam Psikologi Melayu, Abdul Halim Othman (1993), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




01. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk.
Maksudnya: Semakin tinggi ilmu semakin merendah diri.

02. Jangan ikut resmi lalang, makin tua makin tegak.
Maksudnya: Ilmu hanya sedikit tetapi sombongnya lebih.

03. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Maksudnya: Orang yang berpangkat takkan hilang darjatnya apabila membuat kerja orang bawahan.

04. Berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.
Maksudnya: Beringat-ingat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

05. Kerja teragak-agak tidak menjadi, kerja beransur-ansur tidak bertulun.
Maksudnya: Kerja yang dibuat sedikit-sedikit lambat siapnya, kerja yang dibuat sekali tidak berdaya.

06. Diam ubi berisi, diam penggali berkarat.
Maksudnya: Orang yang berilmu biasnya diam dalam tingkah lakunya.

07. Hangat-hangat tahi ayam.
Maksudnya: Kerja diamalkan penuh semangat pada mulanya, akhirnya menjadi malas pula.

08. Biar lambat, asalkan selamat
Maksudnya: Kerja biar cermat dan menurut peraturan yang ditetapkan.

09. Tidak akan lari gunung dikejar.
Maksudnya: Usaha gigih yang dibuat pasti menerima kejayaan pada akhirnya.

10. Ada hari ada nasi.
Maksudnya: Setiap adanya usaha akan ada kejayaannya.

11. Air dalam berenang, air dangkal bercebok.
Maksudnya: Sesuaikan pekerjaan menurut penghasilan.

12. Alang-alang berdakwat, biarlah hitam.
Maksudnya: Buat sesuatu pekerjaan biarlah sampai berjaya.

13. Arang habis besi binasa.
Maksudnya: Pekerjaan yang sia-sia.

14. Awal dibuat, akhir diingat.
Maksudnya: Melakukan sesuatu pekerjaan perlu difikirkan masak-masak supaya selamat kesudahannya.

15. Bagi Jawi makan, dimamah dulu baru ditelan.
Maksudnya: Berfikir dahulu dengan masak-masak sebelum melakukan sebarang tugas.

16. Bagai lalat cari puru.
Maksudnya: Melakukan pekerjaan dengan segera lagi cepat.

17. Berbilang daripada esa, mengaji daripada alif.
Maksudnya: Melakukan sesuatu hendaklah daripada permulaannya.

18. Yang dulu mendapat, yang kemudian ketinggalan.
Maksudnya: Seseorang yang rajin selalu mendapat keuntungan daripada seseorang yang malas.

19. Yang dimakan rasa, yang dilihat rupa, yang didengar bunyi.
Maksudnya: Sesuatu pekerjaan hendaklah dibuat dengan sesempurnanya.

20. Usul-usul, asal-asal, asal yang ditinggalkan.
Maksudnya: Mengerjakan sesuatu hendaklah berhati-hati.

Sapaan Mesra Dalam Sesebuah Keluarga Melayu



Sapaan yang sopan lagi mesra ini, menurut pengamatan saya, masih digunakan dalam sebahagian besar ahli keluarga saya. Sapaan bagi anak-anak menurut urutan usia dan kedudukan dalam sesebuah keluarga adalah seperti berikut.

1. Sulong
2. Ngah
3. Alang
4. Andak
5. Uteh
6. Hitam
7. Acik
8. Bongsu atau Ancu

Bagi bapa saudara, digunakan sapaan Pak dan bagi ibu saudara digunakan sapaan Mak, dan diikuti dengan panggilan menurut susunan tadi.

Oleh itu, Pak Long bagi bapa saudara yang tertua sekali dan Mak Ancu atau Mak Busu bagi ibu saudara yang termuda sekali. Bagi orang Melayu berketurunan Jawa, abang atau kakak ibu bapa anak disapa dengan pangkat Wak, dan yang muda daripada ibu bapanya disebut pangkat Cik disebut sebelum menyapa dengan menggunakan nama-nama mereka. Hal yang sama juga berlaku dalam keluarga Melayu berketurunan Bawean. Sapaan Wak digantikan dengan Obek sementara sapaan Cik dipertahankan.

Bagaimanakah agaknya sapaan orang-orang daripada keturunan dan sukuan Melayu yang lain? Bagaimanakah pula dengan keluarga yang mengamalkan perkahwinan dengan pasangan ras yang lain? Tentu seronok kalau dapat anda berkongsi pengalaman anda itu.

Sapaan sebegini sememangnya mempunyai nilai yang amat tinggi kerana hal sedemikian dilakukan untuk menyemai sikap saling hormat-menghormati lagi kasih-mengasihi dalam kalangan sanak-saudara. Ada sesebahagian masyarakat kita yang menitikberatkan hal ini dan ada pula tidak mengendahkannya langsung. Adakah hal yang sama anda dapati berlaku dalam keluarga dan sanak-saudara anda?

dipadankan daripada
Richard Winstedt, 1947. The Malays – A Cultural History, UK: Routledge & Kegan Ltd.

Isnin, Januari 07, 2008

Peta Makna

Peta-peta makna ini membantu anda mengukuhkan pemahaman perkataan baru dan juga peribahasa baru yang hendak anda kuasai. Manfaatkan borang-borang di bawah ini untuk usaha anda itu.


Peta Makna Perkataan Baru
http://myfreefilehosting.com/f/73543bef29_0.02MB

Peta Makna Peribahasa Baru
http://myfreefilehosting.com/f/4f0081d333_0.01MB

Sumbang Saran A B C

Gerakkan pengetahuan sedia ada anda mengenai topik yang akan anda baca. Pendekatan ini mudah dijalankan. Fikirkan sesepatah perkataan yang ada boleh buat kaitan dengan judul teks, isikan petak-petak berdasarkan huruf-huruf awalnya.


Pelaksanaannya
Isikan petak-petak dengan senarai perkataan yang anda fikir ada hubung kait dengan topik yang akan anda baca. Bahagian ini menguji sebanyak mungkin kosa kata mengenai topik yang dipilih.
Sisih ruangan untuk ditambah dengan kata-kata yang baru.
Bandingkan senarai anda dengan rakan-rakan, pelajari perkataan baru dan tambahkan pada senarai anda.
Tidak ada panduan jawapan bagi latihan ini.

Pelbagaikan kaedah ini untuk mencetus idea dan minat anda terhadap bahan bacaan yang baru atau apa-apa pengetahuan baru yang hendak anda pelajari.

Borang Sumbang Saran A B C
http://myfreefilehosting.com/f/189bbad836_0.03MB

Konsep Peta Definisi

Adalah amat membantu apabila sesepatah perkataan, konsep dan istilah difahami lebih daripada rujukan yang dibuat dalam kamus atau senarai glosari.

Peta definisi ini memberi gambaran yang menyeluruh secara tepat makna daripada sudut makna yang berbeza-beza. Pengalaman mengenali kosa kata baru membantu pemahaman anda makna konsep dan definisi sesuatu kata, frasa atau istilah baru.



Pelaksanaannya
3 ciri yang digunakan dalam konsep peta definisi ini adalah seperti berikut:

 Penggolongan – apakah dia?
 Ciri-cirinya – apakah bentuknya?
 Ilustrasi – apakah contoh-contohnya?


Borang Peta Definisi
http://myfreefilehosting.com/f/47384cd99b_0.02MB

Hubungan Soalan & Jawapan

Kaedah ini membantu pelajar sedar akan jawapan yang mereka cari daripada soalan-soalan yang dia tanyakan. Soalan yang ditanyakan dapat membantu mereka memikirkan strategi-strategi sesuai untuk mencari jawapannya berdasarkan pemerhatian pelajar itu pada setiap jenis soalan yang dia sediakan. Pelajar akan fahami daripada mana bahagian teks jawapan bagi soalan yang mereka dapat.

Apabila menemukan soalan, jawapannya sering kali terdapat dalam teks atau apa-apa yang pelajar sendiri sudah ketahui.

a. Dalam buku ………….
b. Di dalam ingatan saya, ………….


Penerangan 4 Langkah Ini
1. Dalam teks ini. Jawapan ada dalam teks. Lihat dan tandakan. Sering kali, soalan dalam ayat tunggal atau diletakkan di dalam teks, perkataan yang digunakan membentuk soalan terdapat di tempat yang sama dalam teks.

2. Renungkan dan Cari. Jawapan memang terdapat dalam teks, akan tetapi perlu dilihat pada beberapa baris ayat untuk mendapatkannya. Sering kali, jawapan itu dicerai-ceraikan dan anda perlu menanggap semua idea yang terkandung dalam perenggan atau halaman.

3. Penulis & Anda. Jawapan tidak terkandung dalam teks, tetapi anda perlu meneliti maklumat yang penulis berikan kepada anda. Gabungkan apa-apa yang diberitahu oleh penulis dengan apa-apa yang anda sudah ketahui untuk memberikan respons pada soalan sedemikian.

4. Menurut Pendapat Saya. Jawapan tidak terdapat dalam teks, dan anda tidak perlu mencarinya dalam teks untuk menjawab soalan ini.



Petikan Teks

Makalah ini: ___________________________________________

Renungkan & Kaji: ______________________________________

Penulis & Saya: _______________________________________

Menurut Pemahaman Saya: ________________________________

BCS Untuk Penakatan Akademik Anda

Kaedah ini merupakan salah satu cara mudah untuk belajar yang terkandung padanya teknik-teknik yang anda perlukan bagi menguasai buku teks sekolah anda.

B – BACA Baca bab perenggan demi perenggan. Baca dan baca semula hingga anda
dapat menjawab soalan: “Apakah yang penulis hendak katakan dalam perenggan ini?”

C – CATAT Sesudah anda berupaya memerikan apa-apa yang terdapat dalam perenggan itu, setentunya ada mahu mengekalkan pemahaman anda dengan menandainya, membuat catatan mudah di tubir halaman, atau membuat catatan anda sendiri di dalam buku nota.

S – SEBUT Ketepikan nota dan buku teks anda. Sesudah itu, sebut dengan kuat apa-apa yang sudah anda ketahui. INGAT! Jika anda tidak dapat mengungkapkannya sekarang, anda tidak akan dapat menyatakannya di kelas pula, atau menulisnya sewaktu ujian. Oleh itu, selagi masih ada kesempatan, cuba dan cuba lagi hingga anda dapat mengungkapkannya semula.


disesuaikan daripada
F.P Robinson (1946), Effective Study, New York: Harper and Brothers.

Senarai Tajuk Latihan Karangan Tahun 2008

Di bawah ini, terdapat pautan pada senarai latihan yang sudah saya sediakan. Setiap pelajar saya minta memuat turunkan bahan tersebut bagi peringkat anda dan dicetak untuk anda masukkan ke dalam fail atau dimuat turun ke dalam blog peribadi anda yang saya arahkan anda bina sebelum ini. Berdasarkan senarai tersebut juga, anda akan diminta menyudahkan karangan anda dan perlu anda paparkan dalam blog anda sendiri.


Menengah 1HMT
http://myfreefilehosting.com/f/dc7de0bc2d_0.03MB

Menengah 2HMT
http://myfreefilehosting.com/f/5d92d31da0_0.03MB

Menengah 3HMT
http://myfreefilehosting.com/f/bafe752283_0.04MB

Menengah 4HMT
http://myfreefilehosting.com/f/f303e5ccc7_0.04MB

Jumaat, Januari 04, 2008

Menengah 3 - Kata Tunggal - BT3A HMT

Bahan-bahan dalam pautan di bawah ini akan saya gunakan untuk Unit 1 BT3A HMT. Sila pastikan anda membaca nota yang terdapat dalam buku teks. Ajukan sebarang pertanyaan kepada saya.

Terima kasih.


pautan
Slaid Pengajaran
http://myfreefilehosting.com/f/38fee96d66_16.05MB

Petikan Teks
http://myfreefilehosting.com/f/6b4db25139_0.02MB

Rakaman Audio Petikan Teks
http://myfreefilehosting.com/f/5d7254f8cc_15.7MB

Slaid Latihan 1
http://myfreefilehosting.com/f/cd0bbc12ef_0.02MB

Slaid Latihan 2
http://myfreefilehosting.com/f/9afba1fc8d_0.02MB

Slaid Latihan 3
http://myfreefilehosting.com/f/39023a74f7_0.02MB

Slaid Latihan 4
http://myfreefilehosting.com/f/ec3a03f15c_0.33MB

Slaid Latihan 5
http://myfreefilehosting.com/f/0ca18c9903_0.02MB
http://myfreefilehosting.com/f/ca8e786931_0.02MB

Khamis, Januari 03, 2008

3 Januari 2008

Seperti yang saya nyatakan, bahan penerangan yang saya gunakan dalam bilik darjah tadi dapat anda muat turun pada tautan di bawah ini.

Slaid powerpoint
http://myfreefilehosting.com/f/9d2dd78e68_0.04MB

Peringatan:
Usah lupa akan tugasan yang sudah saya arahkan anda buat di bilik darjah pada 4 Januari 2007. Sila buat persediaan itu dengan merujuk BT3A/11. Anda hanya perlu memilih satu soalan sahaja. Tulis mengenai tajuk pilihan kamu itu dengan menggunakan tidak kurang daripada 300 patah perkataan.

Buat rujukan mengenai penulisan secara umum dalam paparan saya yang lalu.